Pengenalan kepada Ular Berbisa di Malaysia
Di Malaysia, terdapat 141 jenis ular. 105 daripada jumlah ini adalah terdiri daripada ular darat, 22 ular laut dan 14 lagi adalah ular air tawar. Daripada jumlah ini sekurang-kurangnya 38 jenis adalah berbisa -- 16 jenis ular di darat iaitu 9 daripada ke luarga Elapidae dan 7 daripada keluarga Viperidae, manakala kesemua 22 jenis ular dari keluarga Hydrophiidae adalah berbisa. Namun begitu, harus diingat bahawa bukan semua ular yang dijumpai di kawasan perairan Malaysia adalah ular laut.
Ular yang berbisa mempunyai gigi panjang (taring) yang terletak di bahagian hadapan rahang sebelah atas yang bersambung kepada kelenjar yang menyimpan bisa yang terletak di kiri dan kanan pipi melalui duktus. Taring ini berfungsi seperti jarum hipodermik untuk menyuntikkan bisa ke tubuh mangsa. Bentuk taring ular adalah bergantung kepada jenis ular. Taring bagi keluarga Elapidae adalah berkedudukan tetap (Gambarajah 1) dan mempunyai alur yang akan membenarkan bisa mengalir masuk ke tubuh mangsa. Bagi kelu arga Viperidae, taringnya boleh digerak-gerakkan dan berongga (Gambarajah 2).
Terdapat tiga jenis bahan bisa ular yang utama: racun yang menyerang otot (myotoksin), racun yang menyerang saraf (neurotoksin) dan racun yang menyerang darah dan sel tubuh (haemotoksin). Pada umumnya bisa setiap ular mengandungi ketiga-tiga bahan racun ini tetapi hanya salah satu sahaja yang dominan dan mendatangkan kesan kepada mangsa seperti racun myotoksin adalah dominan pada ular laut, racun haemotoksin pula pada ular kapak dan neurotoksin pada ular tedung, ular katam tebu dan ular pantai . Di samping bahan-bahan ini, bisa juga mengandungi sejenis enzim yang dipanggil hyaluronidase yang bertindak sebagai mangkin bagi meningkatkan penyebaran bisa ke saluran darah ataupun saraf. Fungsi utama bisa kepada ular ialah:
- untuk melumpuhkan atau membunuh mangsa
- bertindak sebagai agen penghadaman
Umumnya, aduan yang biasa diterima daripada mangsa gigitan ular berbisa ialah; sakit pada tempat gigitan, bengkak, nekrosis dan melepuh. Ini berlainan dengan tanda-tanda gigitan ular tidak berbisa yang mana diantara tanda-tandanya adalah seperti bengkak, gatal dan kemerahan yang dipercayai berpunca daripada alahan mangsa kepada air liur ular tersebut.
Laporan kes gigitan ular berbisa seluruh negara menunjukkan:
- Ular Kapak Bodoh merangkumi 55.8% daripada keseluruhan 227 kes gigitan ular berbisa di Hospital Besar Alor Setar.
- Di antara tahun 1960-1970, terdapat lebih kurang 53,216 kes gigitan ular sama ada yang berbisa ataupun tidak. Daripada jumlah ini 249 (0.49%) kematian telah dilaporkan.
- Di antara tahun 1979-1983, kes gigitan ular adalah diantara 5,077 dan 5,429 kes setiap tahun dengan Perlis dan Kedah mencatatkan jumlah kes yang tertinggi sekali (merangkumi 50% daripada 5,347 kes).
- Di antara tahun 1988-1989, terdapat 127 kes gigitan ular dirujukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian Kelantan. 67.7% mangsa mengadu sakit pada kawasan gigitan, 59% bengkak, 22% berasa kebas dan 18% berlaku pendarahan dan gatal pada bahagian gigitan. Hanya 7% daripada kes yang dirujuk memerlukan rawatan antivenin (5 anticobra dan 2 antiviper) manakala majoritinya hanya menerima rawatan sokongan. Tiada kes kematian dilaporkan.
Keluarga Elapidae
Gambarajah 1: Kedudukan taring Elapidae
Adalah sukar untuk mengenali ular jenis ini hanya berdasarkan kepada sifat luarannya sahaja, begitu juga untuk membezakannya daripada keluarga colubridae yang tidak berbisa. Satu-satunya tanda yang dapat membezakan keluarga elapidae daripada keluarga colubridae ialah dengan adanya taring panjang pada bahagian rahang atas mulutnya. Di antara ular-ular yang tergolong di bawah keluarga ini ialah:
- 2 jenis ular tedung: ular tedung hitam, ular tedung selar
- 3 jenis ular katam: ular katam tebu, ular katam belang, ular katam kepala merah
- 4 jenis ular pantai/ular matahari: ular pantai biru, ular pantai belang, ular pantai bintik, ular pantai bintik kecil
Hampir semua jenis ular ini adalah berbisa dan amat merbahaya kepada manusia. Bisa ular-ular dari keluarga ini adalah jenis bahan racun saraf (neurotoksin) yang bertindak kepada sistem saraf mangsanya. Keparahan kesan gigitan adalah bergantung kepa da jenis ular dan kuantiti bisa yang disuntikkan ke tubuh mangsa. Tanda-tanda awal kesan gigitan ular ini ialah rasa mengantuk terjadi seawal 15 minit dan berlanjutan hingga beberapa jam selepas digigit. Sejam selepas digigit mangsa akan menjadi tidak ber maya, lemah dan sukar untuk berdiri. Mangsa mungkin juga akan mengalami rasa mual, muntah, air liur keluar tanpa dapat dikawal, kekejangan pada lidah dan saluran pernafasan. Sekiranya jumlah bisa yang disuntikkan ke tubuh mangsa adalah banyak, mangsa mungkin akan mengalami kesukaran untuk berkata-kata, batuk, menelan makanan ataupun menggerakkan rahang bawah. Mangsa juga akan merasa sakit yang amat sangat pada bahagian perut -- gigitan ular katam tebu. Selain dari itu mangsa akan mengalami lumpuh otot sec ara beransur-ansur (termasuklah otot-otot sistem pernafasan yang mana ianya boleh membawa maut) dan sawan. Komplikasi kardiovaskular hanya berlaku pada keracunan bisa ular tedung dan tanda-tandanya ialah; badan berpeluh, rasa seram sejuk dan mengalami tekanan darah rendah.
Ular tedung dan ular katam tebu mempunyai tabiat yang tidak boleh dijangkakan dan dianggap amat merbahaya. Walaupun ular pantai juga tergolong didalam kumpulan ular yang berbisa, kes gigitan ular ini jarang dilaporkan.
Keluarga Viperidae
Gambarajah 2: Kedudukan taring Viperidae
Ular-ular dari keluarga ini adalah yang paling mudah dikenali berdasarkan kepada bentuk kepalanya yang seakan-akan berbentuk segitiga dan lebih besar daripada lehernya. Di antara mata dan lubang hidungnya terdapat satu lubang (pit) yang berfungsi sebagai deria pengesan haba yang amat sensitif yang digunakan untuk mengesan mangsa yang terdiri daripada haiwan berdarah panas. Bisa daripada ular jenis ini adalah dari jenis racun darah (haemotoksin) dan racun sel (sitolitik) yang berupaya menyebabkan pendarahan pada mangsa sama ada di dalam atau luar tubuh. Gigitan ular ini adalah sakit dan akan menjadi bengkak. Sebagaimana keluarga Elapidae, keparahan mangsa gigitan ular ini juga bergantung kepada jumlah racun yang disuntikkan ke tubuhnya dan juga jenis ular yang menggigit.
Mangsa gigitan ular jenis ini biasanya akan mengalami pendarahan kesan daripada luka yang berlaku pada saluran darah dan pencairan darah merah yang mana darah sukar untuk membeku. Pendarahan akan merebak sertamerta dan ianya akan berterusan selama beberap a hari. Pendarahan pada gusi, muntah darah, ludah atau batuk berdarah dan air kencing berdarah adalah kesan nyata bagi keracunan bisa ular dari keluarga ini. Walaupun kes kematian adalah jarang, kehilangan darah yang banyak akan mengancam nyawa mangsa.
Biasanya, ular kapak akan menggetarkan ekornya apabila didekati ataupun diusik. Ekornya yang bergetar itu apabila terkena kepada rumput atau daun-daun kering akan menghasilkan bunyi yang memberi amaran bahawa ia tidak suka diganggu dan akan mematuk pada b ila-bila masa sahaja.
Dari keluarga Viperidae, 7 jenis telah dikenalpasti berbisa dan merbahaya. Terdapat banyak kes keracunan bisa ular jenis ini yang telah direkodkan. Di antara ular-ular yang tergolong di bawah keluarga ini ialah:
Ular Kapak Bodoh, Ular Kapak Sumatra, Ular Kapak Gunung, Ular Kapak Tokong, Ular Kapak Hidung Pipeh, Ular Kapak Bakau, Ular kapak Hijau
Keluarga Hydrophiidae
Kesemua ular yang tergolong di bawah keluarga ini adalah ular laut dan mempunyai ekor yang pipeh seperti dayung bagi membantunya berenang (lihat Gambarajah 3). Kebanyakan ular jenis ini menghabiskan masanya di dalam laut dan hanya akan timbul sekali-sekal a ke permukaan air untuk bernafas. Ular laut biasa dijumpai di kawasan laut yang cetek di sepanjang pantai, muara sungai dan di sekeliling pulau. Ular laut adalah tidak agresif dan kebanyakan kes gigitan ular ini adalah berpunca daripada penyelam yang mem egangnya dengan kasar atau mengganggunya.
Semua ular laut di Malaysia adalah berbisa dan biasanya tiada tanda bengkak pada kawasan gigitan. Bisa ular laut adalah dari jenis racun otot (myotoksin) yang biasanya menyerang otot mangsa. Diantara tanda-tanda keracunan bisa ular ini ialah myalgia apabila bergerak, paresis, myoglobinuria dan hiperkalemia. Mangsa gigitan ular laut biasanya hanya dapat merasakan kesannya selepas sejam digigit bermula dengan sakit pada otot. Mangsa juga akan mengalami kesukaran untuk menggerakkan tangan dan kaki. Di antara jam pertama dan kedua, otot pada bahagian yang digigit akan menjadi lembut dan rasa sakit apabila menggerakkan anggota tubuh yang utama seperti tangan, kaki, leher dan lain-lain. Myoglobinuria, situasi dimana mangsa akan menghasilkan air kencing yang be rwarna perang gelap berlaku selepas beberapa jam mangsa digigit. Dalam sesetengah kes gigitan ular laut, mangsa tidak merasakan apa-apa perubahan pada tubuh (tiada rasa sakit apabila menggerakkan anggota badan); ini mungkin disebabkan hanya sedikit atau t iada langsung bisa disuntikkan ke tubuh mangsa.
Spesis ular laut yang terdapat di Malaysia ialah:
Laticauda colubrina, Hydrophis cyanocinctus, Enhydrina schitosa, Aipysurus eydoxii, Lapemis hardwickii, Acalyptophis peroni, Thalassophis anomalus, Thalassophina viperina, Kerilia jerdon, Astrotia stokesi, Microcephalis gracilis, Pelamis platurus, Hydroph is kloss, Hydrophis spiralis, Hydrophis, melanosoma, Hydrophis caerulescen, Hydrophis ornatus, Hydrophis torquatus, Hydrophis torquatus aagardi, Hudrophis brookii, Hydrophis fasciatus fasciatus, Hydrophis fasciatus atricrps, dan Praescutata viperina.