Skip to main content

vcc

Toksin Semulajadi - Aflatoksin

Oleh: Leong Yin Hui

Pengenalan

Aflatoksin adalah sejenis toksin yang terhasil secara semulajadi daripada kumpulan kulat tertentu dan ia biasa dijumpai di dalam tanaman makanan seperti jagung, kekacang, beras, bijirin dan lain-lain. Toksin yang terhasil daripada kulat ini dikenali sebagai mikotoksin. Antara genus kulat yang menghasilkan mikotoksin adalah seperti Fusarium, Aspergillus, Penicillium dan Alternaria. Kelas utama bagi mikotoksin termasuklah aflatoksin, toksin fusarial (trichothecences, fumonisins, zearalenone), okratoxin A dan alkaloid ergot. Aflatoksin merupakan mikotoksin paling berbahaya yang dihasilkan daripada kulat jenis Aspergillus.

Organisasi Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) menganggarkan kira-kira 25% tanaman dunia telah dicemari oleh mikotoksin setiap tahun. Masalah ini telah mendapat banyak perhatian sejak tiga dekad yang lalu akibat daripada kerugian besar pada ekonomi dan kesihatan manusia. Pencemaran aflatoksin menjejaskan kualiti produk pertanian sehingga memberikan impak yang buruk kepada aktiviti pertanian dan juga pengguna. Sehingga hari ini, belum ada lagi kaedah yang berkesan untuk menghapuskan toksin ini dari rantaian penghasilan dan pemprosesan makanan sepenuhnya.

Apakah kesan aflatoksin kepada kesihatan manusia?

Aflatoksin bersifat karsinogenik (cenderung menyebabkan kanser) dan sangat toksik. Setakat ini, lebih daripada 14 jenis aflatoksin telah dikenalpasti, empat (4) daripadanya iaitu AFB1, AFB2, AFG1 dan AFG2 merupakan aflatoksin utama yang berupaya mendatangkan kesan berbahaya kepada manusia dan haiwan. AFB1 dan ia terhasil daripada kulat Aspergillus flavus dan Aspergillus parasiticus merupakan aflatoksin yang paling toksik telah dikenal pasti. AFB1 dan aflatoksin-aflatoksin lain telah dikategorikan sebagai karsinogen kumpulan satu oleh Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa. AFB1 telah dikaitkan sebagai punca mengakibatkan kanser hati yang merupakan salah satu penyebab utama kematian di seluruh dunia. Selain bersifat karsinogenik, aflatoksin juga melemahkan sistem imun tubuh, membantutkan pertumbuhan, menyebabkan ketoksikan pada hati dan juga gangguan terhadap sistem pembiakan.

ms4

Faktor yang mempengaruhi penghasilan aflatoksin

Secara umum, aflatoksin mengancam tanaman yang ditanam di kawasan bersuhu panas, terutamanya pada musim kemarau yang bersuhu tinggi. Amalan penuaian, proses penyimpanan, pengangkutan dan pemasaran yang tidak dikawal dengan betul juga menyumbang kepada pertumbuhan kulat dan meningkatkan risiko terhasilnya aflatoksin. Aflatoksin biasanya mencemari pelbagai jenis komoditi pertanian utama seperti bijirin (jagung, betari, beras, gandum), rempah-ratus (cili, kunyit, lada hitam), minyak bijirin (kacang tanah, biji kapas), pokok kacang (badam, pistasio, walnut) dan susu (manusia dan haiwan). Dengan keadaan perubahan iklim semasa, pencemaran aflatoksin terhadap tanaman dijangka akan meningkat di seluruh dunia.

Senario pencemaran aflatoksin di Malaysia

Malaysia merupakan sebuah negara beriklim tropika dengan suhu purata antara 28-31°C dan taburan hujan yang banyak sepanjang tahun. Keadaan cuaca yang panas dan lembap ini menggalakkan pembiakan Aspergillus flavus dan seterusnya penghasilan aflatoksin. Di Malaysia, banyak kejadian dan tahap pencemaran aflatoksin dalam makanan berasaskan kanji, kacang tanah dan produk jagung telah dilaporkan. 65% daripada produk kacang tanah dalam pasaran di Malaysia didapati tercemar dengan aflatoksin secara purata pada tahap 50μg/kg (maksima 180μg/kg). Selain itu, pencemaran aflatoksin juga turut dilaporkan berlaku pada cili kering.