Skip to main content

vcc

Lindane untuk rawatan kudis buta: Antara manfaat dan kesan toksik

Oleh: Nur Afni Amir

70ms6

Lindane merupakan sejenis racun serangga dalam kumpulan organoklorin. Ia merupakan salah satu racun perosak yang dibenarkan penggunaannya ke atas manusia untuk tujuan rawatan kudis buta sejak tahun 1950. Walaupun masih digunakan sebagai ubat, penggunaan lindane sebagai racun perosak dalam sektor pertanian sebenarnya telahpun diharamkan setelah ia dikenalpasti sebagai salah satu bahan pencemar organickekal (persistent organic pollutant) dalam Stokcholm Convention on Persistent Organic Pollutants (POPs).

Namun pengharaman lindane ini masih dikecualikan untuk penggunaan dalam bidang farmaseutikal khususnya untuk rawatan kutu dan kudis buta kerana ia masih dianggap berkesan dan harganya yang lebih murah berbanding ubat alternatif yang lain. FDA sendiri telah meluluskan penggunaan lindane sebagai terapi barisan kedua untuk rawatan kutu rambut, kutu pubik dan kudis buta untuk pesakit yang berumur 2 tahun ke atas sekiranya rawatan dengan pilihan ubat lain yang lebih selamat seperti permethrin tidak berjaya atau tidak sesuai untuk pesakit. Di Malaysia penggunaan lindane dalam rawatan kudis buta adalah dibenarkan. Walaubagaimanapun, beberapa buah negara seperti United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat (di California sahaja) telah mengambil langkah berhati-hati dengan mengharamkan produk farmaseutikal yang mengandungi lindane kerana kebimbangan terhadap risiko kesan toksiknya terhadap manusia dan persekitaran. 

Kesan Toksik Lindane

Nama lain bagi lindane adalah gamma benzene hexachloride dan ia boleh didapati sebagai sediaan untuk kegunaan pada kulit manusia pada kepekatan 1%. Kesan toksik daripada penggunaan terapeutik adalah sangat jarang namun keracunan boleh berlaku sekiranya lindane disapu secara berlebihan atau berulang kali tanpa mengikut saranan yang sepatutnya. Namun apa yang lebih membimbangkan, banyak kes keracunan telah dilaporkan akibat pesakit terminum lindane secara tidak sengaja terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak. Ada juga kes dimana ibu bapa sendiri telah tersalah memberi minum lindane kepada anak kerana menyangka ia adalah ubat untuk diminum seperti ubat batuk ekoran botol ubat ini yang kelihatan seakan-akan sama!

Lindane mudah diserap ke dalam tubuh sama ada melalui serapan kulit atau sekiranya termakan. Ia kekal di dalam tisu lemak dalam satu jangkamasa yang panjang. Lindane boleh menyebabkan ransangan pada sistem saraf pusat seterusnya mengakibatkan gejala seperti sawan sepantas satu atau dua jam selepas keracunan berlaku.

Sekiranya berlaku keracunan, pesakit mungkin akan mendapat gejala-gejala seperti berikut:
 ✺
Loya
 ✺
Muntah
 ✺
Sukar bernafas
 ✺
Sakit kepala
 ✺
Badan menjadi lemah
 ✺
Sawan

Keterukan gejala ini adalah bergantung kepada dos yang diserap masuk ke dalam badan. Sekiranya anda perlu menggunakan lindane untuk rawatan, pastikan anda mengikuti saranan seperti berikut untuk mengurangkan risiko kesan sampingan atau keracunan:
 ✺
Elakkan penggunaan pada kulit yang basah atau selepas mandi.
 ✺
Elakkan penggunaan melebihi jangkamasa yang dicadangkan—basuh selepas 6-8 jam.
 ✺
Lindane tidak sesuai digunakan oleh wanita mengandung atau menyusukan anak, kanak-kanak berusia bawah 10 tahun atau pesakit yang mempunyai penyakit sawan. Pastikan anda berbincang dengan doktor atau pegawai farmasi sebelum memulakan rawatan.
 ✺
Tutup botol lindane dengan rapat dan pastikan ia diletakkan jauh dari capaian kanak-kanak.
 ✺
Baca arahan pada label ubat sebelum menggunakannya. Lindane adalah untuk kegunaan luar sahaja (kulit atau
rambut).