Skip to main content

vcc

Tempoh Penyusuan Ibu - Bolehkah Ibu Mengambil Ubat?

Oleh: Dr. Mohamed Izham Mohamed Ibrahim & Dr. Norlela Maarup

Ibu-ibu masa kini didapati sangat prihatin tentang isu penyusuan bayi dengan menggunakan susu ibu dan faham akan manfaatnya. Susu ibu merupakan sumber zat dan antibodi yang baik untuk bayi. Bagi ibu-ibu yang terpaksa mengambil ubat dalam tempoh penyusuan beberapa perkara perlu diketahui terlebih dahulu.

Ini adalah kerana sesetengah ubat boleh memasuki tubuh bayi melalui susu ibu. Ubat-ubat ini boleh memberi kesan buruk kepada bayi kerana sistem tubuh bayi yang sedang berkembang. Sesetengah ubat pula, boleh mengurangkan pengeluaran susu ibu, justeru menjejaskan berat badan bayi. Bayi-bayi ini perlukan susu/makanan tambahan. Kadangkala ibu terpaksa memberhentikan penyusuan lebih awal dari sepatutnya kerana kekurangan atau ketiadaan susu.

Ibu-ibu dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat terperinci daripada doktor atau ahli farmasi tentang kaedah untuk mengurangkan risiko ubat-ubatan terhadap bayi mereka. Sesetengah ubat perlu digunakan dalam dos yang kecil dan ada ubat yang perlu digunakan dalam tempoh yang singkat.

Berikut adalah contoh-contoh ubat yang perlu dielakkan atau digunakan secara berhati-hati semasa tempoh penyusuan bayi.

Elakkan menggunakan:

  • amantadin, ubat antikanser, bromokriptin, kloramfenikol, alkaloid ergot, klemastin, garam emas, iodin, litium, fenindion, tiourasil

Gunakan berhati-hati:

  • aminofilin, amiodaron, aminoglikosida, antibiotik, antraquinon, aspirin, atropin, barbiturat, benzodiazepin, penghalang beta, kalsiferol, karbimazol, klorpromazin, simetidin, klindamisin, kortikosteroid, diuretik, indometasin, isoniazid, laksatif, meprobamat, metildopa, metronidazol, asid nalidisik, nitrofurantoin, analgesik opiod, kontraseptif oral, penisilin, fenobarbiton, fenilbutazon, reserpin, hormon seks, sulfonamida.

Faktor yang boleh digunakan sebagai panduan apabila memilih ubat untuk ibu yang masih menyusu bayi mereka:

  • dos ubat dan tempoh rawatan
  • umur bayi tersebut
  • jumlah susu yang digunakan (dihisap)
  • tahap penyerapan ubat secara oral oleh bayi
  • kesan mudarat (atau toksik) yang tidak berkaitan (tidak bergantungan) pada dos ubat
  • kemungkinan kesan ubat yang berpanjangan
  • kemungkinan gangguan ubat terhadap pengeluaran susu
  • pengalaman dan pengetahuan ahli profesional kesihatan berkaitan ubat berkenaan.
Bagaimana untuk mengurangkan pendedahan bayi kepada ubat-ubat dalam susu ibu?
  • elakkan atau jangan ambil ubat jika boleh
  • lambatkan proses rawatan terhadap ibu jika keadaan tidak terdesak
  • pilih ubat yang tidak boleh atau sukar memasuki susu ibu
  • pilih cara pengambilan ubat (cara pemberian) yang lebih sesuai.
  • elakkan penyusuan pada waktu kepekatan ubat tinggi dalam susu
  • berikan ubat kepada ibu selepas pen-yusuan yang terakhir iaitu sebelum bayi tidur malam
  • berhentikan penyusuan buat sementara waktu
  • berhenti menyusu sekiranya ubat mempunyai banyak kesan mudarat