Skip to main content

vcc

Kawalan Kanabis di Malaysia

Oleh: Nur Azzalia Kamaruzaman

kana

Kanabis merupakan sejenis tumbuhan berbunga yang terdiri daripada tiga spesies, iaitu Cannabis Sativa, Cannabis Indica dan Cannabis Ruderalis. Tumbuhan daripada keluarga Cannabaceae ini mempunyai lebih daripada 400 bahan kimia, dan 60 daripadanya merupakan bahan kimia kelas kanabinoid. Dua bahan aktif utama kelas kanabinoid yang paling banyak terdapat dalam kanabis ialah delta-9-tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD). Kedua bahan ini mempunyai struktur molekular yang serupa, namun susunan atomnya adalah berbeza. Ini mempengaruhi kesannya terhadap tubuh manusia apabila ia diambil. THC mempunyai kesan psikoaktif yang akan mengakibatkan pengambilnya mengalami khayal manakala CBD tidak.

Baru-baru ini, dua keputusan besar berkaitan kanabis telah dibuat di peringkat antarabangsa. Pertama, pada 19 November 2020, Mahkamah Tinggi Kesatuan Negara-negara Eropah (EU) telah memutuskan bahawa CBD bukannya bahan narkotik — ‘CBD tidak boleh dikelaskan sebagai narkotik di bawah Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu 1961, kerana CBD tidak mendatangkan kesan psikotik atau memudaratkan terhadap kesihatan manusia’.

Kedua, pada 2 Disember 2020 pula, Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah Narkotik (United Nations Commission on Narcotic Drugs, CND) telah meluluskan cadangan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO) untuk mengeluarkan kanabis dan resin kanabis dari klasifikasi Jadual IV di bawah Konvensyen Tunggal 1961 bagi Dadah Narkotik (1961 Single Convention on Narcotic Drugs). Pengeluaran kanabis dari klasifikasi Jadual IV bermaksud kanabis tidak lagi diklasifikasikan sebagai bahan yang paling berbahaya dan diakui mempunyai faedah perubatan. Ini adalah langkah yang dapat membuka peluang untuk pengembangan penyelidikan kanabis untuk penggunaan perubatan.

Namun begitu, pihak berkuasa di Malaysia masih belum membuat apa-apa keputusan berkenaan perkara ini. Oleh itu, kanabis, resin kanabis, ekstrak kanabis dan tincture kanabis masih dikatagorikan sebagai dadah berbahaya dan tertakluk dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga racun yang tertakluk kepada Akta Racun 1952. Produk berasaskan kanabis untuk kegunaan rawatan perubatan manusia juga tertakluk dibawah Akta Jualan Dadah 1952. Akta-akta ini dan peraturan-peraturannya memperuntukkan kawalan terhadap pengendalian kanabis, antaranya pengimportan, pengeksportan, penjualan, pembekalan, pengilangan, penanaman, pemilikan dan penggunaan.

Secara terperinci, kanabis disenaraikan di bawah Jadual 1 dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mengharamkan penanaman, pengeluaran, pengedaran, import, eksport, pemilikan dan penyalahgunaannya. Selain itu, pemilikan 200 gram kanabis boleh membawa hukuman mati, manakala menanam enam pokok tumbuhan itu boleh dikenakan penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan. Hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan berkaitan pemilikan kanabis adalah seperti berikut:

graf

Kawalan Penanaman Kanabis

Seksyen 6B(1), Akta Dadah Berbahaya 1952 menyatakan bahawa kanabis tidak boleh ditanam di Malaysia. Adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang yang menanam atau membenarkan penanaman kanabis. Walau bagaimanapun, seksyen 6B(2) akta yang sama memperuntukkan Menteri Kesihatan Malaysia boleh memberikan kebenaran kepada mana-mana pegawai awam untuk menanam kanabis bagi tujuan sama ada penyelidikan, pembelajaran, eksperimen atau perubatan dengan tertakluk kepada terma dan syarat yang boleh ditetapkan dalam kebenaran tersebut. Dalam konteks ini, pegawai awam (public officer) adalah merujuk kepada individu yang berkhidmat di institusi kerajaan yang memegang jawatan serta menjalankan tugas rasmi di pejabat itu sendiri (Akta Tafsiran 1948 dan 1967).

Kawalan Pengimportan Kanabis

Selain itu, pengimportan kanabis termasuklah bunga, ekstrak kanabis atau tincture kanabis yang merupakan racun dan dadah berbahaya hanya boleh dilakukan oleh pengimport yang mempunyai Lesen Jenis A di bawah Akta Racun 1952 dan kebenaran import di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Aktiviti lain yang bersangkutan dengan pengimportan kanabis, ekstrak kanabis atau tincture kanabis bagi tujuan penghasilan produk untuk kegunaan rawatan perubatan manusia seperti penjualan atau pembekalan, pengilangan, pemilikan atau penggunaan juga hanya boleh dilakukan oleh orang tertentu yang mempunyai lesen, kebenaran atau pengecualian yang diperuntukkan di bawah Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.