Skip to main content

vcc

Baik Buruk Menggunakan Ubat

Oleh: natrah@usm.my

sudut idpis

Penemuan sesuatu ubat baru amat mengembirakan kita kerana ini dapat memberi pilihan yang lebih dan mungkin juga membuatkan rawatan yang sedia ada lebih baik. Inilah yang diharapkan doktor, ahli farmasi dan juga pesakit sendiri. Kita juga sedar bahawa sesuatu ubat mempunyai kesan baik tetapi kurang menyedari kesan buruknya. Tidak ada ertinya kalau sesuatu ubat itu berkesan tetapi juga amat toksik dan membahayakan. Ini tidak ubah seperti ubat yang selamat tetapi tidak berkesan. Kedua-duanya tidak dapat memberi manafaat kepada kita.

Pihak berkuasa telah mengenakan berbagai syarat kepada para saintis untuk mempastikan sesuatu drug itu selamat dan berkesan. Setiap drug perlu menjalani berbagai fasa kajian sebelum ianya dapat dipasarkan. Seperti yang ditunjukkan dalam gambarajah berikut:

Fasa Pra-klinikal

Sifat-sifat sesuatu ubat dikaji dengan teliti terutamanya dari sudut keselamatannya. Bahan kajian membabitkan haiwan. Kesan buruk jangka pendek dan panjang di kaji. Begitu juga dengan kesan-kesan lain seperti keupayaan ubat menyebabkan kanser, kecacatan janin, kesuburan dan sebagainya dilakukan. Jika selamat kajian ini akan dilanjutkan kepada fasa klinikal.

Fasa Kajian Klinikal

Ini dilakukan apabila dapat dipastikan ubat ini selamat digunakan oleh manusia. Tumpuan kajian adalah untuk mengetahui bagaimana ubat dikendalikan oleh tubuh manusia. Disamping itu, kesan buruk, jika dialami oleh sukarelawan, akan direkodkan.

Kajian Klinikal

Kajian ini dibahagikan kepada 3 peringkat:

Peringkat Pertama: Kajian dilakukan bagi menentukan profil keselamatan jangka pendek ubat serta julat dos yang diperlukan untuk merawat penyakit.

Peringkat Kedua: Ini adalah untuk menilai keberkesanan (efikasi) ubat; tentukan dos yang sesuai dan meneliti profil kejadian buruk ubat.

Peringkat Ketiga: Tujuannya ialah untuk mengesahkan keselamatan dan keberkesanan ubat untuk kegunaan jangka panjang. Jika ubat dapat disahkan selamat dan berkesan, peringkat seterusnya untuk memohon pendaftaran supaya ubat dapat dipasarkan. Jika pihak berkuasa tempatan yakin bahawa ubat baru yang ingin dipasarkan ini berkualiti, selamat dan berkesan, ubat ini akan diluluskan untuk digunakan oleh awam.

Tahukah anda bahawa kajian-kajian yang telah dilakukan adalah amat teliti? Bukan sahaja kajian-kajian ini bertahun-tahun lamanya (7-12 tahun) tetapi juga melibatkan kos yang amat tinggi. Walaupun begitu kesan-kesan lain khususnya kesan buruk ubat hanya dapat diperhatikan apabila ubat tersebut digunakan dengan lebih meluas. Ini menyokong perlunya satu kajian yang berterusan semasa ubat itu telah dipasarkan.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan telahpun mengujudkan sistem sedemikian bagi mengawasi kesan-kesan ini. Namum begitu, keberkesanan sistem ini banyak bergantung kepada pengamal perubatan dan pesakit sendiri bagi melaporkan kejadian yang tidak diingini. Kejadian kesan buruk yang tidak disedari atau tidak dilaporkan akan hanya memberikan gambaran yang tidak tepat tentang baik buruk sesuatu ubat itu.

Oleh itu, orang ramai perlu berwaspada apabila hendak menggunakan ubat. Mereka perlu tahu untuk mengimbangi baik buruk sesuatu ubat sebelum menggunakannya . Mereka perlu bincangkan dengan para doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan kepastian. Jika tidak ubat boleh bertindak sebagai racun.