Skip to main content

vcc

Pensel warna berbahaya

Oleh: natrah@usm.my

PRN, Universiti Sains Malaysia memandang serius laporan akhbar tempatan tentang pensel berwarna yang didapati mengandungi plumbum dan arsenik pada kandungan yang melebihi paras bahaya. Penggunaan pensel sedemikian jika tidak diawasi boleh membahayakan pengguna kepada risiko keracunan terutamanya pada kanak-kanak. Bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya yang dimaksudkan, pada kali ini PENAWARACUN akan menerangkan secara ringkas perihal keracunan membabitkan plumbum dan arsenik.

Bahaya Plumbum Dan Arsenik

Plumbum dan arsenik, kedua-duanya adalah sejenis logam berat, sering didapati di dalam tanah malah ia mungkin tersebar secara meluas di permukaan bumi kita. Di persekitaran kita, plumbum sering ditemui pada berbagai hasilan industri dan komersial seperti bateri, penebat dawai elektrik, cat, bahan-bahan seramik dan pasu, air daripada paip plumbum dan petrol plumbum manakala arsenik pula mudah didapati dan sebenarnya digunakan dalam bahan-bahan racun rumpai, pengawit kayu, rodentisid, dan agen pengeras dalam aloi logam.

Di samping itu, plumbum boleh didapati pada berbagai jenis haiwan. Namun begitu, ia dipercayai tidak mempunyai apa-apa kegunaan fisiologi tertentu pada manusia.

Bagaimana plumbum dan arsenik boleh mendatangkan bahaya?

Jika plumbum memasuki tubuh kita, ia boleh menyingkir logam-logam lain yang berguna di dalam tubuh manusia dari tapak ikatan normal, lalu menyebabkan kesan tertentu. Logam-logam yang disingkir termasuklah zat besi, zink dan kuprum. Penyingkiran zat besi umpamanya boleh menjejaskan pembentukkan sel darah merah normal. Arsenik pula apabila memasuki tubuh kita akan mengikat pada kumpulan kimia sulfihidril pada berbagai jenis enzim lalu menjejaskan metabolisme sel.

Apakah kesan yang boleh diperhatikan akibat keracunan plumbum dan arsenik?

Pendedahan kronik plumbum boleh mengakibatkan kembung dan senak perut, sembelit, kurang selera makan, sakit kepala, dan lesu. Ensefalopati yang dicirikan oleh kehilangan keseimbangan pergerakan badan, meracau, koma dan sawan boleh dialami oleh kanak-kanak.

Arsenik pula boleh mengakibatkan kerengsaan pada kulit, membran mukous, serta saluran pernafasan dan gastrousus. Kesan-kesan lain termasuk rasa lesu, kurang selera makan, rasa loya dan muntah-muntah, hepatitis, rasa kebas di anggota pinggiran (neuropati) dan pengguguran rambut. Lebih membimbangkan ialah kemungkinan terjadinya kanser paru-paru dan kulit akibat pendedahan jangka panjang. Sakit tekak, sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit adalah di antara tanda-tanda mendadak yang boleh dialami. Maut akan terjadi jika terdapat banyak air dan elektrolit hilang.