Oleh: Mohamed Izham Mohamed Ibrahim (PhD) & Norlela Maarup (MD)
Penyakit asma (atau lelah) boleh membawa risiko kepada ibu yang mengandung. Kebiasaannya wanita tersebut telah mengidap asma sejak sebelum kehamilan. Risiko ini bergantung kepada tahap keterukan asma yang dihidapi oleh si ibu. Keadaan menjadi lebih serius jika ia dikaitkan dengan asma yang tidak terkawal dan penggunaan ubat yang tidak sesuai untuk merawatnya. Risiko terhadap janin pula adalah dua kali ganda.
Simptom-simptom penyakit asma didapati berubah dengan perubahan hormon dalam tubuh ibu dan tahap perkembangan janin. Ini kerap berlaku di antara minggu ke 20 dan 36 usia kandungan. Menurut kajian, sepertiga daripada ibu hamil akan mendapati penyakit asmanya bertambah baik, sepertiga lagi menjadi semakin teruk manakala sepertiga lagi tiada mengalami perubahan. Mereka juga turut mengalami sesak nafas dalam minggu-minggu terakhir kehamilan kerana janin yang bertambah besar menekan diafram (otot-otot untuk bernafas) ibu lantas mengurangkan bekalan udara ke paru-paru.
Secara umum, asma boleh dirawat dengan berkesan tanpa membahayakan kesihatan janin. Matlamat keseluruhan pengurusan asma semasa hamil ialah memantau simptom penyakit bagi mengelak berlakunya kekurangan bekalan oksigen kepada janin. Pada masa yang sama, doktor akan mengurangkan risiko kesan mudarat ubat asma terhadap janin. Namun begitu, keadaan kekurangan oksigen akibat tahap penyakit yang tak terkawal adalah lebih bahaya daripada kesan sampingan ubat. Kekurangan oksigen kepada janin boleh menjejaskan tumbesaran tubuh dan otak janin serta boleh membawa maut kepada ibu serta janin tersebut.
Empat perhatian berkaitan asma dan kehamilan
Panduan rawatan penyakit asma
Pihak berkuasa di Amerika Syarikat (FDA) telah memberikan beberapa garispanduan klasifikasi ubat asma.
Kelas A [ubat yang diuji dalam wanita hamil dan didapati selamat] Kelas B [tidak diuji dalam wanita hamil tetapi tiada kesan sampingan dalam haiwan ujian atau manusia] Kelas C [terdapat kesan sampingan dalam haiwan; kesan sampingan dalam manusia belum ditemui] |
Ibu hamil digalakkan untuk mengambil ubat secara inhalasi untuk mengurangkan kesan sampingan sistemik. Ubat-ubat asma juga turut selamat digunakan semasa menyusu badan. Walau bagaimanapun, pesakit asma yang sedang hamil atau merancang untuk mendapatkan cahaya mata wajar mendapatkan nasihat daripada doktor atau pakar perubatan.