Skip to main content

vcc

Viagra-mania

Oleh: natrah@usm.my

Antara Gelora dan Waspada

Sejak bulan Mac lalu, Viagra, satu jenama ubat telah menjadi sebutan di merata tempat di seluruh negara. Akhbar-akhbar asing dan tempatan saban hari mencatatkan berbagai peristiwa tentang ubat ini –  sesetengahnya agak mencuit hati, tetapi lebih banyak yang membimbangkan. Ahli-ahli politik juga tidak terkecuali. Bekas calon presiden Amerika Syarikat (AS), Bob Dole kononnya telah memberi ‘restunya’ setelah mencuba Viagra dan mendapatinya mustajab. Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini juga gamat dibuatnya apabila perwakilan membangkitkan cerita Viagra, seolah-olah ubat tersebut satu rahmat yang ditunggu-tunggu. 

Namun begitu, pada hakikatnya masih ramai yang tertanya-tanya tentang ubat tersebut. Kebanyakannya masih belum maklum sepenuhnya baik buruk Viagra. Ini adalah kerana maklumat penting  berkaitan dengan kegunaan ubat ini masih belum tersebar luas, malah agak sukar untuk diperolehi. Oleh yang demikian berbagai pentakrifan kini timbul sekaligus membuktikan bahawa Viagra telah disalahgunakan. 

Contohnya, ada laporan yang menyebut bahawa ramai juga wanita yang menggunakan Viagra,  dan ada pula kaum lelaki yang tidak memerlukannya turut menggunakan ubat tersebut. Malah cerita perwakilan daripada Kedah tentang Pak Ad yang mengulum ubat tersebut daripada menelannya (dan lidahnya menjadi keras) adalah simbolik akan kemungkinan pe-nyalahgunaan yang boleh berlaku baik di Malaysia sendiri. 

Dari segi sains ubat-ubatan, sebarang salah guna akan lambat laun mendatangkan bermacam-macam kemudaratan. Hakikat ini umumnya disedari ramai. Misalnya masakan seorang yang sihat perlu memakan ubat penyakit jantung ataupun ubat kecing manis secara bersahaja  – sedangkan ia tidak langsung mengalami penyakit tersebut. Malangnya logik ini nampaknya tidak diterima pakai apabila berhadapan dengan ubat-ubatan seperti Viagra. Maka tidak hairanlah yang berbagai fe’el kini timbul berkaitan penggunaan ubat tersebut. Pada satu peringkat paling membimbangkan ialah kaitan pengguna Viagra dengan maut.  Sehingga hari ini tidak kurang daripada 16 kes kematian sedemikian telah dilaporkan di AS  sahaja. Bilangan ini mungkin meningkat lagi. Walaupun kes-kes ini masih belum jelas sama ada disebabkan Viagra secara langsung, tetapi sudah cukuplah rasanya bagi kita semua berwaspada, khususnya bagi mereka yang tidak memerlukan rawatan Viagra

Apa perlu difahami

Ada baiknya jika kita betul-betul faham terlebih dahulu tentang ilmu ubat-ubatan supaya kita dapat melindungi diri daripada bahaya akibat salahguna ubat seperti Viagra. Lagipun setakat ini jenama tersebut belum lagi didaftarkan di Malaysia. Jadi seeloknya dihindarkan Viagra buat sementara ini sekurang-kurangya. Bahkan hanya beberapa buah negara saja yang telah mendaftarkannya selain daripada AS. Ada juga negara yang mengharamkannya sehingga keputusan siasatan lanjut ke atas kes-kes kematian yang melibatkan pengguna Viagra diperolehi. Ini bermaksud di negara-negara tersebut, termasuk Malaysia, penggunaan Viagra masih belum sah dari segi undang-undang. 

Ia juga bermakna bahawa pihak yang berkuasa sedang menghalusi beberapa aspek penggunaan ubat tersebut demi kepentingan orang ramai. Ini merupakan satu-satunya langkah yang perlu diambil untuk menjamin agar rakyat Malaysia diberi perlindungan sepenuhnya. Ia juga bertujuan menghalang ubat yang tidak selamat daripada dipasarkan di negara ini dan mengancam orang ramai. Oleh itu proses pendaftaran adalah penting dari segi undang-undang dalam menentukan keselamatan sesuatu ubat itu seperti yang diterangkan kemudian (lihat Ujian dan Proses Pendaftaran Ubat-ubatan). Sebelum itu ada baiknya kita mengelakkan apa saja ubat yang masih belum berdaftar. Apa lagi sekarang ini ubat-ubatan sperti Viagra boleh diperolehi melalui Internet dan melangkau segala proses pendaftaran yang telah ditetapkan. 

Satu laporan menyebutkan bahawa 4,500 orang telah menjalani ujian untuk Viagra di seluruh dunia, termasuk 65 rakyat Malaysia. Ini merupakan  syarat penting yang perlu  dipatuhi sebelum sesuatu ubat dapat didaftarkan di negara ini. Proses ini adalah sebahagian daripada peraturan yang lebih teliti dan rapi seperti yang diterangkan dalam artikel Ujian dan Proses Pendaftaran Ubat-ubatan. 

Waspada

Semua ini menunjukkan bahawa penggunaan ubat-ubatan adalah satu perkara yang serius perlu diamal dan dipatuhi dengan tepat dan tidak diambil ringan. Ini adalah kerana sudah menjadi kelaziman yang ubat-ubat baru akan menunjukkan lebih banyak kesan buruk sebaik  saja dipasarkan dengan meluas dan terdedah kepada ratusan juta pengguna. Ketika itu barulah ditentukan dengan jelas nilai sebenar sesutau ubat itu. Malah tidak kurang juga ubat yang terpaksa ditarikbalik penjualannya daripada pasaran akibat kesan buruk yang dahulunya tidak dapat dikesan. 

Apa yang lebih membimbangkan ialah  laporan yang menyatakan kini sudah terdapat pil-pil Viagra tiruan dijual di pasaran. Ini khususnya di kawasan bersempadan dengan negara jiran. Thailand merupakan satu-satunya negara Asia yang telah  meluluskan penggunaan ubat ini. 

Implikasi kos daripada penggunaan Viagra juga adalah satu aspek yang penting ditekankan. Mengikut hitung kasar rakyat akan membelanjakan hampir RM1 bilion setahun jika hanya ianya dihadkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Jika tidak bayangkan saja pembaziran yang akan berlaku kelak, disamping kesan-kesan sampingan bakal timbul (lihat Jadual 2). Malangnya hal ini kurang sekali diperkatakan untuk menyedarkan orang ramai. 

Oleh kerana itu para penggunaan perlu berwaspada walaupun setelah ubat ini didaftarkan. Sikap ini sepatutnya bukan tertumpu kepada ubat seperti Viagra saja, malah bagi apa jenis ubat sekalipun. Khabarnya lebih banyak ubat-ubatan jenis ini akan dipasarkan dalam masa terdekat ini, oleh itu hanya sikap berwaspada saja yang menentukan segala-galanya.