Skip to main content

vcc

Antraks - Ancaman kepada penduduk dunia!

Oleh: natrah@usm.my

Tahun 2001 berlalu dengan meninggalkan pelbagai peristiwa malah sesetengahnya meninggalkan kesan mendalam yang akan diingati sepanjang hayat.

11 September 2001 menjadi kemuncak segala peristiwa berikutan serangan bunuh diri terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, Amerika Syarikat (AS). Susulan dari itu AS bertindak balas dengan menyerang Afghanistan kerana mendakwa serangan tersebut didalangi oleh Osama bin Laden yang berkubu di sana. Rentetan dari itu dunia dikejutkan lagi oleh ancaman serangan antraks. Walaupun hampir semua kes antraks yang dilaporkan di Malaysia adalah palsu tetapi ia tetap menakutkan dan menimbulkan suasana panik.

Apakah Antraks?

Jangkitan antraks adalah disebabkan oleh bakteria Bacillus Anthracis iaitu sejenis bakteria yang tidak mudah musnah. Dengan kecenderungan semulajadinya untuk membentuk spora yang amat stabil, ia boleh disimpan hampir selama-lamanya, sama ada dalam bentuk cecair atau serbuk.

Umumnya antraks hanya menjangkiti haiwan seperti lembu, kuda, kambing, babi dan biri-biri tetapi kadang-kala boleh menjangkiti manusia.

Bakteria antraks boleh menjangkiti manusia melalui kulit, saluran pernafasan atau memakan makanan yang dicemari bakteria ini. 

Jangkitan melalui kulit biasanya melibatkan bahagian tangan, leher atau muka terutamanya jika terdapat luka. Pesakit akan mengalami rasa gatal-gatal selepas 2 hingga 3 jam pendedahan dan ia boleh berlarutan hingga menjadi gelembung-gelembung atau bintik-bintik atas kulit. Jangkitan yang serius boleh menyebabkan pengsan, pendarahan hingga membawa maut.

Walaupun jangkitan berpunca daripada memakan makanan yang dicemari bakteria ini jarang berlaku, sekiranya berlaku ia boleh juga membawa maut.

Jangkitan melalui pernafasan merupakan peringkat yang paling merbahaya. Ini kerana spora yang dihidu masuk jauh ke dalam paru-paru. Ia kemudiannya akan bercambah dan merebak dengan cepat ke seluruh paru-paru sehingga menyebabkan mangsa demam. Kesukaran bernafas dan gejala seperti dijangkiti influenza. Gejala-gejala ini berlaku agak cepat iaitu antara satu hingga tiga hari selepas jangkitan. Kebiasaanya mangsa akan sembuh sekejap tetapi kemudiannya mengalami kesukaran bernafas, sakit dada, pengsan dan akhirnya maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Pada hakikatnya antraks tidak begitu mudah menjangkiti kita. Seseorang yang telah terdedah kepada spora B. anthracis atau bersentuh dengan haiwan yang dijangkiti, tidak semestinya akan mendapat jangkitan. Spora mesti menembusi kulit atau permukaan saluran pencernaan atau masuk terus ke dalam paru-paru untuk membolehkan seseorang dijangkiti. Menurut satu laporan dari Persatuan Perubatan Amerika, seseorang itu hanya akan dijangkiti apabila ia menyedut lebih daripada 2,500 spora. Rawatan yang paling berkesan untuk jangkitan ini ialah dengan memberi antibiotik kepada mangsa dengan segera. Sekiranya rawatan lewat diberikan, bakteria tersebut mungkin dapat dibunuh tetapi toksinnya akan kekal di dalam tubuh mangsa.

Pencegahan jangkitan antraks boleh dilakukan dengan suntikan vaksin. Proses imunisasi antraks memerlukan 6 dos secara berperingkat-peringkat yang memakan masa hingga 18 bulan.

Perbuatan menyebarkan bakteria antraks palsu melalui perkhidmatan pos merupakan satu sikap buruk segelintir masyarakat kita yang cuba mengambil kesempatan di atas keadaan semasa tanpa menilai erti keharmonian negara. Sikap suka mengganggu ketenteraman awam ini sepatutnya dikenakan hukuman yang lebih berat dengan mengambil kira kos, tenaga dan masa yang terbuang bagi untuk menangani setiap laporan yang diterima. Sama samalah kita kekalkan keharmonian masyarakat kita.