Skip to main content

vcc

Penyalahgunaan Sijil Makmal Pusat Racun Negara: Awas, Jangan Terpedaya!

Oleh: NorJuliana Mohd Noor

Makmal toksikologi merupakan salah satu unit di Pusat Racun Negara yang berperanan menyediakan kemudahan perkhidmatan identifikasi racun bagi membantu pengurusan dan prognosis kes keracunan. Ia diwujudkan pada tahun 1995. Unit ini terlibat dalam program bancian populasi yang terdedah kepada risiko keracunan atau toksikovigilans. Selain itu, makmal toksikologi juga bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam pembangunan kaedah validasi tatacara analitikal. Seiring dengan perkembangan semasa dan permintaan terkini, Makmal Toksikologi PRN mengorak langkah dengan membuka ruang kepada pengkomersilan perkhidmatan untuk penjanaan kewangan. Perkhidmatan makmal yang ditawarkan bukan hanya kepada warga universiti sahaja, tetapi terbuka kepada pelanggan luar yang berpotensi dan memerlukan perkhidmatan analisa makmal. 

Dalam usaha memperkukuhkan kewibawaan dan mutu perkhidmatan, Makmal Toksikologi PRN telah mengambil beberapa inisiatif, antaranya mendapatkan pengiktirafan daripada badan pensijilan diiktiraf. Pada tahun 2011, makmal PRN telah dianugerahkan persijilan MS ISO/IEC 17025 oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM) bagi dua skop ujian saringan iaitu Sibutramine dan Erectile Dysfunction Drug. Makmal ini juga telah diiktiraf oleh Bahagian Penguatkuasa Farmasi Nasional (BPFK) sebagai makmal swasta pada tahun 2018. Buat masa ini Makmal Toksikologi PRN menawarkan 18 perkhidmatan analisa. 

Pelbagai jenis sampel telah diterima untuk analisa dan kebanyakannya adalah sampel produk siap yang terdiri daripada produk makanan, kosmetik dan sediaan herba. Pelanggan pula terdiri daripada pengilang, pengeluar, orang persendirian dan juga penyelidik. Setelah ujian dijalankan, keputusan analisa akan dikeluarkan dalam bentuk sijil analisa. Keputusan sijil analisa untuk sesuatu produk hanyalah sah untuk analisa produk tersebut sahaja. Sekiranya produk yang sama tetapi daripada pengeluar yang lain, keputusan analisa itu adalah tidak sah digunakan. Sijil analisa yang telah dikeluarkan adalah bertujuan sebagai rekod dan juga sebagai dokumen sokongan untuk pendaftaran produk di mana-mana badan pendaftaran produk mengikut akta yang berkaitan. Sebagai contoh badan yang terlibat adalah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM). 

Sebagai langkah berjaga-jaga untuk menjamin kredibiliti sijil serta keputusan yang dikeluarkan, nota terma dan syarat telah diletakkan pada sijil analisa makmal. Terma dan syarat tersebut menyatakan bahawa makmal tidak terlibat secara langsung dengan aktiviti pensampelan bagi sampel yang dianalisa dan keputusan pada sijil hanyalah termaktub untuk sampel tersebut sahaja. Pusat Racun Negara ataupun USM tidak memberikan sebarang jaminan terhadap keselamatan serta kualiti kepada produk. PRN dan USM juga tidak bertanggungjawab untuk sebarang kerugian, perbelanjaan atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan atau tafsiran hasil ujian ini. Apa-apa penggunaan, perubahan, pemalsuan atau pemalsuan kandungan atau penampilan sijil yang tidak dibenarkan adalah tidak sah dan pesalah boleh didakwa mengikut undang-undang sepenuhnya. Terdapat penyataan di bahagian bawah sijil yang menyatakan bahawa sijil ini hanya akan diterbitkan semula dengan persetujuan bertulis daripada pihak makmal. 

ms4 1

Agak menyedihkan, kebelakangan ini Makmal Toksikologi PRN telah menerima banyak aduan daripada orang awam berkenaan sijil analisa yang telah disalahguna sama ada oleh pengusaha atau pihak lain dengan kaedah memanipulasi atau memalsukan sijil tersebut. Agak menyedihkan, kebelakangan ini Makmal Toksikologi PRN telah menerima banyak aduan daripada orang awam berkenaan sijil analisa yang telah disalahguna sama ada oleh pengusaha atau pihak lain dengan kaedah memanipulasi atau memalsukan sijil tersebut.Berikut adalah contoh beberapa bentuk salahguna pada sijil analisa makmal:

1. Mengubah keputusan analisa pada sijil daripada Detected (ditemui) kepada Not Detected (tidak ditemui). 

ms4 2

2. Menukar alamat atau memadamkan nama serta alamat pada sijil analisa. 

ms5 1

3. Mengubahsuai nama serta tandatangan pada bahagian Approved Signatory. 

Selain daripada kaedah pengubahsuaian sijil analisa itu sendiri, terdapat penyalahgunaan lain seperti:Selain daripada kaedah pengubahsuaian sijil analisa itu sendiri, terdapat penyalahgunaan lain seperti:

1.Dakwaan penggunaan produk mereka adalah selamat dan mendapat kelulusan daripada Pusat Racun Negara. 

ms5 2

 

2. Meletakkan logo Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pusat Racun Negara tanpa kebenaran pada produk.

ms5 3

 

3. Mempamerkan sijil analisa di laman sesawang. 

ms5 4

Kesemua taktik yang digunakan ini adalah tidak beretika dan menyalahi terma dan syarat sepertimana dinyatakan pada sijil analisa. 

Penyalahgunaan sijil yang berleluasa ini adalah bertujuan untuk meningkatkan pemasaran dan pengiklanan produk bagi meyakinkan pengguna. Pengiklanan produk melalui medium media sosial dengan menggunakan aplikasi whatsapp, facebook dan instagram menjadikannya ia mudah dan berleluasa dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat. Tindakan ini secara tidak langsung menjatuhkan kredibiliti sijil yang telah dikeluarkan dan mengelirukan para pengguna. Aktiviti licik seperti ini mengakibatkan Makmal Toksikologi PRN dihujani oleh banyak aduan dan pertanyaan berkaitan sijil yang dikeluarkan. Setakat ini, tindakan yang telah dilakukan oleh makmal PRN bagi menangani masalah penyalahgunaan sijil ini adalah dengan mengeluarkan surat amaran melalui pihak perundangan USM kepada pelaku. Sekiranya perkara ini berlarutan, tindakan lebih tegas seperti menyaman pelaku akan dipertimbangkan oleh Makmal Toksikologi PRN dan USM. 

Justeru itu, pengguna dan orang awam hendaklah sentiasa berwaspada dengan sijil yang telah diiklankan secara berleluasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Teliti sijil yang dipamerkan dan sekiranya berasa ragu, sila hubungi sendiri Pusat Racun Negara untuk mendapatkan kepastian. Tindakan menyemak sendiri ini adalah demi kemaslahatan diri dan mengelakkan pengguna daripada terperangkap dengan penyelewengan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Makmal Toksikologi Pusat Racun Negara
Pusat Racun Negara,
Universiti Sains Malaysia
11800 USM
Pulau Pinang
No. Tel.: 04-6532171
Facebook: Toxicology Laboratory