Portuguese Man O' War: Kenalinya dan Kesan Toksiknya kepada Kesihatan
Awal tahun ini, kita dikejutkan dengan kunjungan hidupan laut menyerupai obor-obor iaitu Portuguese Man O’ War (PMoW) yang terdampar di beberapa kawasan pantai tanah air seperti di Terengganu, Kuantan, Pulau Tioman dan Sabah. Haiwan ini sering ditemui di lautan Atlantik, Pasifik dan Lautan India namun penemuannya di perairan negara pada Februari baru-baru ini menurut saintis adalah disebabkan tiupan angin dan arus laut yang kuat hingga membawanya ke perairan negara.
Perlu kita tahu bahawa PMoW atau nama saintifik Physalia physalis bukanlah obor-obor tetapi adalah ‘siphonophore’ iaitu sejenis haiwan yang terdiri daripada beberapa koloni organisma yang hidup bersama dan saling membantu antara satu sama lain. Dari sudut anatomi, haiwan ini mempunyai empat koloni dengan fungsi khusus iaitu pneumatophore (pundi mengandungi udara pada bahagian paling atas berfungsi seperti ‘layar’ untuk membolehkannya bergerak), gastrozoid (polip untuk mencerna makanan), tentacular palpon yang mempunyai nematosis yang menyengat (untuk menangkap ikan atau mempertahankan diri) dan ganodendron (struktur pembiakan).
Jolokan nama Portuguese Man O’ War yang diberikan adalah disebabkan polip paling atas (pneumatophore) yang menyerupai kapal perang Portugis sekitar abad ke-18. Saiznya adalah dalam lingkungan 7 sm ke 30 sm (panjang), 12 sm (lebar) dan mempunyai tentakel yang boleh mencecah 50 meter panjang dan berada di bawah permukaan air. Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang terkena sengatan tanpa disedari jika berenang atau melakukan aktiviti air seperti menyelam berdekatan dengannya.
Sengatan haiwan ini boleh menyebabkan rasa sakit pada kulit, kesan seperti melecur, kulit terasa panas dan kemerah-merahan (linear erythematous plaque), melepuh, papular urticaria yang boleh dirasai dalam tempoh 4 hingga 24 jam selepas terkena sengatan. Kesan sengatannya boleh hilang dalam beberapa jam hingga beberapa hari berdasarkan jumlah bisa yang masuk ke dalam sistem badan manusia.
Selain itu, bisa haiwan ini boleh menyebabkan kesan toksik pada sistem tubuh yang lain seperti pada jantung (kardiotoksisiti), pada otot (myotoksik), pada sistem saraf (neurotoksisiti), pada sel-sel (sitotoksik) dan kesan kesihatan lain seperti sakit kepala, muntah, sakit perut dan cirit-birit. Gejala teruk yang mungkin berlaku adalah kesukaran bernafas, sakit otot, kemusnahan sel hingga membawa kepada kegagalan fungsi buah pinggang.
Kejadian sengatan PMoW di perairan Atlantik dilaporkan telah mengakibatkan beberapa kematian akibat kegagalan fungsi jantung (kardiotoksik) dan gangguan saluran pernafasan kepada mangsa. Rawatan kecemasan di pantai yang boleh dilakukan sekiranya disengat oleh haiwan ini atau mana-mana jenis obor-obor yang lain adalah seperti berikut:
- Tarik mangsa menuju ke pesisir pantai, keluar dari laut.
- Periksa tahap kesedaran mangsa dan sama ada mangsa bernafas atau tidak. Lakukan CPR (Cardio Pulmonary Resuscitation) jika mangsa tidak sedar dan tidak bernafas. Telefon 999 untuk mendapatkan bantuan.
- Membilas kawasan badan yang terkena sengatan dengan cuka (asid asetik) selama sekurang-kurangnya 30 saat untuk meneutralkan bisa dari nematosis yang belum dilepaskan. Jika cuka tidak didapati, boleh menggunakan air laut untuk membilas.
- Segera ke fasiliti kesihatan terdekat untuk rawatan lanjut.
Perlu diingat, JANGAN sesekali membilas atau mengalirkan air tawar ke atas bahagian badan yang terkena sengatan PMoW kerana tindakan ini akan merangsang pelepasan bisa daripada nematosis dan akan menerukkan keadaan mangsa.
Bagi penduduk tempatan dan pelancong yang gemar melakukan aktiviti pantai seperti menangkap ikan, berenang atau menyelam, kehadiran PMoW mungkin boleh mengancam keselamatan anda. Jika haiwan ini ditemui di pinggir pantai, JANGAN cuba menyentuhnya kerana ia masih boleh membebaskan bisa sengatannya yang terkandung di dalam nematosis yang masih aktif.