Oleh: Mohamed Isa Abdul Majid PhD.
Baru-baru ini enam ahli sekeluarga telah dirawat di Hospital Alor Setar akibat memakan cendawan beracun. Gejala keracunan yang berlaku pada mereka seperti yang dilaporkan adalah muntah-muntah yang berlaku dalam masa setengah jam dengan diikuti oleh rasa sakit di bahagian perut selepas sejam memakan cendawan tersebut. Kejadian seumpama ini boleh dielakkan sekiranya kita tahu jenis-jenis cendawan yang boleh dimakan serta mengikuti amalan atau panduan dalam mengelakkan keracunan cendawan.
Kegagalan dalam membezakan antara cendawan yang boleh di makan dengan yang beracun merupakan faktor utama yang menyebabkan seseorang itu
memakan cendawan beracun. Ini disebabkan perkembangan hidup kedua jenis cendawan ini tidak banyak berbeza. Begitu juga dari segi bentuk dan rupa.
Pengesahan sama ada sesuatu jenis cendawan itu boleh dimakan ataupun tidak perlu dirujuk kepada pakar cendawan terlebih dahulu. Selain itu, satu teknik yang praktikal dalam menentukan jenis cendawan yang boleh dimakan adalah dengan merujuk kepada buku rujukan tentang cendawan.
Amalan-amalan yang boleh diikuti dalam mengelakkan keracunan cendawan adalah seperti berikut:
Bahan beracun yang terdapat pada cendawan beracun
Jadual 1 menunjukkan jenis racun yang dikenalpasti terdapat di dalam cendawan beracun. Walaupun bahan beracun agak banyak, salah satu pengenalpastian jenis racun ialah tempoh masa memakan sesuatu jenis cendawan. Selain itu, kesan keracunan yang berlaku juga spesifik untuk setiap kumpulan bahan toksik tersebut. Contohnya racun siklopeptida yang seringkali menyebabkan kematian dari cendawan Amanita akan menghasilkan kesan keracunan dalam perut yang dicirikan sama seperti penyakit taun dalam masa 6-12 jam selepas makan. Ini diikuti dengan kerosakan hati dan buah pinggang dalam masa 2-3 hari selepas gejala sakit perut yang teruk.
Jadual 1 Racun yang dikenalpasti dari cendawan beracun | ||
Kumpulan racun | Jenis cendawan beracun | Gejala keracunan |
Siklopeptida |
Amanita sp.
Galerina sp.
|
Fasa 1: Sakit perut
Fasa 2: Kerosakan hati Fasa 3: Kerosakan buah pinggang Menyebabkan maut dalam 50-90% kes keracunan. |
Giromitrin | Gyromitra sp. | Sel darah pecah, sakit badan, sawan, meracau, koma. |
Koprin | Coprinus sp. | Kulit muka menjadi merah, tekanan darah menurun, denyutan jantung cepat jika dimakan bersama-sama dengan alkohol. |
Muskarin |
Clitocybe sp.
Inocybe sp.
|
Air liur meleleh, kerap kencing, badan berpeluh, kerap buang air besar. |
Asid ibotenik | Amanita sp. | Meracau, halusinasi, koma. |
Psilosibin | Psilocybe sp. | Mengantuk, rasa gembira, halusinasi, panas baran. |
Orellanin | Chlorophyllum sp. | Rasa mual, muntah, cirit birit. |
Maklumat perlu dalam membantu merawat keracunan cendawan
Dalam rawatan keracunan cendawan, pemeriksaan segera oleh doktor amatlah penting dalam menentukan kejayaan rawatan keracunan. Bawalah mangsa keracunan ke hospital terdekat dengan segera kerana gejala keracunan boleh menjadi bertambah buruk sehinggakan organ seperti hati dan buah pinggang boleh rosak yang seterusnya mengakibatkan kematian jika rawatan dilengahkan.
Pengecaman jenis cendawan akan membantu dalam rawatan keracunan cendawan. Jika masih lagi terdapat cendawan yang belum dimakan atau disimpan, bawa cendawan tersebut ke doktor untuk dicamkan agar rawatan yang tepat dapat dilaksanakan.