Metil Salisilat dalam Produk
Jika anda membaca kandungan pada label produk seperti minyak panas atau minyak urut yang digunakan untuk merawat lenguh-lenguh dan sakit badan, anda pasti pernah terjumpa bahan aktif yang dipanggil etil salisilat.
Metil salisilat merupakan bahan analgesik yang digunakan untuk mengurangkan sakit dan inflamasi pada otot dan sendi. Secara farmakokinetik, bahan ini akan meresap ke dalam kulit untuk sampai ke bahagian sakit di dalam badan. Kepekatan metil salisilat di dalam setiap produk adalah berbeza mengikut jenis sediaannya.
Ramai yang tidak menyedari bahawa bahan ini tidak sesuai digunakan pada kanak-kanak terutamanya bayi kerana ia berisiko mengakibatkan keracunan. Hampir setiap minggu Pusat Panggilan Keracunan Pusat Racun Negara menerima kes keracunan metil salisilat yang membabitkan kanak-kanak sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Antara gejala keracunan metil salisilat termasuklah loya, muntah, berdengung di dalam telinga, sawan dan koma—
bergantung kepada jumlah pendedahan.
Lebih membimbangkan, terdapat pihak yang mengambil kesempatan melariskan jualan produk yang mengandungi metil salisilat untuk tujuan rawatan ruam lampin pada bayi walaupun indikasi maklumat produk tidak menyatakan sedemikian. Saranan seperti ini adalah sangat berbahaya dan tidak beretika kerana apabila terkena kulit bahan ini akan meresap ke dalam kulit dan masuk ke dalam badan. Bayangkan risiko keracunan yang mungkin berlaku jika ia disapu 2 hingga 3 kali setiap hari untuk rawatan ruam bayi!
Jadi jika indikasi produk hanya untuk kegunaan dewasa sahaja, elakkan menggunakannya pada kanak-kanak atau bayi kerana mungkin ada bahan-bahan aktif dalam produk ini boleh menyebabkan risiko keracunan pada golongan ini.