COVID-19: Membasmi Jangan Sampai Meracuni
COVID-19 merupakan virus yang tidak kelihatan tetapi mampu memberikan kesan teruk terhadap kesihatan, sehingga menyebabkan kematian. Sehingga tarikh artikel ini ditulis, virus ini telah menjangkiti lebih daripada 6 juta orang dan mengorbankan lebih 300 ribu mangsa di seluruh dunia hanya dalam tempoh beberapa bulan sahaja.
Pusat Racun Negara dengan kapasitinya, memberi perhatian khusus kepada tragedi ini, serta memantau aspek keracunan yang telah terjadi atau mungkin berlaku semasa wabak ini. Dalam usaha mengekang jangkitan COVID-19, pelbagai langkah pencegahan telah diambil, diinovasi dan ada juga yang dimanipulasi. Kebanyakan inisiatif-inisiatif tersebut melibatkan penggunaan bahan kimia yang berisiko untuk menyebabkan keracunan. Dalam edisi kali ini, Penawaracun akan mengupas beberapa isu berkaitan keracunan dan COVID-19.
KERACUNAN PENSANITASI TANGAN (‘HAND SANITIZER’)
Kini, boleh dikatakan setiap rumah pasti mempunyai pensanitasi tangan, malahan ia seolah-olah menjadi keperluan asas bagi setiap orang.
Perlu diingat, bahawa pensanitasi tangan mengandungi bahan kimia yang mungkin boleh menyebabkan keracunan sekiranya termakan jika tidak disimpan atau dikendalikan dengan selamat. Terdapat 2 jenis pensanitasi tangan yang terdapat dalam pasaran iaitu; beralkohol dan tidak beralkohol.
Kebanyakan pengeluar memasarkan pensanitasi tangan beralkohol seperti mana yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Untuk memastikan sesuatu pensanitasi tangan berkesan, peratusan kandungan alkoholnya perlu lebih daripada 60%. Alkohol yang biasa digunakan adalah daripada jenis etanol ataupun isopropil alkohol. Sekiranya tertelan dalam jumlah yang banyak, ia boleh menyebabkan keracunan alkohol.
Gejala keracunan alkohol yang sederhana ialah mangsa mengalami kesan khayal, perubahan tingkah laku, pergerakan otot dan anak mata tidak terkawal serta jantung berdegup kencang. Tahap keracunan teruk pula akan mengakibatkan gangguan pada saraf pusat dan sistem pernafasan, suhu badan dan paras gula dalam darah menurun, sawan dan juga kekeliruan pemikiran.
Sehingga artikel ini ditulis, Pusat Racun Negara telah menerima 11 kes terminum pensanitasi tangan melibatkan kanak-kanak berusia lingkungan 5 bulan hingga 2 tahun. Kebanyakan kes keracunan berlaku akibat kegagalan untuk menyimpan pensanitasi tangan di tempat yang selamat. Ibu bapa atau orang dewasa, pastikan anda menyimpan pensanitasi tangan di rumah secara selamat dan jauh daripada capaian kanak-kanak.
‘HEALTH TAG’ BOLEH CEGAH WABAK COVID-19?
Apabila wabak COVID-19 menular dan mencetus kebimbangan di kalangan masyarakat, maka wujudlah pelbagai produk pencegahan jangkitan dalam pasaran. Antara produk yang tular dalam media sosial dan laris penjualannya melalui atas talian adalah kad kesihatan yang digantung pada baju (health tag), mengandungi bahan kimia natrium klorit yang kemudian akan dibebaskan dalam bentuk gas klorin dioksida. Produk ini kononnya bertindak mencegah jangkitan virus dan bakteria melalui pembebasan gas klorin dioksida di sekitar pemakainya.
Benarkah begitu?
Walaupun terdapat kajian oleh NorioOgata and Takashi Shibata, Protective effect of low-concentration chlorine dioxide gas against influenza A virus infection. Journal of General Virology (2008), 89, 60–67 yang membuktikan bahawa klorin dioksida dalam bentuk gas pada kepekatan rendah boleh memberi kesan perlindungan daripada jangkitan virus influenza. Namun, kajian tersebut menyarankan penggunaan gas ini dalam kawasan separa tertutup seperti pejabat, hotel, bangunan lapangan terbang dan seumpamanya. Ini sama sekali TIDAK bertepatan dengan konsep pemakaian health tag pada seseorang individu yang bebas bergerak ke mana-mana.
Satu kajian khusus, keberkesanan produk seumpama ini telah dijalankan dan diterbitkan melalui artikel Hidekazu Nishimura, Investigation on Practical Usefulness of Body-worn Devices that Claim to Release Chlorine Dioxide. Japanese Journal of Environmental Infections 32(4): 222-226 July 2017. Hasil kajian ini mendapati:
- Tiada kesan pembasmian kuman atau virus yang berlaku
- Gas yang dibebaskan adalah sangat rendah atau tidak dapat dikesan langsung
Dapatan ini membuktikan pemakaian health tag adalah diragui keberkesanannya untuk mencegah jangkitan kuman atau virus sedia ada apatah lagi COVID-19.
Klorin dioksida merupakan gas yang boleh mengakibatkan kerengsaan terutama pada saluran pernafasan, bergantung kepada kuantiti dan kepekatan gas yang terdedah. Apa yang lebih dibimbangi adalah keyakinan pengguna terhadap keberkesanan produk ini yang akan menyebabkan mereka merasakan selamat dan terlindungi daripada jangkitan. Akibatnya pemakai mungkin akan bersikap kurang berhati-hati dan tidak mengamalkan kaedah pencegahan yang terbukti berkesan seperti kerap membasuh tangan dan penjarakan sosial.
TEROWONG DISINFEKSI: ADAKAH SELAMAT DAN BERKESAN?
Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia telah melakukan penilaian terhadap beberapa model terowong disinfeksi seperti kebuk
(chamber), gerbang, booth dan partition yang berfungsi untuk menyahkuman terhadap manusia. Hasil penilaian mendapati bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa peralatan tersebut berkesan dalam mengurangkan jangkitan COVID-19. Pusat Racun Negara menyokong kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS), KKM bahawa:
- Keberkesanan produk inovasi seperti terowong disinfeksi ini bergantung kepada jenis bahan disinfektan yang digunakan. Sebagai contoh, Chlorhexidine tidak berkesan terhadap virus.
- Meskipun USEPA telah menyenaraikan disinfektan yang berkesan terhadap COVID-19 seperti etanol, hidrogen peroksida, glutaraldehid dan natrium hipoklorit, namun disinfektan ini TIDAK SESUAI digunakan secara semburan terus ke tubuh.
- Selain itu, USEPA juga menyatakan antara kaedah terbaik adalah membasuh pakaian yang tercemar menggunakan air suam ataupun merendam pakaian
tersebut di dalam cecair disinfeksi yang mengandungi Quartenary Ammonium selama 5 hingga 10 minit dan mengeringkannya. - Oleh itu, proses semburan sekitar 20-30 saat setiap kali pengguna melalui terowong tersebut adalah TIDAK memadai untuk membasmi koronavirus yang terdapat pada permukaan pakaian.
Pusat Racun Negara juga bersetuju dengan pendirian KKM bahawa terowong sanitasi adalah inovasi yang baik, namun lebih banyak kajian perlu dijalankan terutamanya berkenaan dengan disinfektan yang digunakan. Disinfektan seperti benzalkonium klorida, natrium hipoklorit dan hidrogen peroksida berisiko untuk
menyebabkan kerengsaan pada bahagian yang terdedah seperti mata, hidung dan mulut. Jika terhidu, pesakit lelah berisiko untuk terkena serangan asma.
Sebagaimana produk-produk lain yang tiada bukti keberkesanan terhadap pembasmian COVID-19, impak yang dibimbangi adalah keyakinan pengguna terhadap
kaedah ini akan menyebabkan mereka merasa selamat dan terlindung daripada jangkitan lalu mengabaikan langkah pencegahan berkesan yang disarankan. Oleh
itu, PRN menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengikuti saranan KKM untuk terus mengamalkan langkah pencegahan yang terbukti berkesan iaitu:
- Kerap basuh tangan dengan sabun atau pensanitasi tangan,
- Pakai penutup mulut dan hidung sekiranya mempunyai gejala seperti batuk dan selsema,
- Amalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter.