Skip to main content

vcc

Pembersihan dan Perlupusan Peralatan Mengandungi Merkuri

Oleh: Dr. Haidar Rizal Toha

 

67ms4a

Pengenalan

Merkuri yang juga dikenali sebagai raksa adalah satu dari pelbagai jenis logam yang terdapat di bumi ini. Satu karakteristik unik logam merkuri ialah ia bersifat cecair pada suhu bilik, berbeza dengan sifat logam-logam yang lain. Logam merkuri digunakan dalam beberapa perkakasan yang kita gunakan dan lazimnya ia diisi dalam bekas yang diperbuat daripada kaca.

Antara peralatan yang mengandungi merkuri adalah jangka suhu yang digunakan untuk mengukur suhu persekitaran, barometer yang digunakan untuk mengukur tekanan udara dan sfigmomanometer yang digunakan untuk mengukur
tekanan darah manusia. Sebagaimana yang kita tahu, apa jua bekas yang diperbuat dari kaca akan mudah pecah. Apabila ini berlaku, sudah tentu merkuri yang terkandung di dalamnya akan tertumpah. Malang sekali apabila ini berlaku kerana merkuri merupakan sejenis logam yang  boleh mendatangkan kesan toksik kepada manusia.

Kesan Merkuri kepada Kesihatan

Merkuri yang tertumpah akan membentuk butiran-butiran cecair yang amat mudah meruap lantas mencemar udara persekitaran walaupun pada suhu bilik. Sekiranya terdapat pergerakan udara di dalam bilik yang tertutup seperti penggunaan kipas atau penyaman udara, wap logam tersebut akan tersebar ke kawasan yang lebih luas.

Wap merkuri sangat mudah diserap melalui paru-paru dan kebanyakan mangsa yang mengalami kesan toksik merkuri adalah akibat mereka menghirup udara yang  tercemar oleh bahan ini.

Merkuri sukar diserap melalui kulit atau saluran penghadaman yang sihat jika jumlah yang terbabit adalah kecil dan jarang memberi kesan kepada kesihatan. Namun risiko keracunan meningkat jika sekiranya kulit yang terdedah itu luka atau cedera. 

67ms4b

Persediaan dalam Menghadapi Tumpahan Merkuri

Sebagai langkah berjaga-jaga, semua premis atau fasiliti yang mempunyai peralatan yang mengandungi merkuri seperti sekolah, makmal dan klinik perlu menyediakan kit pembersihan tumpahan merkuri yang dipanggil “kit tumpahan merkuri”. Peralatan yang perlu ada di dalam kit ini adalah:

  • lampu suluh
  • 2 keping kadbod
  • pita pelekat selofan
  • forsep pakai buang
  • picagari 10cc
  • serbuk sulfur 250gram
  • bekas plastik ziplock
  • bekas plastik berpenutup tahan bocor (seperti tupperware bagi mengisi serpihan kaca) 
  • botol keras berpenutup 
  • beg plastik sampah
  • cable tie
  • gogal
  • pelitup muka (sekurang-kurangnya N95) 
  • sarung tangan getah/nitril
  • pelindung kasut pakai buang 
  • apron plastik pakai buang
  • tuala kertas