Skip to main content

vcc

DIOKSIN

Oleh: Leong Yin Hui

Toksin Alam Sekitar

Dioksin merupakan bahan yang tergolong sebagai pencemar organik berterusan (persistent organic pollutant - POP) daripada kumpulan hidrokarbon aromatik halogenasi. Ia adalah bahan sampingan toksik yang terhasil daripada proses pembakaran tidak lengkap, contohnya pembakaran sampah, kebakaran hutan ataupun proses perindustrian. Dioksin masuk ke dalam sistem tubuh manusia melalui pengambilan bahan makanan tercemar dioksin, terutamanya yang berasaskan haiwan. Dioksin mengumpul dalam lemak dan tisu haiwan dengan itu ia mudah memasuki rantaian makanan manusia – lebih 90% dari pendedahan kepada dioksin setiap hari adalah berpunca daripada sumber makanan. Ini menjadikan keracunan dioksin kepada manusia sebagai satu isu kesihatan awam yang serius.

Dioksin diketahui boleh menyebabkan kanser. Namun kajian secara in-vitro dan in-vivo mendapati bahawa dioksin juga berupaya untuk menyebabkan pelbagai kesan buruk lain pada tubuh manusia seperti kerosakan pada sistem imun, masalah pembiakan dan perkembangan, perkembangan otak yang tidak normal, mengurangkan kekuatan, struktur dan kepadatan tulang dan menganggu sistem endokrin. Kajian epidemiologi pula menunjukkan bahawa pendedahan kepada dioksin boleh meningkatkan risiko penyakit seperti diabetes, sindrom metabolik, obesiti, penyakit hati berlemak, penyakit kardiovaskular dan melemahkan fungsi paru-paru. 

Keupayaan dioksin untuk larut dalam lemak membolehkannya untuk berpindah dari tisu adipos ibu kepada bayi sama ada melalui plasenta (semasa bayi dalam kandungan) ataupun susu badan. Dalam tempoh penyusuan, pendedahan bayi terhadap dioksin pada peringkat awal telah menunjukkan kesan ketara kepada tumbesaran, imunologi dan endokrinologi kanak-kanak.

Bagi mengurangkan pendedahan manusia terhadap dioksin, Suruhanjaya Eropah telah memperkenalkan paras maksimum untuk dioksin di dalam pelbagai jenis makanan dalam Peraturan Suruhanjaya (EC) No. 1881/2006 (EC, 2006). Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dibawah Jawatankuasa Kesatuan Eropah Saintifik Makanan (ECSCF) pula telah menetapkan pengambilan harian yang dibenarkan bagi dioksin adalah 1-4 pg TEQ kg-1 berat badan (iaitu bersamaan 14 pg TEQ kg-1 berat badan seminggu).

Di Malaysia, isu pembuangan sisa berbahaya daripada industri, perlu diberi perhatian yang lebih serius. Setakat ini, maklumat berkenaan pembuangan sisa toksik ke alam sekitar dan kejadian pencemaran di Malaysia sangat terhad. Terdapat beberapa kajian terhadap pencemaran POPs di Malaysa telah dilakukan, umpamanya pencemaran POPs pada kerang di perairan pantai dan sebatian organoklorin dalam susu ibu daripada populasi umum. Hasil kajian ini telah menunjukkan bahawa kepekatan bahan pencemar ini masih tinggi di alam sekitar di lokasi tertentu. Walau bagaimanapun, pencemaran dioksin pada makanan laut dan produk makanan laut, daging dan produk daging, susu serta produk tenusu untuk kegunaan populasi umum di Malaysia masih rendah berbanding dengan apa yang disaran jumlah pengambilannya oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini menggambarkan bahawa pendedahan pemakanan kepada dioksin dalam kalangan penduduk Malaysia masih rendah dan kurang berisiko terhadap kesihatan.

Di negara-negara maju, terdapat usaha pemantauan yang intensif pencemaran POP hasil daripada peraturan ketat terhadap penggunaan dan pengurusan sampah. Ini telah membawa kepada penurunan kejadian pencemaran POP di sana. Situasi ini berbeza dengan keadaan di negara-negara membangun yang mana maklumat kejadian dan pencemaran POP masih terhad. Lebih menggusarkan lagi, berkemungkinan besar bahan-bahan kimia ini masih digunakan dengan meluas ataupun terhasil secara tidak sengaja. 

Dalam usaha untuk mengurangkan risiko terdedah kepada dioksin, WHO telah menggariskan beberapa petua kepada pengguna: membuang lemak daripada daging dan pengambilan produk tenusu rendah lemak dan mengamalkan pemakanan seimbang (termasuk mengambil buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin yang mencukupi). Ini merupakan strategi jangka panjang bagi mengurangkan beban tubuh. Mungkin ini juga kaedah paling sesuai untuk diamalkan oleh kanak-kanak perempuan dan wanita muda dalam usaha mengurangkan kemungkinan pendedahan pada janin dan ketika menyusui bayi di kemudian hari. 

67ms3 gambarajah 1

 

67ms3 gambarajah 2