Skip to main content

vcc

AWAS! Racun Tikus boleh Sebabkan Sawan

Oleh: Asdariah Misnan

 Racun tikus yang berdaftar dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) di Malaysia dan dibenarkan penjualannya mengandungi zink fosfida dan agen pencair darah seperti warfarin. Maklumat lengkap berkenaan ini boleh diperoleh dari laman sesawang Sistem Maklumat Racun Makhluk Perosak (SISMARP) Jabatan Pertanian Malaysia di pautan http://www.portal.doa.gov.my/sismarp/welcome.

Walaupun terdapat ribuan jenis racun makhluk perosak yang berdaftar, namun penggunaan racun makhluk perosak yang tidak berdaftar masih berleluasa di Malaysia. Kebelakangan ini, Pusat Racun Negara telah menerima semakin banyak kes keracunan membabitkan racun tikus tidak berdaftar, malah ada diantaranya disyaki mengandungi racun yang boleh menyebabkan sawan. Racun tikus penyebab sawan atau ‘convulsant rodenticide’ ini biasanya mengandungi salah satu daripada bahan aktif berikut :

  • TETS (tetramethylene disulfotetramine)
  • SMFA (sodium monofluoroacetate)
  • Fluoroacetamide
  • Fluoroacetic acid

68utama

Menurut Jabatan Keselamatan Tanah dan Air Amerika Syarikat, TETS merupakan racun yang sangat toksik dan boleh menyebabkan kematian dengan dos sebanyak 7-10mg sahaja. Serbuk yang tiada bau, rasa dan warna ini mudah larut dalam air dan dengan cepat diserap ke dalam saluran darah apabila ditelan atau dihidu. Tanda-tanda awal keracunan bahan ini ialah mangsa akan mengalami kebas pada lidah, muntah, sakit kepala dan pening dalam tempoh beberapa minit selepas pendedahan. Dalam kes yang teruk, mangsa boleh diserang sawan yang berpanjangan dan ini memerlukan rawatan di hospital dengan kadar segera. Kelewatan mendapatkan rawatan boleh membawa maut. Walaupun sawan dapat dirawat, mangsa berpotensi untuk mengalami kesan jangka panjang sehingga beberapa bulan seperti kesukaran bertutur, gangguan ingatan dan penglihatan, selain berisiko untuk mendapat serangan sawan yang berulang.

Bagaimana ia boleh berada dalam pasaran Malaysia?

Jika racun makhluk perosak ini tidak berdaftar, bagaimanakah ia boleh sampai ke tangan pengguna? Semasa pandemik Covid-19, pengguna beralih untuk membeli keperluan mereka secara dalam talian. Situasi ini telah diambil kesempatan oleh peniaga (sama ada dengan sengaja ataupun tidak) untuk menjual pelbagai barang dagangan, termasuk barangan kawalan yang memerlukan kelulusan daripada pihak berwajib terlebih dahulu sebelum dipasarkan. Antara barangan yang dibawa masuk melalui saluran ini termasuklah racun tikus yang dimaksudkan. Keadaan ini menjadi lebih teruk apabila masyarakat kita yang mudah terpesona dengan iklan produk sebegini yang didakwa sangat berkesan menghapuskan tikus tanpa memahami atau memikirkan risiko keracunan yang boleh berlaku.
Kebiasaannya racun tikus penyebab sawan yang boleh diperoleh di pasaran Malaysia adalah berupa serbuk putih, namun kebelakangan ini, PRN telah mendapat laporan dimana mangsa mengalami sawan setelah terminum racun tikus jenis cecair. Ini berkemungkinan besar pengeluar porduk ini telah mengubah formulasi produk tersebut. Agak sukar untuk memastikan kesahihannya memandangkan produk tersebut tidak berdaftar dengan LRMP. Racun tikus jenis ini tidak pernah diluluskan untuk dipasarkan dan digunakan di Malaysia, malah telah diharamkan penggunaannya di kebanyakan negara kerana kesan toksiknya yang amat tinggi. Oleh itu, ELAKKAN daripada membeli atau menggunakan racun yang tidak berdaftar seperti ini.
Jadilah pengguna yang bijak, gunakan racun makhluk perosak yang berdaftar dengan ciri-ciri berikut:

  • Mempunyai nama dagangan, bahan aktif dan maklumat pengeluar/ pengedar.
  • Mempunyai label yang lengkap dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
  • Mempunyai nombor pendaftaran dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak. Nombor tersebut dimulai dengan LRMP. R1/XXXX.
  • Mempunyai maklumat kelas bahaya sama ada Kelas 1a (Sangat Berbahaya), 1b (Berbahaya), III (Sederhana Bahaya), IV (Agak Berbahaya).
  • Mempunyai arahan penggunaan, maklumat tanda keracunan dan rawatan kecemasan.