Skip to main content

vcc

Suplemen - Nak Sihat Jadi Mudarat

Oleh: Sulastri Samsudin

ms4

Dunia kini menyaksikan manusia memanfaatkan teknologi yang serba canggih untuk memudahkan mereka dalam semua penjuru kehidupan, termasuklah dalam hal pengurusan dan penjagaan kesihatan. Ironinya, keinginan manusia untuk sihat tidak selari dengan sikap dan amalan yang dipraktiskan dalam kehidupan seharian. Masakan tidak, ramai yang mengambil jalan pintas untuk kekal sihat dan bertenaga dengan hanya mengambil suplemen atau sebarang produk kesihatan berdasarkan testimoni pelanggan atau mengikut syor peniaga sahaja. Hanya berpandukan testimoni pelanggan lain, pengguna rela berbelanja besar untuk mendapatkan sesuatu produk penjagaan kesihatan tanpa mengetahui risiko kesihatan yang bakal dihadapinya. Situasi ini sudah tentu meningkatkan permintaan terhadap sesuatu jenis produk dan akhirnya berlakulah lambakan produk penjagaan kesihatan yang tidak tersenarai dalam pasaran.

Atas desakan untuk melakukan sesuatu hal dengan mudah dan pantas, produk penjagaan kesihatan yang memberi kesan mujarab dalam tempoh segera, amat diminati. Namun, ramai antara kita tidak sedar bahawa penambahan bahan ubat terkawal dalam sesuatu sediaan penjagaan kesihatan seperti suplemen, ubat-ubatan tradisional (produk herba) bahkan dalam produk kosmetik itulah yang telah membuatkan orang ramai terpedaya dengan kesan ‘mujarab’ produk tersebut. Kebiasaannya, ubat terkawal seperti steroid ditambah dalam ubat-ubatan tradisional untuk memberikan kesan kelegaan yang segera bagi penyakit keradangan seperti artritis (sendi berasa sakit, bengkak dan kejang). Pengambilan ubat mengandungi steroid dalam tempoh masa yang lama dan dos yang tidak dikawal boleh membahayakan kesihatan pengamalnya. Dos steroid yang tinggi dalam badan akan meningkatkan paras hormon kortisol dan boleh menyebabkan sindrom Cushing yang dapat dikesan melalui bentuk muka yang membulat, pembentukan bonggol di belakang badan seterusnya menyebabkan kerosakan buah pinggang, tekanan darah tinggi, kencing manis, obesiti dan tulang mereput.

Selain itu, produk lain seperti ubat pelangsing badan berasaskan herba juga sering dimanipulasi oleh pengusaha yang tidak bertanggungjawab dengan menambahkan bahan campur palsu terlarang, seperti sibutramine. Sibutramine telah diharamkan di Malaysia sejak tahun 2010 lagi kerana didapati pengambilannya secara langsung atau tidak telah meningkatkan kejadian serangan jantung dan strok kepada pengguna di negara kita. Pengambilan sibutramine secara berlebihan (overdose) boleh menyebabkan gangguan tidur, peningkatan tekanan darah, sawan, tekanan perasaan dan kerosakan hati.

Di Malaysia, kesemua produk farmaseutikal termasuk ubat-ubatan tradisional dan suplemen kesihatan wajib didaftarkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memastikan tahap keselamatan produk tersebut sentiasa dipelihara. Produk yang akan didaftarkan perlu melalui beberapa ujian keselamatan penting seperti saringan steroid, logam berat, bahan terlarang serta bahan yang disyaki berdasarkan dakwaan khasiat oleh pengeluar. Adalah menjadi tanggungjawab pengusaha untuk mendaftarkan produk mereka bagi mengelakkan sebarang kesan buruk terhadap kesihatan akibat pengambilan produk yang dikeluarkan.

Sebagai sebuah entiti terulung dalam bidang toksikologi di Malaysia, Pusat Racun Negara (PRN) ada menyediakan perkhidmatan analisis kimia melalui Makmal Toksikologi PRN yang diiktiraf oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (NPRA KKM). Perkhidmatan analisis kimia ini boleh dimanfaatkan oleh pihak industri dan juga perusahaan kecil dan sederhana (IKS) untuk mengesahkan produk yang dihasilkan mereka bebas bahan kimia terlarang dan selamat digunakan. Perkhidmatan yang disediakan oleh makmal ini merupakan salah satu usaha dan komitmen PRN dalam meningkatkan kualiti produk ubat-ubatan tradisional yang dihasilkan di negara kita.

Sebagai pengguna pula, buatlah pilihan bijak dengan menggunakan produk yang berdaftar dengan NPRA KKM, iaitu sebuah badan regulatori yang bertanggungjawab dalam pendaftaran produk (ubat) di Malaysia. Produk yang memenuhi syarat dan spesifikasi kualiti ditetapkan NPRA sahaja yang boleh didaftarkan. Pengguna boleh menyemak dahulu sama ada sesuatu produk itu berdaftar atau tidak dengan badan ini dengan menyemak nombor pendaftaran dan tanda hologram Meditag yang dicetak pada label produk sebelum membelinya. Setiap pengguna bertanggungjawab terhadap kesihatan diri masing-masing. Sihat atau mudarat? Pilihan di tangan anda.

Untuk semakan produk berdaftar, layari www.npra.moh.gov.my > HOME > Carian Produk. Pengguna boleh membuat carian produk tercemar racun berjadual di http://www.pharmacy.gov.my/ > Perkhidmatan > Senarai Produk dikesan mengandungi bahan terlarang.

ms5 1