Proses penghasilan ubat tulen
Penghasilan bentuk sediaan bagi sesuatu ubat merupakan langkah pemilihan gabungan terbaik antara ubat dengan bahan lengai yang lain. Bahan lengai yang terpilih mestilah membebaskan bahan aktif atau ubat supaya ubat tersebut dapat bertindak dengan tapak tindakan dan juga memastikan ubat dapat disampaikan untuk tujuan penggunaannya. Bentuk sediaan yang dihasilkan mestilah juga menarik supaya pengguna dapat mengambil bentuk sediaan seperti yang diarahkan.
Sesuatu ubat biasanya disediakan dalam beberapa bentuk sediaan bergantung pada masa permulaan tindakan ubat penerimaan pesakit. Sebagai contoh, ubat hidrokortison yang digunakan bagi rawatan penyakit inflamasi, alergi dan kekurangan fungsi kelenjar adrenal disediakan dalam dua bentuk sediaan, iaitu tablet dan suntikan. Sekiranya sesuatu penyakit memerlukan rawatan kecemasan, maka bentuk tersebut akan menghasilkan tindak balas ubat yang cepat. Untuk penyakit yang tidak serius, pemberian secara oral digunakan untuk memudahkan penerimaan ubat tersebut. Pada kes tertentu, jika pesakit tersebut seperti pesakit kanak-kanak yang sukar menerima dalam bentuk tablet, maka sediaan tablet diubah suai menjadi bentuk ampaian atau larutan.
Walaupun terdapat beberapa cara menyediaan sesuatu ubat, bentuk sediaan umum yang dihasilkan pada masa kini dapat digolongkan kepada dua jenis, iaitu sediaan sistemik yang meliputi sediaan oral seperti kapsul, ampaian dan emulsi dan sediaan parenteral (sediaan suntikan). Sediaan jenis ini biasanya menggunakan proses penyerapan ubat ke dalam darah sama ada melalui jalan seperti oral atau suntikan dan kesan ubat diperolehi apabila ubat dibawa oleh darah ke tapak tindakan. Jenis bentuk sediaan yang kedua ialah sediaan setempat yang digunakan untuk mendapatkan kesan setempat seperti sediaan transdermal yang diletakkan di atas kulit, sediaan semburan yang disampaikan terus ke dalam paru-paru atau pada kawasan kulit, supositori, sediaan mata dan sediaan telinga. Walaupun sediaan setempat digunakan untuk mendapatkan kesan pada sesuatu kawasan tertentu sahaja, sediaan tersebut juga digunakan untuk menyampaikan ubat ke dalam saluran peredaran darah.