Skip to main content

vcc

Tahukah Anda: Sibutramine Pembunuh Senyap

Oleh: Dr. Normaliza Hj Abdul Manaf
Tahukah Anda: Sibutramine Pembunuh Senyap

Sibutramine ialah sejenis bahan kimia dan ubat yang boleh mengurangkan rasa lapar. Sehubungan dengan itu, sibutramine banyak digunakan dalam terapi obesiti terutama bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan. Sibutramine digunakan bersama diet kalori rendah dan senaman khusus membantu orang-orang yang mempunyai berat badan berlebihan dalam menurunkan berat badan dan untuk mengekalkan penurunan berat badan.

Sibutramine dikawal di bawah Akta Racun 1952, dan temasuk dalam senarai ‘Group B Poison’. Sibutramine telah diluluskan untuk digunakan sebagai terapi obesiti di Amerika Syarikat pada tahun 1997. Namun begitu, kelulusan ini telah ditarik balik pada tahun 2010 kerana peningkatan risiko kejadian serangan jantung. Penjualan Sibutramine di Malaysia juga telah diharamkan pada tahun 2012 kerana ia berupaya meningkatkan risiko serangan jantung dan strok selain kesan sampingan terhadap sistem saraf pusat, saluran gastrousus dan sistem organ lain. Antara kesan sampingan lain yang biasa dikaitkan dengan Sibutramine termasuk mulut dan tekak kering, sakit kepala, insomnia, sembelit, loya, muntah, cirit-birit dan peningkatan tekanan darah dan degupan jantung.

Meskipun tiada lagi sediaan secara komersial kerana Sibutramine termasuk dalam senarai ubat terlarang, namun Sibutramine telah ditemui sebagai bahan campur palsu dalam produk-produk penurunan berat badan yang dijual sama ada di kedai-kedai atau dalam talian. Tujuan Sibutramine dimasukkan ke dalam produk adalah bagi memastikan keberkesanan produk yang pantas kepada pengguna.

Produk sebegini akan memberi kesan buruk kepada pengguna dengan mempercepatkan denyutan jantung dan ini sangat merbahaya kepada pembuluh darah berikutan tekanan darah akan naik mendadak. Kesan yang lebih buruk menyebabkan pengguna yang mengambilnya bakal diserang strok mengejut, denyutan nadi dan jantung menjadi pantas dan tidak menentu. Kekurangan air di dalam tubuh pengguna akan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati. Satu kes yang pernah
dilaporkan, seorang mangsa di Singapura dimasukkan
ke hospital kerana mengalami halusinasi dan kegagalan buah pinggang yang teruk selepas menggunakan sejenis pil kurus.

Sekiranya anda telah ataupun sedang mengambil produk pelangsing dan mengalami kesan-kesan sampingan sebagaimana tersenarai di atas, anda dinasihatkan agar berhenti daripada mengambil produk berkenaan dan jalani pemeriksaan di hospital atau klinik kesihatan berdekatan.

Pengguna boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya siasatan dan tindakan boleh diambil. Senarai produk yang mengandungi bahan terlarang Sibutramine boleh didapati melalui portal rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara https://npra.gov.my/

Sibutramine juga merupakan bahan yang tersenarai dalam senarai bahan yang terlarang untuk digunakan sewaktu pertandingan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA). Pada tahun 2014 isu doping dilaporkan di media apabila atlet wushu Sukan Asia positif dadah jenis Sibutramine yang mengakibatkan figura tersebut kehilangan pingat emas yang diraihnya. Pada tahun 2017 pula, arena hoki tempatan menerima tamparan selepas penjaga gol utama skuad negara didapati positif kerana menggunakan bahan terlarang Sibutramine oleh WADA pada kejohanan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh. Berdasarkan kepada beberapa kes di atas, atlet negara perlu lebih berhati-hati dalam memilih suplemen tambahan. Mereka perlu tahu kandungan suplemen yang diambil bagi mengelakkan daripada positif doping di masa akan datang bagi menghindarkan pingat yang dimenangi ditarik balik dan dalam masa yang sama menjaga nama baik negara.

Sesungguhnya tiada jalan pintas untuk kurus jika anda obes. Orang ramai yang mahu kurus atau menghadapi masalah obesiti boleh mendapatkan nasihat dan rawatan dari profesional kesihatan sekiranya perlu. Jangan mudah tertipu dengan produk kesihatan yang banyak dipromosikan melalui penjualan dalam talian. Menjaga pemakanan adalah langkah yang amat wajar. Amalkan “suku-suku, separuh” dan bersenam. Kaedah ini lebih selamat dan berkesan.

Pusat Racun Negara (PRN) menawarkan perkhidmatan analisis produk-produk pelangsingan bagi mengesan bahan campur palsu Sibutramine. Pengguna boleh menghubungi Makmal Toksikologi, Pusat Racun Negara ditalian 04-653 2171 atau melalui emel prnlab@usm.my untuk maklumat lanjut.