Skip to main content

vcc

Rokok: Tindakan Tegas Raihan dialu-alukan

Oleh: natrah@usm.my

20raihan

Dalam dunia muzik tanah air, khususnya konsert hiburan, seringkali dipamerkan dalam media sebagai satu aktiviti tajaan syarikat-syarikat tembakau. Tidak berapa lama dahulu, soal penajaan konsert sedemikian telah mendapat teguran daripada berbagai pihak, malah ada ketikanya konsert tersebut terpaksa dibatalkan atas desakan orang ramai. Kontroversi ini timbul berikutan syarikat- syarikat tembakau sering mengambil kesempatan untuk menonjolkan imej-imej palsu melalui aktiviti-aktiviti hiburan kepada remaja dengan harapan jenama mereka mendapat tempat di hati peminat konsert tersebut. Justeru itu, syarikat-syarikat tembakau tidak putus-putus menganjurkan pesta-pesta muzik, baik secara terbuka mahupun di kaca TV. Ini disertai dengan iklan-iklan akhbar bagi menarik lebih banyak langganan kepada jualan mereka.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika syarikat yang sama dilaporkan telah membuat pelawaan kepada kumpulan Raihan bagi menaja Konsert Raihan - Syukur Malaysia 1998. Namun demikian, kumpulan tersebut telah menolak pelawaan yang sudah semestinya lumayan. Walaupun dengan menolak tawaran ini Raihan dikatakan mungkin menanggung risiko tertentu, namun mereka tetap dengan pendiriannya demi menjaga imej dan maruah anak-anak muda ini. Hal ini perlu mendapat sanjungan yang tinggi daripada semua lapisan masyarakat, khususnya remaja yang telah jelak dengan monopoli syarikat tembakau dalam dunia hiburan tempatan. Ketegasan Raihan perlu diteladani bukan sahaja oleh kumpulan-kumpulan lain dan pe-minat-peminat hiburan di seluruh negara malah oleh penganjur-penganjur konsert lain. Ini termasuklah pihak kerajaan sendiri yang sehingga hari ini masih terus menyiarkan tajaan-tajaan syarikat rokok bagi program-program hiburan mereka. Keputusan yang diambil oleh Raihan sekali gus telah memberi mesej yang selama ini hangat diperdebatkan iaitu aktiviti hiburan dan sukan bercanggah dengan kesan akibat penggunaan tembakau. Malah ini juga adalah slogan yang digunakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam salah satu daripada tema Kempen Membasmi Tabiat Merokok sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia tahun 1996.

Oleh yang demikian sudah sampailah masanya lebih ramai lagi artis tanah air serta peminat mereka dapat meneladani langkah yang telah dimulakan oleh Raihan.

Contohilah Raihan

Keadaan ini kian mendesak, memandangkan baru-baru ini terdapat beberapa laporan berita yang menunjukkan bahawa syarikat tembakau khususnya British American Tobacco Co. Ltd. (BAT) akan menjadikan Malaysia pusat operasi utama mereka. Ini ekoran penutupan opera-sinya di Hong Kong berikutan kos pengeluaran yang tinggi. Satu penyusunan semula dijangka akan dilakukan menjelang September ini dan operasi pengeluarannya akan dipindahkan ke Malaysia melalui anak syarikatnya Malaysian Tobacco Co. Bhd. (MTC). Dengan pemindahan ini, MTC mendakwa keupayaannya untuk mengeksport akan meningkat. BAT kini merupakan salah satu pengeluar rokok yang terbesar di dunia dan mempunyai hampir 50% saham MTC. Selain dari Malaysia, BAT juga mempunyai kilang di negara-negara Asia lain.

Adakah ini merupakan satu lagi bentuk pelaburan yang patut diterima dengan tangan yang terbuka? Adakah Malaysia melalui usaha seperti ini dapat dibanggakan sebagai pengeksport tembakau kepada kebanyakan negara-negara Asia? Sudah jelas persoalan seumpama ini menimbulkan banyak kontroversi. Nampaknya kumpulan Raihan lebih arif dalam hal ini. Pertimbangan untuk menerima pelaburan tembakau daripada syarikat gergasi seperti BAT mesti diteliti bukan sahaja daripada segi keuntungan, ekonomi jangka pendek. Ini perlu diimbangi dengan kesedaran bahawa tembakau telah diketahui mendatangkan berbagai penyakit terutama-nya penyakit jantung dan barah kepada penggunanya mahupun kepada orang lain secara pasif.

Pada awal tahun ini, seorang jurucakap MTC telah mengakui secara terbuka dalam sebuah akhbar tempatan bahawa merokok adalah salah satu daripada faktor menyebabkan penyakit barah paru-paru. Pengakuan ini merupakan satu kesedaran bahawa produk utama tembakau, yakni rokok boleh membahayakan. Timbul persoalan mengapa MTC sanggup meningkatkan keupayaannya untuk menghasilkan lebih 35 juta batang rokok apabila ia dijadikan pusat pengeluaran BAT tidak lama lagi. Ini sudah tentu mengakibatkan meningkatnya lebih penyakit seperti barah dan lain-lain lagi. Ekonomi negara pula akan dibebankan. Kenyataan ini telahpun mendapat perhatian daripada Bank Dunia yang umumnya kini menganggap penanaman tembakau sebagai satu beban ekonomi kepada negara terlibat dan juga rakyatnya. Pada tahun 1992 lagi, Bank Dunia mempunyai dasar antaranya:

  • tidak menggalakkan penggunaan produk-produk tembakau di dalam sektor kesihatan.
  • tidak akan meminjamkan wang baik secara tidak langsung sekalipun untuk pengeluaran tembakau.
  • tidak akan cuba membantu negara-negara yang bergantung kepada tembakau sebagai sumber ekonominya sedapat yang mungkin.

Ini menunjukkan bahawa baik dari segi ekonomi sekalipun, penghasilan tembakau tidak sepatutnya digalakkan. MTC melalui BAT tidak wajar dibenarkan memperbesarkan pelaburannya di negara ini, memandangkan implikasi yang akan dihadapi oleh negara dan rakyat dari segi kesihatan. Tambahan pula, kerajaan baru-baru ini memandang berat dengan kegiatan merokok, khususnya di kalangan remaja dan kemasukan pelaburan melalui BAT menampakkan percanggahan dasar yang sedang dikuatkuasakan di negara ini. Sudah sewajarnya pandangan dan tindakan tegas anak-anak muda kumpulan Raihan dipertimbangkan dengan serius.