Skip to main content

vcc

Penggunaan Ubat Darah Tinggi Semasa Hamil

Oleh: natrah@usm.my

Kadang kala wanita yang hamil mengalami masalah penyakit darah tinggi (hipertensi). Penyakit ini boleh dikelaskan kepada dua jenis. Jenis pertama adalah penyakit kronik iaitu berpanjangan. Hipertensi kronik mungkin berlaku berbulan-bulan atau bertahun-tahun sebelum wanita tersebut mengandung. Punca berlakunya penyakit darah tinggi ini adalah lain daripada masalah mengandung. Pesakit biasanya diberi ubat untuk mengawal masalah tekanan darah tingginya. Ia juga dapat mengurangkan risiko penyakit daripada mengalami tekanan darah tinggi yang lebih teruk.

Jenis kedua yang sering dialami oleh wanita hamil ialah hipertensi akut disebabkan oleh proses mengandung. Punca masalah ini masih tidak jelas, oleh itu lebih sering hanya tanda dan simptom penyakit diubati. Di antara ubat yang diberi kepada wanita tersebut ialah metildopa, hidralazin dan penghalang beta.

Jenis-jenis ubat

Jadual 1 menyenaraikan sebahagian kumpulan dan jenis ubat yang digunakan dalam penyakit hipertensi serta tahap risikonya terhadap janin. Ubat-ubat seperti hidralazin, labetolol dan diazoksida boleh melintasi plasenta (uri). Labetolol boleh memperlahankan degupan jantung bayi dengan teruk dan berpanjangan terutamanya selepas ibu mengambil dalam jumlah yang tinggi. Diazoksida boleh menyebabkan kesan sampingan yang teruk pada bayi yang baru lahir seperti hiperglisemia (kandungan gula yang tinggi dalam darah) jika ibu diberikan ubat tersebut. Laporan kajian menunjukkan ubat dalam kumpulan penghalang saluran kalsium seperti nifedipin adalah selamat digunakan oleh wanita yang hamil.

Ubat lain yang diberi kepada pesakit ialah kumpulan diuretik tiazida (ubat yang boleh menyebabkan seseorang itu kerap kencing). Ia bertindak dengan cara mengurangkan cecair dalam badan dan dengan ini tekanan darah akan menurun serta mengurangkan pembengkakkan pada tubuh (terutamanya pada bahagian kaki) akibat cecair tidak lagi terkumpul dalam badan. Ubat kumpulan ini selamat untuk ibu hamil dan kandungannya. Ibu tersebut hanya perlu diberikan suplemen garam kalium/potasium.

Oleh itu pegawasan yang rapi serta penggunaan ubat secara rasional merupakan kaedah utama bagi menjamin keselamatan ibu hamil dan kesejahteraan janin yang dikandung serta bayi yang akan dilahirkan.

Jadual 1 Kumpulan Ubat Penyakit Hipertensi

Diazoksida  Boleh memasuki sistem peredaran darah janin dan memperlahankan degupan jantung; boleh menyebabkan kandungan gula dalam darah menjadi tinggi; boleh menghalang pencuncupan rahim semasa melahirkan bayi; waspada semasa menggunakan ubat ini pada ibu hamil.  
Guanatidin, Metildopa Selamat digunakan pada ibu hamil.
Hidralazin Boleh melintasi uri; pemberian secara intravena semasa trimester ketiga boleh menyebabkan janin mengalami tekanan dan gangguan pada fungsi jantung; sebelum mencadangkan ubat ini harus menimbangkan di antara faktor risiko terhadap janin dan faedahnya kepada ibu.  
Kaptopril, Enalapril Dikaitkan dengan kematian janin dalam rahim; elakkan ubat ini semasa hamil.  
Klonidin Kemudaratan yang teruk pada haiwan tetapi risiko pada janin manusia masih tidak pasti.
Minoksidil Dikaitkan dengan kejadian (tidak normal) pertumbuhan rambut/bulu yang terlalu banyak (hipertrikosis).
Penghalang beta-adrenergik: (Contohnya: atenolol, labetolol, metoprolol, pindolol, propanolol): Boleh memperlahankan degupan jantung janin dan bayi; jika ingin berikan kepada ibu, doktor harus menimbangkan di antara faktor risiko terhadap janin dan faedahnya kepada ibu.
Prazosin Selamat digunakan pada ibu hamil.
Reserpin Boleh menyebabkan kesan sampingan pada bayi; tidak menyebabkan kecacatan pada janin.  
Sodium nitroprusid: Hanya digunakan dalam keadaan kecemasan; ubat ini boleh melintasi uri; perlu pengawasan yang rapi.