Skip to main content

vcc

Kesan Mudarat Alkohol Terhadap Janin

Oleh: Dr Mohd Izham Mohd Ibrahim

Ramai di kalangan masyarakat yang tidak menganggap alkohol sebagai ubat. Sebenarnya alkohol adalah sejenis ubat penenang/hipnotik. Ia bertindak dengan cara menjejaskan fungsi sistem saraf pusat di otak. Terdapat dua jenis alkohol: etil alkohol dan metil alkoholEtil alkohol didapati dalam minuman keras manakala metil alkohol biasanya digunakan dalam produk isirumah dan industri.

Kesan pendedahan janin terhadap alkohol boleh dikategorikan sebagai ringan dan serius. Kesan mudarat akibat penggunaan alkohol atau arak ke atas janin yang dikenali sebagai Sindrom Alkohol Janin (FAS - Fetal Alcohol Syndrome) merupakan akibat yang paling serius. Ia merupakan punca utama kerosakan otak dan kerencatan akal kanak-kanak di mana ibunya menagih alkohol atau arak semasa mengandung. Masalah ini mula dikenalpasti pada tahun 1973.

FAS adalah sejenis diagnosis, yang menggambarkan ciri-ciri kecacatan semasa lahir akibat kesan mudarat alkohol. Jadual 1 menunjukkan kriteria yang digunakan untuk menentukan sama ada kanak-kanak menghidapi FAS.

Jadual 1: Kriteria Fetal "Alcohol Syndrome" (FAS)
  1. Melambatkan pertumbuhan janin sebelum bersalin (prenatal) dan/atau selepas bayi dilahirkan (posnatal).
    • berat dan/atau tinggi kurang daripada bayi-bayi normal (10sentil)
  2. Sistem saraf otak
    • sistem saraf yang luar biasa
    • perkembangan lambat
    • disfungsi tingkah laku
    • gangguan intelektual
      • IQ yang rendah
    • struktur yang luarbiasa
      • mikrokefali (saiz kepala yang kecil daripada normal)
      • kecacatan otak
  3. Ciri-ciri pada muka
    • fisur palpebral (tepi mata luar) pendek
    • muka yang panjang
    • bahagian antara hidung dan mulut (filtrum) yang rata dan panjang
    • bibir atas nipis
    • maksila (tulang rahang) yang rata

Seorang kanak-kanak harus mempunyai ketiga-tiga ciri yang disebut Jadual 1 sebelum doktor boleh mendiagnos sama ada ia mengalami FAS atau tidak.

Proses mengenal pasti (pendiagnosan) FAS amat sukar kerana:

  • tiada simptom yang boleh menentukan FAS.
  • tiada ujian yang boleh menentukan FAS.
  • banyak simptom FAS berubah apabila kanak-kanak meningkat umur.
  • simptom FAS sukar dilihat pada bayi.
  • sukar mengenal pasti jumlah sebenar alkohol yang di ambil oleh ibu-ibu ketika mengandung.

Kanak-kanak FAS biasanya mempunyai masalah pembelajaran, hiperaktif, gagal memberi tumpuan, kurang ingatan, sukar menyelesaikan masalah, tidak mempunyai koordinasi yang baik, gangguan percakapan, penglihatan dan pendengaran. Walaupun kebanyakan daripada ciri-ciri yang berkaitan FAS kurang nyata selepas matang tetapi masalah intelektual, tingkah laku, emosi dan sosial akan menjadi lebih ketara.

Jumlah sebenar alkohol yang selamat diminum tanpa memudaratkan janin tidak dapat dipastikan. Kajian menunjukkan bahawa peningkatan pengambilan jumlah alkohol akan meningkatkan kemungkinan kemudaratan terhadap janin dan tahap kemudaratan tersebut. Keadaan boleh menjadi bertambah serius jika ibu tersebut juga adalah seorang perokok. Tiada masa yang dianggap selamat untuk mengambil alkohol dalam tempoh mengandung. Ibu-ibu juga disarankan supaya tidak mengambil alkohol semasa tempoh penyusuan bayi kerana alkohol boleh memasuki susu ibu. Nasihat yang terbaik kepada kaum ibu-ibu ialah JAUHILAH DARIPADA MENGAMBIL ALKOHOL SAMA SEKALI!