Skip to main content

vcc

Masalah Air 1998 - Suatu Iktibar untuk Semua

Oleh: natrah@usm.my

Perangkaan terbaru Jabatan Alam Sekitar yang dikeluarkan pada akhir tahun 1998 menunjukkan hampir 45% kawasan pantai di seluruh negara dikesan tercemar dengan tumpahan minyak dan gris. Laporan ini juga menunjukkan bahawa 29.2% daripada kawasan-kawasan pantai dan kuala sungai dicemari oleh bahan-bahan pepejal terampai dan 13.3% dicemari bakteria E.coli.

Hampir 2% daripada kawasan pantai dicemari oleh raksa yang dipercayai bahan buangan industri, sedangkan 19.5% dicemari oleh tembaga. Bahan logam berat ini ternyata merbahaya dan boleh menyebabkan keracunan. Rata-rata ini petanda yang kurang menyenangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Air adalah sumber penghidupan yang tidak dapat tidak perlu dijaga secermat mungkin. Kita masih ingat lagi betapa ramai rakyat menderita kerana kekurangan bekalan air.

Walaupun air laut jarang digunakan untuk tujuan seharian, namun perlu diingatkan bahawa pencemaran kawasan-kawasan laut ada kaitannya dengan aliran-aliran sungai yang akhirnya akan masuk ke laut.

Tahun lalu juga telah mencatatkan bebe-rapa kejadian pencemaran sungai. Misalnya pada bulan Februari, anggaran 2700 liter disel telah tumpah ke dalam terusan daripada stesyen pam Lahar Tiang sehinggalah ke loji rawatan air Sungai Dua di Pulau Pinang yang membekalkan 80% daripada bekalan air negeri tersebut. Pada bulan Mac pula, loji rawatan air di Batu 11, Cheras, pula telah dicemari akibat daripada kandungan amonia yang tinggi.

Pada bulan Mei, ribuan ikan - keli, telapia dan sepat - didapati mati di Sungai Gombak berdekatan Sentul berpunca daripada keracunan air. Malah pada tahun 1997 saja, kejadian yang sama turut dilaporkan. Lagi sekali pencemaran air diagakkan sebagai punca kejadian. Misalnya pada bulan April, lebih daripada RM100 ribu nilai ikan peliharaan berdekatan Pontian juga didapati mati. Pada bulan Oktober, 800 ribu ikan bernilai RM500,000 di tujuh puluh (70) ladang berdekatan Kampung Teluk Jawa, Selat Tebrau juga mati akibat keracunan daripada kilang-kilang berdekatan.

Jelasnya banyak di antara sumber-sumber air di negara ini dikatakan dalam keadaan yang agak membimbangkan. Satu laporan rasmi tentang kedudukan sungai-sungai dalam jangkamasa 1987-1993 mencatatkan bahawa kualiti air sungai umumnya merosot pada kadar 1.19% setiap tahun. Kecenderungan dalam masa tujuh (7) tahun tersebut menunjukkan bahawa 77% daripada sungai yang berkaitan mengalami pencemaran daripada sisa-sisa industri dan domestik, buangan haiwan dan pembentungan. Daripada 116 sungai yang dimantau dalam tahun 1993, 35 (30.2%) daripadanya dikatakan kotor akibat daripada buangan haiwan dan pembetungan. Kedudukan yang sama juga dapat dilihat melalui Indeks Kualiti Air dan Udara 1995 yang menyatakan bahawa aktiviti-aktiviti pertanian, pembuangan sisa industri antara lain membuatkan kualiti air sungai menjadi lebih teruk. Ini termasuklah pembuangan amonia nitrogen daripada ladang-ladang getah dan juga kilang-kilang berasaskan getah. Malah sejak tahun 1989 lagi, World Resources Institute telah dipetik sebagai berkata bahawa di Malaysia sisa kelapa sawit dan getah selain daripada buangan industri dan pembentungan telah menyebabkan 42 sungai dilabelkan sebagai "mati".

Semua statistik ini perlu difikirkan dengan serius oleh semua lapisan masyarakat kerana ia merupakan tanggungjawab bersama dalam memelihara kebersihan dan kesucian sumber air. Seandainya ini tidak dilakukan bukan sahaja kita akan mengalami kesukaran untuk menjalani kehidupan seharian sepertimana yang telah dialami dalam tahun 1998 tetapi sekaligus akan mencetuskan berbagai penyakit yang boleh diakibatkan daripada pencemaran sumber-sumber air. Sepertimana yang dinyatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1996 melalui petikan akhbar "anggaran 80% daripada semua penyakit dan lebih daripada 23% kematian di negara-negara membangun adalah berkaitan dengan air".

Oleh itu sepatutnya tahun 1998 memberi kita satu pengajaran penting tentang bagaimana peri mustahaknya sumber air semulajadi negara dipelihara dengan sebaiknya agar peristiwa lalu tidak berulang lagi.