Skip to main content

vcc

Langsing dan Cantik Secara Sihat, Agar tidak Mengundang Mudarat

Oleh: Adilah Mohamed Ariff
Langsing dan Cantik Secara Sihat, Agar tidak Mengundang Mudarat

Kelihatan cantik, menarik dan sihat menjadi idaman semua orang. Sebagaimana sesetengah individu begitu menjagapenampilan wajah mereka dengan memakai  pelbagai produk penjagaan kulit dan kosmetik, mungkin begitulah juga bagi sesetengah orang yang sangat prihatin tentang berat dan bentuk badan mereka. Ramai  yang menyedari bahawa berat badan berlebihan akan meningkatkan risiko mendapat pelbagai penyakit.

Namun, bagi kebanyakan individu obes, menurunkan berat  dengan sekadar perubahan diet dan gaya hidup mungkin tidak membuahkan hasil. Berikutan itu, mereka akan menjadi cenderung untuk mencuba pelbagai produk  pelangsingan hanya berdasarkan testimoni-testimoni indah yang tiada sokongan bukti saintifik dan maklumat keselamatan yang jelas. Akibatnya, kesihatan tubuh  badan yang tergadai walaupun mungkin berat badan dapat diturunkan. Lebih malang lagi, berat badan tidak berkurang, mudarat lain pula didapat. 

Ads:

Produk pelangsingan yang dilabelkan sebagai produk makanan kesihatan tambahan sering menjadi pilihan individu yang mahu memilih sesuatu yang dikatakan semulajadi dan selamat. Sebagaimana adanya produk kosmetik timbang kilo yang dicemari merkuri atau bahan terlarang lain, begitulah juga produk  pelangsingan yang turut dimanipulasi pengusaha demi keuntungan berganda. Antara bahan terlarang yang sering ditambah dalam sediaan ubat pelangsing ialah  Sibutramine, iaitu sejenis bahan yang telah diharamkan penggunaannya akibat banyak kesan sampingan terhadap jantung dan peredaran darah. Tanpa menyelidik  secara terperinci dan merujuk kepada yang pakar, anda mungkin boleh tersalah pilih kerana ada sahaja produk yang dilabel dengan bahan semulajadi ditambah  dengan bahan terlarang ini. 

Seperkara lagi yang membimbangkan ialah formulasi produk-produk pelangsingan ini dalam bentuk yang sedap dimakan dan menarik perhatian kanak-kanak. Pada  tahun 2021, Pusat Racun Negara merekodkan peningkatan yang mendadak berkaitran kes keracunan membabitkan satu jenama produk pelangsingan yang  diformulasi seakan-akan coklat. Coklat kurus ini telah menyebabkan kanak-kanak mengalami gejala sukar tidur, tekanan darah dan degupan jantung meningkat,  hiperaktif, mata merah dan berair, gangguan saraf muka, muntah serta sakit perut. Lebih memburukkan lagi keadaan ialah apabila gejala-gejala ini berlarutan hingga beberapa hari. Malah ada orang dewasa yang mengamalkan coklat kurus ini juga mengadu tentang kesan sampingan yang mengambil masa untuk reda akibat penggunaan produk ini. 

74 ms 2c

Kini, produk berasaskan coklat kurus sama ada berbentuk minuman atau tablet kunyah sangat popular di pasaran. Harus diingat, walaupun pengguna dewasa mungkin tiada kesan sampingan, tidak bermakna kanak-kanak juga selamat untuk mengambilnya. Sekiranya tiada bahan terlarang seperti Sibutramine, banyak formulasi produk coklat kurus mengandungi kafein yang tinggi  daripada sumber coklat itu sendiri dan pelbagai jenis biji kopi yang ditambah dalam ramuannya. Kafein yang tinggi boleh mengundang mudarat kepada kanak-kanak  dan bahan lain dalam ramuan produk tersebut juga mungkin berisiko menyebabkan kesan sampingan. 

Walaupun keberkesanan sebahagian bahan semulajadi yang diformulasi dalam produk pelangsingan disokong oleh kajian saintifik, setiap bahan ini mempunyai  kelebihan dan kekurangan tersendiri yang memerlukan penilaian mereka yang pakar dalam bidang ini bagi memastikan kesesuaian dan keselamatan kepada individu  yang perlu mengambilnya. Sebahagian bahan ini juga boleh diperolehi secara terus daripada sumber makanan sebenar tanpa perlu mengambil sebarang  produk formulasi untuk pelangsingan. Pendekatan paling optimum bagi mengekalkan tahap kesihatan yang baik serta berat badan yang ideal ialah melalui amalan  pemakanan dan gaya hidup sihat. Risiko mendapat kesan sampingan dan keracunan juga dapat dikurangkan dengan amalan gaya hidup sihat yang konsisten dan  berpandukan ilmu yang betul.