Skip to main content

vcc

Peruntukan undang-undang Malaysia yang mengawal penjualan drug

Oleh: natrah@usm.my

Kajian perkembangan undang-undang yang dikenakan ke atas bentuk sediaan ubat menunjukkan bahawa tujuan asal proses dilakukan ialah untuk memastikan kualiti sediaan ubat. Melalui kawalan undang-undang ini, sediaan ubat yang dipasarkan kepada masyarakat akan mengandungi bahan ubat yang tercatit di atas label dan pengguna dijamin terhadap sebarang kesan daripada sediaan ubat tersebut.

Oleh itu, amalan tidak sihat seperti dakwaan salah tentang tujuan bentuk sediaan atau campuran palsu dalam sediaan ubat untuk menipu masyarakat dapat dibendung. Satu aspek lain yang menyebabkan undang-undang dikenakan pada ubat adalah untuk mengawal masalah ketagihan atau penyalahgunaan ubat.

Pengalaman yang diperoleh daripada perkembangan ubat menyebabkan kawalan undang-undang diketatkan lagi untuk melindungi masyarakat. Sebagai contoh, tragedi talidomod yang menyebabkan kesan kecacatan fizikal ke atas bayi-bayi yang dilahirkan oleh pengguna wanita menyebabkan kriteria keselamatan dimasukkan ke dalam kawalan undang-undang.

Walaupun kualiti dan keselamatan diberi perhatian dalam bentuk sediaan ubat, masalah bentuk sediaan tidak mempunyai kesan atau efikasi menyebabkan timbulnya keraguan masyarakat terhadap ubat moden. Atas sebab ini, kawalan undang-undang terhadap sediaan ubat melibatkan penelitian data kualiti, keselamatan dan efikasi ubat.