Skip to main content

vcc

Berhenti Merokok: Contohi Anak-anak Kita

Oleh: natrah@usm.my
Berhenti Merokok: Contohi Anak-anak Kita

Sempena Ramadhan Al Mubarak 1420

Ramadan 1997 merupakan satu bulan keramat bagi sekumpulan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sebarang Jaya (SMKSJ). Pada ketika itu, mereka telah berazam untuk berhenti merokok dan memberanikan diri untuk berjumpa guru kaunseling bagi mendapatkan nasihat. Mulai daripada itu, berbagai usaha telah dijalankan sehinggalah tertubuhnya Kelab Nafas Baru (KNB) sebagai satu langkah membantu pelajar-pelajar ini berhenti merokok.

KNB merupakan satu-satunya kelab bebas tembakau yang diadakan di sekolah di Malaysia. Kelab yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar dan guru-guru ini telah membuahkan banyak hasil dan salah satu daripadanya adalah kejayaan ahli-ahlinya membebaskan diri daripada tabiat buruk merokok. Sehingga kini, tidak kurang daripada sepuluh (10) pelajar yang telah berjaya berbuat demikian dan ramai lagi sedang berusaha ke arah itu.

Berikutan ini, KNB sekolah Seberang Jaya ini telah dapat menarik minat berbagai pihak termasuklah beberapa sekolah lain yang ingin mencontohi usaha gigih mereka. Ahli KNB sekolah tersebut telah dijemput untuk membantu dalam usaha untuk menubuhkan KNB. Di samping itu, Jabatan Kesihatan Negeri juga menunjukkan minat dalam memperluaskan penubuhan kelab ini di Pulau Pinang. Begitu juga dengan Jabatan Pendidikan Negeri yang mengiktiraf KNB sebagai salah satu aktiviti di sekolah. Semua ini menampakkan bahawa segolongan pelajar telah menunjukkan azam yang begitu tinggi untuk berhenti merokok berkat daripada Ramadan 1997.

Sempena bulan Ramadan ini, usia KNB menjangkau dua (2) tahun dan banyak pihak mendapat pengajaran daripadanya. Adalah diharapkan bahawa orang ramai khususnya para ibu bapa dan dewasa serta masyarakat umum dapat mengambil ikhtibar daripada keazaman ini dan menjadikan anak-anak kita sebagai contoh buat masa hadapan.

 Pengakuan Ikhlas

"Saya mula merokok ketika umur saya 11 tahun, kerana mengikut kawan-kawan. Pada mulanya, kawan-kawan saya memberikan sebatang rokok kepada saya. Saya pun mencubanya. Pada mulanya, saya terbatuk-batuk. Lama kelamaan, dari sebatang rokok yang saya hisap mencecah kepada 2-3 batang. Kemudian kawan saya menjualkan rokok kepada saya dengan harga 30 sen sebatang.

Saya pun memberanikan diri untuk membeli rokok di kedai yang berhampiran. Setiap kali membeli rokok, saya akan membeli sekotak rokok yang mengandungi 14 batang rokok. Saya tidak kisah jika bapa saya tahu bahawa saya seorang perokok sedangkan dia juga seorang perokok. Jenama rokok yang sering saya beli ialah Dunhill dan Malboro.

Setelah 4 tahun saya merokok, kesihatan saya banyak terjejas. Saya sering batuk dan sakit di bahagian dada. Semasa membuat pemeriksaan kesihatan, doktor menasihatkan saya supaya berhenti daripada tabiat ini. Saya menyertai Kelab Nafas Baru yang ditubuhkan pada tahun 1997 untuk berhenti daripada merokok dan saya telah berazam tinggi dan berjaya meninggalkan tabiat buruk ini. Syukur kepada Tuhan, kesihatan saya bertambah baik walaupun kesannya masih ada lagi".


Abdul Harris @ Azroy bin Abdul Wahab
Ahli dan Fasilitator Kelab Nafas Baru, Sekolah
Menengah Kebangsaan Seberang Jaya