Skip to main content

vcc

Keracunan Vape

Oleh: Sulastri Samsudin

ms3

Vape mula diperkenalkan dalam pasaran dunia pada tahun 2004 sebagai produk mengurangkan kemudaratan (harm reduction product) untuk digunakan dalam terapi berhenti merokok.

Namun setelah hampir 2 dekad di pasaran, banyak kajian dan laporan terhadap kesan buruk akibat penggunaan vape telah dikeluarkan. Selain berisiko menyebabkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan seperti penyakit berkaitan paru-paru akibat penggunaan rokok elektronik atau vape (EVALI, E-cigarette and vape product related lungs injury), menghisap vape juga berisiko mengalami kesan buruk lain seperti keracunan akut, malahan kecederaan sama ada akibat letupan atau kebakaran sehingga menyebabkan kematian mengejut.

Di Malaysia, vape mula dipasarkan secara komersil pada tahun 2015. Sejak dari itu, Pusat Racun Negara (PRN) telah menerima hampir 30 kes keracunan berkaitan vape dengan peningkatan ketara pada 2 tahun kebelakangan ini. Sebanyak 6 kes telah dilaporkan pada tahun 2019, manakala pada tahun 2020, kes bertambah dua kali ganda kepada 13 kes.

Seperti kes-kes keracunan vape di negara lain, kebanyakan kes keracunan cecair vape yang berlaku di Malaysia melibatkan kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 1 hingga 4 tahun. Malahan, mangsa paling muda yang pernah dilaporkan kepada PRN adalah seorang bayi yang baru berusia 4 bulan! Majoriti mangsa mengalami keracunan akibat terminum cecair isian semula vape yang diletakkan di tempat yang mudah dicapai oleh kanakkanak. Terdapat 2 kes dimana kanak-kanak yang baru berusia berusia 9 dan 10 bulan cuba menghisap vape kepunyaan ahli keluarga dan mengalami gejala masalah pernafasan. Hampir semua pesakit yang dilaporkan mengalami gejala seperti muntah, sakit perut, cirit-birit dan pening kepala. Seorang kanak-kanak berusia 4 tahun mengalami kesan paling teruk sehingga sawan dan tidak sedarkan diri.