Skip to main content

vcc

Keracunan Hasilan Makanan dari Haiwan

Oleh: natrah@usm.my

"Ramai penternak ayam secara kecil-kecilan masih menggunakan sejenis antibiotik yang dipercayai mempunyai kesan karsinogenik (penyebab barah) dan boleh merosakkan sistem saraf pusat. Nitrofuran, satu kelas drug yang amat toksik digunakan untuk mengawal penyakit yang menyerang ayam ternakan. Seorang doktor haiwan di Johor, mendapati rintangan terhadap antibiotik tersebut telah wujud dalam sekumpulan ayam ternak yang dirawatnya." Terjemahan berita The Sun 17 hb Januari 1996 

PenawaRacun kali ini akan membincangkan tentang kemungkinan berlakunya keracunan yang disebabkan oleh hasil makanan dari sumber haiwan ternakan. Benarkah kesan sampingan ubat-ubatan yang digunakan bagi haiwan ternakan boleh terbawa ke dalam kitaran makanan manusia dan seterusnya memudaratkan kita?

Memang benar bahawa ubat-ubatan yang digunakan untuk haiwan boleh memberi kesan sampingan terhadap manusia. Contohnya, ketika menyediakan atau memberi ubat-ubatan seperti antibiotik penisilin atau hormon prostaglandin kepada haiwan, penternak mungkin mengalami alergi (alahan). Penggunaan racun serangga, organofosfat bagi membunuh kutu haiwan boleh menyebabkan penternak terdedah kepada keracunan sebatian tersebut melalui pernafasan. Lebih membimbangkan lagi ialah kemungkinan ubat-ubatan seperti agen perangsang pertumbuhan dari jenis antibiotik menceroboh masuk ke kitar makanan manusia sekiranya penggunaannya tidak dikawal dan dimantau dengan berkesan. Bakteria yang sekian lama menjadi musuh manusia juga mampu menyerang haiwan ternakan. Oleh kerana haiwan ternakan sering hidup dalam kumpulan yang besar, maka serangan bakteria boleh menyebabkan keseluruhan kelompok terdedah kepada bahaya penyakit. Ini boleh memberi implikasi buruk terhadap industri ternakan. Penyakit seperti radang kelenjar susu, radang usus kecil dan radang paru-paru mudah merebak. Jadi penggunaan antibiotik amat penting bagi mengawal penyakit-penyakit ini.

Selain daripada itu, antibiotik telah lama digunakan sebagai perangsang pertumbuhan. Antibiotik dalam dos yang rendah sering dicampurkan ke dalam makanan haiwan ternakan bagi mempercepatkan pertumbuhan dan pematangan. Kebenaran menggunakan antibiotik sebagai perangsang pertumbuhan mestilah memenuhi pelbagai kriteria ketat seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Ini terutamanya yang melibatkan antibiotik yang jarang digunakan untuk manusia dan yang mudah disingkirkan oleh tubuh haiwan. Antara drug yang perlu diberi perhatian ialah nitrofuran, drug ini tidak diserap oleh usus dan gagal memasuki saluran darah haiwan.

Justeru itu, di dalam praktik pengubatan haiwan, pelbagai langkah keselamatan telah disarankan bagi mempastikan bahawa bahan yang memasuki kitar makanan manusia bebas dari sebarang pencemaran. Contohnya, satu tempoh pelupusan iaitu masa antara penamatan pengubatan dan penggunaan daging atau hasil ternakan lain sebagai bahan makanan atau minuman telah dimandatorikan. Tempoh minimum pelupusan bagi telur dan susu ialah selama tujuh hari. Bagi daging, lemak, dan hati haiwan ternakan pula tempoh minima pelupusan 28 hari dicadangkan. Jika amalan ini dipraktikkan dengan penuh beretika, maka masalah keracunan disebabkan memakan atau meminum hasilan dari haiwan ternakan pasti dapat dikurangkan atau dibenteras sama sekali.