Rahmat Berpuasa Dalam Membasmi Ketagihan Merokok
Salah satu cara untuk mengatasi ketagihan rokok seperti yang dibincangkan dalam buletin ini adalah dengan cara berpuasa. Berpuasa sangat digalakkan kerana dalam hal ini ia merupakan satu bentuk latihan keazaman serta kesungguhan di samping menjalani amalan berhenti merokok secara berperingkat-peringkat.
Merokok dapat disamakan sebagai proses memasukkan bahan racun dengan cara hisapan ke dalam tubuh. Melalui menghisap sebatang rokok, tidak kurang dari 3,800 jenis racun akan disedut ke dalam tubuh semasa seseorang itu merokok. Secara semulajadi, bahan racun yang dihisap masuk akan dikeluarkan dari tubuh melalui proses perkumuhan (ekskresi) air kencing, najis atau pernafasan.
Jika tabiat ini dilakukan secara berterusan setiap hari, maka jumlah racun yang dihisap akan melebihi jumlah yang berupaya dikumuhkan oleh badan. Akibatnya berlaku penggumpulan bahan racun di dalam badan. Kalau kita mengambil kira cara kemasukan racun melalui saluran lain seperti melalui makanan atau minuman, maupun udara tercemar, maka pertambahan racun di dalam tubuh tidak dinafikan meningkat berkali ganda. Untuk mengurangkan beban bahan racun yang telah terkumpul dalam badan maka alternatif yang ada ialah mengurangkan kemasukan bahan racun melalui saluran pernafasan atau permakanan. Oleh itu, amalan berpuasa selain dari memenuhi tanggungjawab agama, bertujuan untuk mencegah kemasukan bahan racun dan membolehkan badan melakukan proses pembersihan racun yang sedia terkumpul dalam badan. Proses yang dilalui semasa berpuasa dapat diumpamakan sebagai memberi rehat kepada badan dari bekerja pada tahap maksimum, dan mensucikannya daripada bahan-bahan racun.
Dari sudut lain pula, oleh kerana salah satu aktiviti berpuasa ialah menahan diri dari mengambil makanan selama hampir 14 jam, ini membolehkan organ penghadaman seperti perut, usus, pankreas, kelenjar hempedu dan hati berehat dari aktiviti pencernaan makanan. Tambahan, organ hati dalam keadaan tiada bahan yang perlu diproseskan akan berubah lebih kepada aktiviti pembersihan seperti menukarkan simpanan lelemak di dalam badan kepada bentuk penjanaan tenaga yang diperlukan oleh badan.
Juga, semasa berpuasa simpanan tenaga dalam bentuk glikogen di dalam badan akan ditukarkan kepada glukosa dan seterusnya diuraikan untuk menghasil tenaga. Pada masa yang sama bahan racun yang telah terkumpul di dalam badan, pengeluarannya dari tubuh dapat dipercepatkan melalui proses metabolisma apabila berpuasa. Dalam hal ini, tubuh akan mengalami pemulihan.
Disamping itu dari kajian mendalam bidang perubatan, berpuasa juga dianggap sebagai suatu bentuk terapi semulajadi yang boleh mengatasi beberapa masalah akibat pemakanan tidak betul disebabkan lebihan makanan yang seringkali timbul di negara maju. Di antara masalah ini termasuklah penggumpulan lemak di saluran darah (atherosclerosis), tekanan darah tinggi (hypertension) dan penyakit jantung, alahan dan penyakit kencing manis (diabetes). Kesemua keadaan ini akan menjadi lebih teruk lagi sekiranya menghisap rokok. Oleh itu ada baiknya Bulan Ramadhan dimanfaatkan untuk berhenti merokok sama sekali.
Sungguhpun bagitu, terdapat beberapa kelonggaran berpuasa, ini termasuk dalam keadaan:
- Ibu mengandung
- Ibu yang masih menyusu anak
- Pesakit dengan kegagalan jantung kongestif
- Pesakit kanser
- Pesakit yang mempunyai ulser
- Pesakit yang menghadapi pembedahan
Dalam hal ini, wajarlah pesakit tersebut mendapat perhatian dan pemeriksaan doktor sebelum memulakan puasa.