Kerintangan Antibiotik: Satu Ancaman Disebalik COVID-19
Setelah lebih 5 bulan seluruh dunia berhadapan dengan COVID-19, wabak ini telah meragut ratusan ribu nyawa. Ancaman wabak ini telah merubah lanskap kehidupan kita apabila sempadan antara negara ditutup, sekatan pergerakan dikuatkuasakan sehingga menyebabkan kelumpuhan ekonomi. Pandemik ini akan terus merubah norma kehidupan kita selagi vaksin kepada virus ini belum ditemui. Impak COVID-19 yang sangat besar dalam kehidupan seharian kita telah meningkatkan kesedaran orang awam berkaitannya. Namun, sedarkah kita di sebalik wabak COVID-19 yang melanda ini, terdapat ancaman lain yang secara senyap telah membunuh jutaan nyawa di seluruh dunia serta berupaya memberi komplikasi yang teruk kepada pesakit yang dijangkiti COVID-19. Ancaman yang dimaksudkan tersebut adalah KERINTANGAN ANTIBIOTIK!
Sebelum terjadinya pandemik COVID-19, WHO telah lebih dahulu mengisytiharkan kerintangan antibiotik sebagai satu isu yang sangat meruncing di peringkat global dan menjadi ancaman pada kesihatan awam. Data terkini menganggarkan sekurang-kurangnya 700,000 kematian telah dilaporkan setiap tahun akibat kerintangan antimikrobial termasuk antibiotik, antifungi dan antiviral. Sekiranya ancaman ini tidak dikawal, kematian akibat kerintangan ini boleh mencecah sehingga 10 juta orang setiap tahun menjelang tahun 2050.
Apakah kerintangan antibiotik?
Kerintangan antibiotik adalah satu keadaan dimana bakteria menjadi kebal kepada antibiotik. Ini bermaksud, antibiotik yang biasa digunakan untuk merawat jangkitan bakteria tertentu tidak lagi berkesan untuk membunuh bakteria tersebut.
Bagaimana Kerintangan Antibiotik berlaku?
Setiap kali antibiotik digunakan, bakteria akan mencari jalan untuk mempertahankan diri dengan mengubah struktur luaran atau sifat kimia dalaman mereka dan
juga melalui mutasi genetik. Akibatnya, semakin kerap antibiotik digunakan, maka bakteria akan menjadi lebih kebal. Bakteria yang tidak dapat dibunuh oleh antibiotik ini akan terus hidup dan berganda dengan lebih banyak.
Apakah faktor yang menyebabkan kerintangan Antibiotik?
Walaupun kerintangan antibiotik terjadi disebabkan oleh keupayaan bakteria itu sendiri untuk mengadaptasi, namun pelbagai faktor sosial dan persekitaran manusia telah mempercepatkan dan menggalakkan proses itu berlaku. Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kerintangan antibiotik adalah:
1. Penyalahgunaan dan penggunaan antibiotik secara berlebihan dan tidak bersesuaian.
Contohnya penyalahgunaan yang paling kerap berlaku adalah apabila antibiotik digunakan untuk merawat demam selsema yang disebabkan oleh jangkitan virus. Kita perlu faham bahawa tidak semua penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria. Jangkitan yang disebabkan oleh patogen lain seperti virus dan kulat tidak boleh dirawat menggunakan antibiotik.
COVID-19 contohnya tidak boleh disembuhkan menggunakan antibiotik kerana ia adalah penyakit bawaan virus. Jika antibiotik digunakan, bakteria biasa yang
wujud dalam tubuh kita akan bertindakbalas dengan cara meningkatkan pertahanan mereka terhadap antibiotik yang digunakan lalu membentuk bakteria kebal.
2. Pesakit tidak menghabiskan rawatan antibiotik
Kegagalan pesakit menghabiskan rawatan antibiotik menyebabkan bakteria tidak dihapuskan sepenuhnya. Bakteria yang tertinggal ini akan membina kerintangan terhadap antibiotik dan boleh menggandakan dirinya serta dipindahkan kepada orang lain.
3. Penggunaan antibiotik secara berlebihan dalam haiwan ternakan
Antibiotik digunakan pada haiwan untuk pelbagai tujuan seperti merawat penyakit, mengelakkan jangkitan pada haiwan yang sihat dan menggalakkan pertumbuhan haiwan yang digunakan sebagai sumber makanan. Penggunaan antibiotik secara meluas akan menggalakkan penyebaran bakteria kebal pada haiwan. Bakteria kebal yang wujud pada haiwan ini boleh dipindahkan kepada haiwan lain, ia juga boleh disebarkan kepada manusia melalui rantaian makanan.
Mengapa kita perlu ambil berat tentang kerintangan antibiotik?
Penemuan antibiotik pertama iaitu penicillin pada tahun 1928 oleh Sir Alexander Fleming telah membuka jalan kepada era kemajuan perubatan moden. Semenjak itu, antibiotik dianggap sebagai satu penemuan yang sangat berharga dalam bidang perubatan kerana ia mampu menyelamatkan jutaan nyawa dengan keupayaannya menyembuh dan mencegah jangkitan.
Sekiranya bakteria yang rintang terhadap antibiotik semakin bertambah dan tidak dapat dikawal, kemajuan perubatan yang telah kita nikmati sekarang tidak lagi dapat berfungsi malah mungkin akan membawa kita kembali ke zaman sebelum wujudnya antibiotik untuk merawat jangkitan.
Dalam masa yang sama, jangkamasa rawatan di hospital akan menjadi lebih panjang dan kos rawatan akan meningkat. Justeru itu, antibiotik sangat penting dan saling berkait dalam semua aspek perubatan moden. Kerintangan antibiotik akan mengakibatkan kegagalan dalam pelbagai rawatan perubatan sekaligus memberikan impak kepada kesihatan awam dan juga ekonomi global.
Apakah impak kerintangan antibiotik dalam situasi wabak COVID-19 yang sedang kita hadapi?
Meskipun antibiotik tidak berkesan untuk merawat COVID-19, namun antibiotik digunakan untuk merawat pesakit yang mendapat jangkitan sekunder (secondary
infection) atau jangkitan bersama (co-infection) dengan bakteria lain semasa dijangkiti COVID-19. Pesakit-pesakit yang terdedah kepada penyakit akibat jangkitan paru-paru seperti influenza, sindrom pernafasan akut teruk (SARS) dan COVID-19 mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk turut dijangkiti oleh bakteria kebal atau superbugs akibat sistem pertahanan badan yang semakin lemah.
Pelbagai kajian epidemiologi dan klinikal telah membuktikan jangkitan sekunder dan jangkitan bersama boleh meningkatkan kadar kematian akibat jangkitan virus secara signifikan. Pada tahun 2009, pandemik influenza H1N1 yang melanda telah meragut nyawa hampir 300,000 orang di seluruh dunia. Daripada jumlah tersebut, 29-55% kematian adalah berpunca daripada jangkitan sekunder bakteria pneumonia. Terkini, satu kajian yang dikeluarkan oleh sekumpuan penyelidik dari China mendapati bahawa 50% daripada pesakit COVID-19 yang meninggal dunia turut dikesan mempunyai jangkitan sekunder oleh bakteria lain. Dalam keadaan jangkitan berganda seperti ini, antibiotik yang berkesan dan berfungsi sepenuhnya boleh diibaratkan sebagai satu barisan benteng pertahanan yang sangat penting untuk merawat pesakit. Oleh itu, adalah sangat penting untuk memastikan bakteria yang rintang terhadap antibiotik ini dapat dikawal daripada menular kerana ia akan mengurangkan pilihan rawatan yang kita ada dan sekaligus merendahkan kemungkinan pesakit untuk sembuh.