Skip to main content

vcc

Kenali Toksin Semulajadi di Sekeliling Anda

Oleh: Mahiya Nabila Rosaria Abdul Hamid

Antara anugerah Tuhan yang paling berharga kepada semua hidupan ialah alam semulajadi yang dicipta indah untuk didiami bersama. Namun di sebalik keindahan alam semulajadi, wujud bahaya racun, iaitu toksin semulajadi yang dihasilkan oleh tumbuh-tumbuhan serta haiwan di sekeliling kita. Secara umumnya, terdapat dua jenis racun di muka bumi ini, iaitu racun buatan manusia dan racun semulajadi. Toksin dihasilkan oleh organisma sebagai mekanisma pertahanan semulajadi daripada serangan serangga dan binatang. Toksin semulajadi sentiasa wujud berdekatan dengan kita sama ada dalam tumbuh-tumbuhan atau haiwan di sekitar kita. Tahap bahaya toksin semulajadi ini terhadap manusia adalah bergantung kepada jenis dan spesis tumbuhan dan haiwan, kuantiti serta ketoksikan bahan tersebut. Toksin semulajadi boleh memberi kesan keracunan sederhana sehinggalah kesan yang sangat berbahaya yang boleh membawa maut.

ms8 1

Pengetahuan berkenaan toksin-toksin di sekeliling kita adalah penting agar kita lebih berwaspada dalam aktiviti harian bagi mengelak daripada berlaku kejadian keracunan yang tidak diingini. Elakkan daripada memakan sebarang tumbuh-tumbuhan liar yang tidak dikenal pasti. Sebagai contoh, cendawan yang kita jumpa disekitar kita mungkin mempunya warna, bentuk, ciri-ciri lain menyerupai cendawan yang biasa kita dapati di pasar, namun ia tidak semestinya daripada spesis cendawan yang sama. Kemungkinan ia adalah beracun adalah tinggi dan sekiranya dimakan ia boleh membawa padah buruk. Dari sudut tumbuh-tumbuhan pula, banyak tumbuhan di sekitar rumah kita boleh menyebabkan keracunan. Contohnya pokok duit-duit, pokok pisang tanah (keladi dieffenbachia) dan pokok ubi gadung adalah merupakan pokok beracun yang selalunya ditanam atau menghiasi kawasan perumahan.

Haiwan atau serangga berbisa yang biasanya mudah ditemui di sekitar rumah pula adalah seperti semut merah, lebah, tebuan, lipan dan semut kayap (atau lebih dikenali sebagai (Charlie) dan juga spesis-spesis ular berbisa.

Pengetahuan berkaitan hidupan marin yang beracun atau berbisa juga amat bermanfaat dan boleh membantu menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku keracunan. Contohnya, sekiranya ingin bermandi-manda di pantai, ketahui waktu yang selamat untuk berekreasi di kawasan laut bagi mengelak haiwan yang bermusim seperti obor-obor. Cuba pelajari spesis-spesis hidupan laut yang beracun seperti ikan buntal dan ikan lepu batu ‘stonefish’ jika anda ingin memancing di laut atau menyelam skuba.

Apabila berlaku kes keracunan, nama spesifik dan sebarang maklumat berkaitan tumbuhan, haiwan atau serangga adalah sangat penting untuk membantu menentukan rawatan paling sesuai kepada mangsa. Pengetahuan asas pengendalian kes keracunan juga mustahak agar dapat mengurangkan racun menular dan merebak ke seluruh badan.

Pengetahuan menangani dan mengendalikan kes keracunan toksin semulajadi adalah kritikal bagi individu yang kerjayanya berhubung rapat dan sentiasa terdedah kepada kemungkinan keracunan toksin semulajadi. Pekerja zoo haiwan, para penyelamat di kawasan rekreasi laut atau hutan dan juga kakitangan Jabatan Perhilitan merupakan contoh golongan ini. Langkah persediaan yang perlu dilakukan termasuk memastikan anti-venom atau penawar bisa berada di tempat bekerja atau fasiliti yang terdekat. Pelan kontingensi atau garis panduan perlu diketahui oleh pekerja-pekerja atau ahli agensi agar langkah keselamatan awal dapat dijalankan serta mengelakkan daripada kes yang tidak diingini berlaku. Latihan kesedaran dan pendedahan awal perlu dijalankan kepada semua staf kesihatan supaya mereka boleh mengendalikan kes-kes keracunan.

Mencegah adalah lebih baik daripada merawat, oleh itu kita hendaklah sentiasa berwaspada dalam segenap aktiviti bagi mengelakkan berlakunya keracunan toksin semulajadi. Topik-topik yang bakal diterbitkan selepas ini akan menghuraikan dengan lebih lanjut tentang setiap kategori toksin semulajadi yang biasanya berlaku di Malaysia.