Skip to main content

vcc

Pencemaran Metanol di dalam Hand Sanitizer

Oleh: Nur Afni Amir

68ms2

Sejak awal Februari tahun lalu, US Food and Drug Administration (FDA) telah mengeluarkan amaran tentang peningkatan produk hand sanitizer yang mengandungi metanol. Produk hand sanitizer berasaskan alkohol sepatutnya hanya mengandungi etanol atau isopropyl alcohol. Namun agak membimbangkan apabila ada antara produk yang dilabel sebagai etanol ini juga dikesan mengandungi metanol, hasil daripada ujian makmal yang dijalankan. Sehingga Oktober 2020, FDA telah mengesan 230 produk mengandungi methanol yang di import masuk ke USA. Senarai produk boleh dirujuk pada pautan https://www.fda.gov/drugs/drug-safety-and-availability/fda-updates-hand-sanitizers-consumers-should-not-use.

Kes-kes keracunan akut dan kematian berpunca daripada produk hand sanitizer yang mengandungi methanol sebenarnya telah pun dilaporkan secara sporadik di beberapa negara seperti Canada, USA dan Hong Kong sejak sebelum tercetusnya pandemic Covid-19 lagi. Ini membuktikan produk yang dicemari metanol ini sememangnya wujud dalam pasaran. Permintaan dan penggunaan hand sanitizer yang meningat secara mendadak di seluruh dunia akibat pandemik Covid-19 dibimbangi juga akan meningkatkan kes keracunan metanol. Antara kes terbesar yang dilaporkan setakat ini adalah 15 kes keracunan dan 4 kematian di Arizona dan New Mexico, USA sekitar bulan Mei dan Jun tahun 2020. Setakat ini, belum ada lagi kes keracunan metanol membabitkan hand sanitizer yang dilaporkan di Malaysia. Namun sebagai pengguna, kita seharusnya sentiasa berwaspada kerana tidak mustahil produk hand sanitizer yang terdapat dalam pasaran kita juga berkemungkinan berisiko untuk dicemari dengan metanol, terutamanya produk yang dijual secara dalam talian dimana pengeluarnya beroperasi di luar negara!

Apakah beza etanol dan metanol?

 Etanol Metanol 
 Dikenali sebagai ethyl alkohol  Dikenali sebagai methyl alkohol
 Terbentuk dari 2 atom karbon (C2H5OH)  Terbentuk dari 1 atom karbon (CH3OH)
 Digunakan secara meluas dalam produk hand sanitizer kerana mempunyai sifat antibakteria dan antikulat  Tidak sepatutnya terkandung dalam produk yang digunakan oleh manusia seperti hand sanitizer.
Pencemaran methanol dalam hand santizer boleh berlaku apabila “methylated spirit“ yang mengandungi metanol dicampur atau diguna sebagai gantian kepada etanol atau isopropyl alcohol secara sengaja ataupun tidak.
 Bahan utama dalam kebanyakan minuman alkohol namun ia juga mempunyai kesan pada sistem saraf pusat jika diambil secara berlebihan.  Boleh wujud dalam produk-produk minuman alkohol yang dihasilkan atau dikilangkan secara haram. Metanol boleh terhasil daripada proses penyulingan alcohol yang tidak sempurna atau ditambah secara sengaja bagi menggantikan etanol kerana harganya yang jauh lebih murah
 Metabolit Toksik
Acetaldehyde
 Metabolit Toksik
Asid formik
 Gejala Keracunan
Loya, muntah, mengantuk, keliru, pertuturan menjadi tidak jelas, kesukaran bernafas
 Gejala Keracunan
Loya, muntah, sakit perut, sakit kepala, kerengsaan pada kulit, mengantuk, keliru, vertigo, penglihatan kabur, pernafasan menjadi laju, sawan, buta kekal, koma dan kematian

Mengapa metanol dalam produk hand sanitizer bahaya?

Metanol dalam keadaan asalnya adalah tidak toksik, namun apabila ia memasuki tubuh manusia, ia akan melalui proses metabolisme di dalam hati dan diuraikan kepada metabolit toksik iaitu asid formik. Sekiranya ditelan, dalam kuantiti amat kecil, iaitu 1.5ml pada kanak-kanak dan 10ml pada seorang dewasa, sudah memadai untuk menyebabkan gejala keracunan yang teruk.

Asid formik sukar untuk dikumuhkan dan ia akan mengumpul di dalam tubuh manusia. Keadaan ini boleh mengakibatkan kesan keracunan yang teruk kepada mangsa. Antara kesan buruk keracunan asid formik termasuk kerosakan organ-organ dalaman manusia dan kerosakan retina mata sehingga ke tahap boleh menyebabkan buta kekal sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Dalam sesetengah keadaan, metanol juga boleh diserap ke dalam tubuh melalui saluran pernafasan dan juga kulit namun kes-kes keracunan sistemik yang dilaporkan adalah amat jarang berbanding dengan pendedahan melalui sistem penghadaman. Namun begitu, kes toksik akibat penyerapan melalui kulit pernah dilaporkan akibat daripada pendedahan jangka panjang kepada produk yang dikesan mengandungi metanol. 

Gambarajah 1: Metanol yang masuk ke dalam tubuh akan diuraikan kepada asid formik/formate

68ms3a

 

Gambarajah 2: Asid formik merupakan metabolit toksik yang menyebabkan kerosakan pada saraf mata dan boleh menyebabkan mangsa buta secara kekal

68ms3b

Bagaimana memastikan produk hand santizer yang dibeli selamat?

  • Di Malaysia, produk hand sanitizer dikawal oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Pengguna boleh merujuk kepada laman sesawang NPRA (www.npra.gov.my) untuk memastikan produk yang dibeli berdaftar.
  • Baca label dan kenalpasti kandungan dalam produk hand sanitizer sebelum membeli.
  • Elakkan membeli produk yang tidak dilabel dengan jelas atau tidak mempunyai label yang lengkap.
  • Pastikan anda membeli produk daripada jenama yang dipercayai. Sentiasa berhati-hati terutama ketika membeli produk yang dijual di dalam talian kerana dikhuatiri produk yang telah pun ditarik balik arahan penjualan oleh FDA mungkin masih dijual secara dalam talian.