Skip to main content

vcc

Sekitar Isu Keracunan Cendawan di Malaysia

Oleh: Sazaroni Md Rashid


ms6 1

Insiden keracunan cendawan di Malaysia secara umumnya menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa. Iklim negara kita yang panas dan lembap, serta taburan hujan yang tinggi sepanjang tahun menyebabkan cendawan mudah tumbuh di sekitar rumah, padang dan lain-lain. Statistik kes keracunan cendawan  yang dilaporkan ke Pusat Racun Negara mendapati kes keracunan cendawan berlaku pada hampir setiap tahun. Kebanyakan kes adalah disebabkan oleh amalan memakan cendawan liar yang mempunyai rupa fizikal seakan cendawan yang boleh diperolehi di pasaraya atau pasar tani.

Ramai antara kita beranggapan toksin dalam cendawan beracun boleh dimusnahkan dengan masaknya. Hakikatnya, bukan semua toksin cendawan beracun boleh dinyahaktif atau dimusnahkan dengan kaedah pemanasan. Sebagai contoh amatoksin, ia merupakan sejenis toksin dalam cendawan yang stabil haba. Ia boleh meresap ke sistem peraliran darah dalam jangkamasa seawal sembilan puluh minit selepas seseorang itu memakan cendawan yang mengandungi toksin ini.

Amatoksin amat bahaya kepada kesihatan manusia. Ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati, kerosakan buah pinggang, dehidrasi teruk dan seterusnya menyebabkan kematian dalam tempoh enam hingga enam belas hari selepas memakannya. Ia boleh kekal terpendam dalam badan manusia dari enam jam hingga dua hari selepas pendedahan tanpa menunjukkan sebarang tanda keracunan. Hal ini mungkin menyebabkan mangsa gagal mendapatkan rawatan perubatan dengan segera. Sekalipun mangsa dapat bertahan melalui gejala awal seperti mual, muntah dan sakit perut, toksin ini akan mengakibatkan
kegagalan hati tidak lama kemudian dan seterusnya boleh menyebabkan kematian. Pengambilan toksin ini sebanyak 6 mg sahaja sudah cukup untuk  menyebabkan kematian kepada seorang dewasa.

Proses untuk mengenalpasti (identifikasi) sama ada satu-satu cendawan itu beracun atau tidak bukanlah proses yang mudah. Cendawan mengandungi Amatoksin
(genera Amanita) tidak mengandungi cirian khas seperti bau atau rasa tertentu. Malah, pengenalan fizikal seperti warna payungnya juga boleh berubah-ubah berdasarkan cuaca, tanah dan umur cendawan tersebut yang akan menyukarkan lagi proses pengenalpastian sesuatu jenis cendawan, terutama kepada mereka yang tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas berkaitan cendawan.

Oleh yang demikian, masyarakat dinasihatkan tidak mengambil cendawan liar untuk dimakan, kerana cendawan  yang beracun dan tidak beracun berkemungkinan boleh tumbuh berdekatan pada masa sama dan sukar dibezakan. Sebaiknya, masyarakat dinasihatkan untuk memilih spesis cendawan yang biasa dijual secara komersial di pasaran yang disahkan selamat sahaja.

Berikut disenaraikan antara mitos atau salah tanggap berhubung kaedah mengenalpasti cendawan beracun atau tidak yang agak popular dalam masyarakat kita untuk perhatian kita bersama.

Salah tanggap:

  1. Toksin cendawan beracun boleh dimusnahkan dengan pemanasan melalui masakan.
  2. Cendawan beracun boleh dikenalpasti dengan mengambil sedikit serbuk kunyit dan gosokkan pada cendawan tersebut. Jika cendawan itu beracun, warna
    kunyit tadi akan bertukar menjadi merah. Sebaliknya, jika cendawan itu tidak beracun, warna kunyit kekal kuning.
  3. Cendawan liar yang kelihatan cantik tanpa gigitan ulat merupakan cendawan yang beracun.
  4. Cendawan beracun memiliki warna yang terang dan menarik. Manakala cendawan tidak beracun berwarna putih atau keperang-perangan (plain brown).
  5. Haiwan kecil seperti serangga, siput tidak memakan cendawan beracun.
  6. Bawang merah bertukar warna menjadi kehitaman jika disentuhkan kepada cendawan beracun.
  7. Cendawan beracun memiliki bau dan rasa yang tidak enak.