Skip to main content

vcc

Bahaya Sinaran Radioaktif

Oleh: Dr Mohd Isa Abdul Majid

Keratan akhbar yang ditunjukkan di atas merupakan kesan yang berlaku ke atas alam sekitar akibat dari ujian-ujian nuklear yang dilakukan oleh kerajaan Perancis di Kepulauan Pasifik Selatan baru-baru ini. Bahaya ujian-ujian ini dapat diterangkan dari peningkatan paras sinaran radioaktif seperti Iodin 131 yang terhasil daripada ujian nuklear, seterusnya akan menjejas kesihatan manusia. Hal sedemikian sepatutnya meningkatkan lagi kesedaran kita kepada bahaya ujian nukear yang dijalankan oleh mana-mana pihak.

Bagaimana pengukuran sinaran radioaktif dilakukan?

Pengukuran sinaran radioaktif dilakukan dalam unit metrik yang dikenali sebagai gray (Gy). Satu (1) Gy merujuk pada tenaga 1 joule yang diserap oleh 1 kg tisu. Unit terdahulu yang digunakan sebelum unit gray ialah rad atau rem. Hubungkait di antara unit gray dengan unit rad adalah 1 Gy bersamaan dengan 100 rad atau 100 rem untuk sinar X dan gama.
Alat umum yang digunakan untuk mengukur sinaran radioaktif ialah Pembilang Geiger-Mueller yang merupakan pengukur kepada pengionan yang berlaku apabila sinaran radioaktif memasuki alat pengukur.

Apakah kesan sinaran radioaktif ke atas tubuh manusia?

Sinaran radioaktif boleh menyebabkan molekul di dalam sel-sel hidup teruja menjadi ion. Bentuk ion kemudiannya bertindakbalas dengan atom lain di dalam sel untuk menghasilkan kerosakan. Pada dos sinaran yang rendah seperti sinaran radioaktif yang kita terima dari alam sekitar, sel-sel berupaya memperbaiki kerosakan yang berlaku. Pada dos sinaran yang tinggi (sehingga 1 Gy), sel tidak berupaya untuk memperbaiki kerosakan sehingga menyebabkan sel mati atau tak normal. Sel tak normal kemudiannya membahagi untuk membentuk lebih banyak sel-sel lain. Dalam sesetengah keadaan, sel-sel ini menjadi sel kanser. Dengan demikian, salah satu kesan dari pendedahan sinaran radiokatif ialah risiko untuk mendapatkan penyakit kanser adalah lebih tinggi.

Pada dos melebihi 1 Gy, sel yang rosak tidak dapat diganti dengan cepat untuk menyebabkan sesetengah organ seperti saluran penghadaman tidak dapat berfungsi sepenuhnya. Apabila keadaan seperti ini terjadi, maka penyakit yang berlaku dikenali penyakit sinaran radioaktif. Di antara gejala penyakit yang dapat diperhatikan dalam penglibatan saluran penghadaman adalah seperti loya, muntah dan lemah anggota badan yang terhasil akibat saluran pemakanan tidak dapat berfungsi untuk menyerap sumber pemakanan. Pada dos melebihi 4 Gy pula, fungsi ketahanan badan yang menentang jangkitan akan terjejas dan kebanyakan mangsa akan mati akibat jangkitan kuman.

Apakah sumber sinaran radioaktif yang boleh mengancam kesihatan manusia?

Mengikut kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, setiap orang dewasa menerima sejumlah 0.36 Gy untuk keseluruhan tubuh setiap tahun. Kebanyakan sinaran radioaktif ini datangnya dari sumber radioaktif yang terdapat di sekeliling kita. Sumber sinaran radioaktif latar ini termasuklah sinaran kosmik (sinaran partikel bertenaga tinggi dan gelombang elektromagnet dari angkasa lepas), sinaran yang diinduksikan oleh sinaran kosmik (seperti pembentukan 14C dan 1H di dalam atmosfera oleh sinaran kosmik) dan sinaran semulajadi yang terdapat di dalam bumi (seperti uranium, thorium dan radon). Sinaran radioaktif latar ini merupakan lebih kurang 82% dari dos sinaran tahunan yang diterima oleh manusia. Walaupun sinaran radioaktif yang dihasilkan dari reaktor nuklear hanya menghasilkan kurang dari 1% jumlah sinaran tahunan yang dihadapi oleh seseorang individu, ujian-ujian nuklear seperti yang dilakukan di Kepulauan Muroroa Atoll dan kebocoran bahan radioaktif sampingan hasil dari proses penjanaan tenaga boleh menyebabkan sumber sinaran radioaktif persekitaran meningkat.

Apakah kanser-kanser utama yang akan berlaku akibat dedahan sinaran radioaktif?

Untuk kanak-kanak kanser yang paling cepat berlaku selepas dedahan sinaran radioaktif yang tinggi ialah leukemia terutama sekali leukemia mielositik akut dan kronik. Biasanya kanser ini muncul di antara 2 hingga 4 tahun selepas dedahan dan risiko kemunculan penyakit akan kekal dalam tempoh masa 10 tahun selepas dedahan pertama. Selain dari leukemia, kanser otak dan buah pinggang juga telah dilaporkan apabila kanak-kanak terdedah kepada sinaran radioaktif yang tinggi. Untuk orang dewasa, kanser yang kerap berlaku ialah kanser paru-paru, usus, pundi kencing, tulang dan kulit. Bagi wanita, kanser payu dara sering dilaporkan. Oleh kerana sinaran radioaktif latar ini tidak dapat dicegah, maka usaha untuk menghalang sebarang kejadian yang akan meningkatkan sinaran latar ini seperti ujian-ujian nuklear dan loji-loji nuklear perlu diharamkan.