Teknologi Peranti Internet untuk Segalanya (IoT) dalam Bidang Kesihatan
Revolusi teknologi hari ini menyaksikan penghasilan pelbagai inovasi yang memberi manfaat terhadap kehidupan manusia terutamanya dalam bidang kesihatan. Kecanggihan dan kepesatan teknologi baru seiring dengan perkembangan capaian mudah alih dan hubungan internet yang pantas telah melahirkan Teknologi Peranti berkonsepkan Internet Saling Berhubung atau lebih dikenali sebagai Internet of Things (IoT). Teknologi IoT ini merupakan suatu konsep yang membenarkan pengguna berkomunikasi secara langsung atau tidak melalui peranti/peralatan komputer dengan bantuan sensor yang ada padanya.
Dengan menggunakan peranti yang bersambung seperti tablet, peranti boleh pakai dan alat digital bebas tangan lain, aplikasi teknologi IoT dapat membantu pesakit untuk mengenal pasti gejala, memantau kesihatan dan menghantar notifikasi kecemasan secara jarak jauh. Malah model operasi kesihatan kini memudahkan pesakit terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar serta pedalaman supaya tidak perlu lagi beratur menunggu doktor di hospital dan sebaliknya hanya menghubungi doktor dan mendapat rawatan dari jauh. Sistem pemantauan jarak jauh membolehkan sistem pengurusan ubat yang lebih baik dimana status pemantauan oleh rangkaian doktor pakar Iskandardari institusi perubatan dan pembekal perubatan rangkaian farmasi dapat diselaraskan di seluruh negara.
Sejajar dengan pelaksanaan Pelan Induk Internet Untuk Segalanya, teknologi IoT akan dapat memberi kesan kepada ekonomi Malaysia terutamanya dalam landskap kesihatan. Teknologi IoT juga telah terbukti dapat mengoptimumkan model operasi kesihatan, mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti dan menawarkan perkhidmatan berkualiti kepada keseluruhan rantaian bekalan dalam industri kesihatan.
Perkongsian unik yang terjalin antara pesakit dan data penjagaan kesihatan menerusi aplikasi teknologi IoT, telah menghasilkan sejumlah besar data, antaranya data berkenaan tekanan darah, kadar jantung, suhu badan, kadar pernafasan, paras dan tahap glukosa darah. Cabaran utama dalam teknologi IoT ini adalah bagaimana untuk mengurus sejumlah besar data yang terhasil terutamanya dalam aplikasi teknologi IoT untuk kes, penyakit, atau situasi kritikal.
Penggunaan IoT dalam kehidupan seharian perlu diberi penekanan secara serius bersesuaian dengan peredaran semasa yang serba canggih dan pantas. Kita perlu mengeksploitasikan teknologi ini untuk manfaat umum.