Petikan Al-Quran dan Hadith Tentang Merokok
Oleh: Wan Zainal Azman Wan Abdullah
Sebab-sebab Pengharaman Merokok
Rokok diharamkan kerana terdapat beberapa bukti saintifik serta firman Allah dan hadis mengenainya. Isu penting adalah merokok boleh merosakkan pelbagai aspek kehidup-an manusia -- termasuklah dari segi agama, kesihatan, alam sekitar, keluarga, jiran tetangga, hartabenda, ekonomi dan sebagainya.
Memudaratkan Kesihatan
Allah berfirman “Dan belanjalah pada jalan Allah, dan janganlah anda mencampakkan diri ke jalan kebinasaan, dan berbuat baiklah sesungguhnya Allah sangat suka mereka yang melakukan kebaikan” (Surah Al-Baqarah:195).
Firman Allah lagi “Wahai orang-orang yang beriman, jangan anda makan harta setengah kamu dengan jalan tidak betul (kebatilan), melainkan ada persetujuan di antara kamu, dan jangan membunuh diri anda, sesungguhnya Allah Maha Penyayang” (Surah An-Nisa:195).
Semua orang tahu dan tidak menafikan bahaya dan keburukan merokok. Terdapat bukti perubatan dan saintifik yang menunjukkan bahawa merokok adalah punca bagi sekurang-kurang-nya 25 jenis penyakit yang boleh menyebabkan maut. Perokok lebih terdedah kepada barah paru-paru 22 kali ganda jika berbanding dengan mereka yang tidak merokok.
Dari sebatang rokok, terdapat lebih 4000 jenis bahan kimia dan racun yang dihisap terus ke dalam paru-paru. Bayangkanlah jika tabiat buruk ini diperlakukan sehingga berpuluh tahun lamanya selagi tabiat ini diteruskan.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda “Sesiapa meminum racun, yang demikian membunuh diri sendiri, akan merasai racun tersebut secara berterusan buat selama-lamanya di neraka Jahanam” (hadis riwayat Abu Hurairah r.a)
Bahaya kepada kesihatan keluarga dan masyarakat
Asap rokok yang dihembuskan oleh perokok adalah lebih beracun daripada asap rokok yang dihisap oleh perokok itu sendiri. Ia lebih mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan dan alam sekitar termasuklah keluarga terdekat. Ini kerana kadar bahan kimia yang dihembuskan adalah berlipat kali ganda berbanding dengan yang dihisap oleh perokok.
Mereka yang terdedah pada asap rokok ini dipanggil sebagai perokok pasif. Walaupun mereka tidak merokok secara langsung, mereka akan mendapat penyakit sepertimana yang dihidapi oleh perokok sendiri atau mungkin lebih teruk dari itu.
Isteri dan anak-anak menjadi mangsa. Begitu juga kesan terhadap rakan-rakan, jiran tetangga dan umumnya masyarakat yang turut sama menjadi perokok pasif. Diriwayatkan daripada Al-Bukhaari r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, janganlah menyakiti jiran tetangganya”.
Nafas berbau
Umat Islam dilarang memakan makanan yang berbau kerana dikhuatiri mengganggu orang awam. Tabiat merokok akan menyebabkan nafas perokok berbau, malah seluruh tubuh akan berbau rokok. Ia akan menimbulkan rasa tidak senang terhadap masyarakat umum.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda ketika dalam peperangan Khaibar: “Sesiapa yang memakan dari pohon ini iaitu bawang putih maka janganlah dia memasuki masjid” (Hadis Ibnu Umar r.a). Sebagaimana yang kita maklum bahawa bawang putih mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan dan ini mungkin akan mengganggu jemaah yang sedang sembahyang. Bayangkan pula keadaan yang sama dari segi bau orang-orang yang merokok.
Membazir
Di dalam al-Quran Allah berfirman “.. dan janganlah engkau membelanjakan harta mu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu, adalah saudara syaitan .” (Surah al-Israa’:26-27).
Rasulullah s.a.w pula telah bersabda “dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengumpat, meminta-minta dan membazirkan harta” . (hadis al-Mughirah bin Syu’bah r.a)
Tabiat buruk merokok merupakan satu pembaziran daripada berbagai segi: baik wang ringgit, kesihatan mahupun pemeliharaan alam sekitar. Berdasarkan kepada aspek-aspek ini, dapatlah disimpulkan bahawa amalan merokok adalah satu amalan yang merugikan. Dengan mengelakkan diri dari merokok bukan sahaja dapat mengekalkan kesihatan yang unggul bahkan sebagai satu kepatuhan kepada kehendak agama Islam. Dengan lain perkataan, amalan merokok ini perlu dihentikan seberapa segera yang boleh.