WASPADA BERMAIN SLIME Pastikan Sentiasa Selamat!
“Slime” pertama kali dikomersialkan sebagai permainan kanak-kanak di bawah label syarikat Mattel Toy Corporation pada tahun 1976 dan didaftarkan hakmilik dibawah jenama Slime®. Dengan warna hijau terang dan sifatnya yang melekit menjadikan kanak-kanak begitu teruja sehingga produk permainan slime ini mendapat tempat dalam pasaran selama bertahun-tahun. Antara aspek utama yang ditekankan oleh syarikat pengeluar ini adalah untuk memastikan bahan-bahan yang digunakan adalah selamat terutamanya kepada kanak-kanak. Secara umum ini bermaksud bahan mentah asas yang digunakan haruslah tidak merengsa kulit atau mata dan juga tidak toksik sekiranya tertelan. Namun sejak kebelakangan ini, permainan ini kembali menjadi kegilaan dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia. Kerana popularitinya, kebelakangan berlakunya lambakan produk slime dari pelbagai pengeluar di pasaran. Fenomena ini telah menimbulkan keraguan dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terutamanya produk-produk dari negara China yang kebanyakannya tanpa sebarang label bahan yang jelas.
Bagaimana slime dihasilkan?
Formula slime pada asalnya dihasilkan oleh ahli kimia di dalam makmal. Antara bahan utama yang diperlukan dalam penghasilan produk permainan slime adalah air, bahan polimer seperti gam PVA atau gam guar, bahan pembentuk gel (Borax), pewarna dan pengawet.
Slime terhasil daripada pemautan silang PVA dan juga air. Pemautan silang molekul-molekul ini secara tidak kekal dilengkapkan lagi dengan penambahan sodium borate ataupun lebih dikenali dengan nama Borax. Borax bertindak sebagai agen yang akan menghubungkan rantaian polisakarida yang memberikan sifat melekit yang dikehendaki pada Slime (Rujuk Gambarajah 1).
Slime buatan sendiri atau dijual dikedai?
Slime juga boleh dihasilkan sendiri di rumah dengan menggunakan beberapa bahan-bahan asas — gam, serbuk borax, air dan pewarna — yang sangat mudah didapati. Panduan-panduan untuk menghasilkan slime juga boleh diperoleh dengan menonton video “DIY Slime” yang boleh didapati dari Youtube dan media sosial lain. Fenomena ini meledak segenap penjuru dunia terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang sangat teruja untuk menghasilkan slime sendiri di rumah. Kebanjiran produk permainan slime dari pelbagai pengeluar di pasaran, terutamanya dari negara China dalam negara termasuk yang dijual secara atas talian amat membimbangkan. Kegilaan permainan slime telah mewujudkan pelbagai reaksi lebih-lebih lagi apabila persoalan berkaitan keselamatan bahan ini mula dipersoalkan. Tidak kira sama ada slime buatan sendiri atau yang dijual dikedai, bahan utama yang sebenarnya mempunyai risiko untuk menyebabkan keracunan adalah Borax. Terdapat laporan akhbar termasuk dari luar negara yang menyatakan beberapa jenis produk permainan slime mempunyai kandungan Borax terlalu tinggi sehingga boleh mengancam nyawa. Namun sehingga kini tiada sebarang ujian makmal yang dijalankan oleh mana-mana badan berautoriti untuk mengesahkan kandungan bahan dalam produk slime yang terdapat di pasaran.
Apa bahaya Borax?
Borax digunakan secara meluas terutamanya dalam produk kegunaan isi rumah sebagai bahan dalam serbuk pencuci. Dalam kepekatan yang rendah ia juga turut digunakan dalam produk-produk kosmetik dan penjagaan diri seperti ubat gigi, larutan pencuci mata, bedak berubat dan banyak lagi. Pendedahan kepada manusia dalam jumlah yang sedikit sepatutnya tidak mendatangkan kesan toksik yang serius. Namun dalam jumlah atau kepekatan yang tinggi, borax boleh mendatangkan kemudaratan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Antara kesan toksik akibat terdedah kepada borax dalam jumlah yang tinggi adalah seperti muntah, cirit birit, sawan serta kegagalan buah pinggang dan jantung. Penyerapan borax sangat mudah dan tinggi didalam perut, namun ia tidak boleh diserap melalui kulit melainkan jika kulit itu luka atau cedera. Partikel-partikel habuk dari serbuk borax juga masuk kedalam badan jika disedut melalui hidung atau masuk ke dalam tekak. Kesan toksik yang serius ini juga lebih kerap terjadi sekiranya pendedahan berlaku secara berulang-ulang dalam jangkamasa yang lama.
Jadi bahayakah sekiranya anak saya bermain slime?
Perlu difahami, borax yang sudah diformulasi sehingga menjadi slime sudah pasti mempunyai kepekatan yang berbeza berbanding borax dalam bentuk serbuknya yang asal. Dalam erti kata lain, pendedahan kulit kita dengan slime berbanding dengan borax dalam bentuknya yang asal sudah pasti tidak memberikan kesan yang sama. Namun begitu, perlu diingat apa sahaja bahan sekiranya diambil dalam jumlah yang banyak pasti akan mendatangkan mudarat. Tiada masalah untuk terus bermain dengan slime asalkan langkah berjaga-jaga seperti berikut sentiasa diberikan perhatian:
- Pastikan anda menggunakan resepi/formulasi “DIY” slime menggunakan bahan-bahan yang selamat dan natural sekiranya bermain dengan anak kecil yang mempunyai potensi untuk memasukkan benda ke dalam mulut.
- Pilih formulasi/resepi slime yang tidak menggunakan borax.
- Pastikan anda sentiasa mengawasi anak anda sekiranya menggunakan borax.
- Simpan borax jauh ditempat yang selamat dan tidak dapat dicapai oleh kanak-kanak dan labelkan dengan jelas.
- Gunakan sarung tangan semasa mengendalikan borax untuk melindungi kulit anda.
- Ingat, risiko keracunan adalah sangat tinggi di rumah. Pastikan borax yang dicampur dalam air tidak ditinggalkan begitu sahaja kerana sesiapa sahaja boleh terminum campuran tersebut.Tuang baki yang tidak digunakan segera ke dalam sinki.
- Basuh tangan dengan sabun dan air apabila selesai.
Kesimpulan
Untuk memastikan keselamatan anak-anak, pastikan anda memilih resepi slime menggunakan bahan-bahan paling selamat dan sentiasa pantau anak-anak sewaktu bermain. Elakkan membeli produk-produk permainan yang diragui kandungannya terutamanya produk yang dibungkus tanpa sebarang label. Kegembiraan anak-anak adalah impian setiap ibu bapa, begitu juga dengan keselamatan mereka! Tidak perlu halang, tetapi sentiasalah berwaspada!