Skip to main content

vcc

Siri Tumbuhan Beracun 8 - Ubi Gajah

Oleh: natrah@usm.my

Oleh: Razak Hj. Lajis & Adenan Jaafar

Terdapat berbagai-bagai bahan atau sebatian yang terkandung di dalam sesuatu tumbuh-tumbuhan. Penyelidikan yang dilakukan menunjukkan ada sebahagian daripada bahan-bahan atau sebatian-sebatian ini yang boleh dimanfaatkan sebagai bahan ubat selain digunakan sebagai bahan makanan. Selain daripada itu tidak kurang pula yang telah dikenalpasti sebagai beracun dan merbahaya. Berbagai-bagai kesan toksik terjadi akibat daripada terdedah kepada bahan-bahan tersebut. Sama ada berupa gangguan ringan kepada kulit dan alahan ataupun gejala yang lebih teruk seperti cirit-birit, muntah-muntah, sakit-sakit perut, mabuk atau pening dan mengalami kesukaran bernafas. Ada juga yang boleh membawa maut.

Di antara bahan atau sebatian yang merbahaya tersebut ialah sianida. Terdapat beberapa tumbuhan tempatan yang boleh menghasilkan sianida. Tumbuh-tumbuhan tersebut ialah pucuk getah muda (Hevea brasiliensis), buah perah (Elateriospermum Blume) dan ubi gajah (Manihot esculenta).

Tumbuhan ini boleh menyimpan sianida dalam bentuk glikosida. Apabila berlaku hidrolisis, sianida akan dibebaskan. Glikosida tersebut pada umumnya tidak berapa toksik tetapi apabila ia bertindak di dalam usus dengan enzim-enzim tertentu yang terhasil daripada tindakan memamah atau mengunyah makanan, sianida akan dihasilkan. Kandungan sianida dalam tumbuh-tumbuhan yang berkenaan berbeza-beza antara satu dengan lain. Dalam sesetengah tumbuhan, kandungan sianida dikatakan lebih tinggi di dalam pucuk yang muda berbanding dengan pokok yang tua.

Haiwan ternakan seperti lembu dan kambing merupakan mangsa yang selalu dikaitkan dengan keracunan sianida ini. Ini disebabkan tumbuh-tumbuhan tersebut menjadi kegemaran kepada haiwan-haiwan tersebut. Walau bagaimanapun terdapat beberapa kes yang melibatkan manusia.

Beberapa kumpulan glikosida sianogenetik dikenalpasti wujud dalam tumbuh-tumbuhan. Antaranya ialah amygdalin, linamarin dan lotaustralin. Linamarin dan lotaustralin merupakan kumpulan yang utama tersimpan di dalam ubi gajah. Sianida atau asid hidrosianik (HCN) akan dibebaskan apabila hidrolisis berlaku.

Beberapa faktor mempengaruhi kejadian keracunan sianida di dalam sesuatu mangsa tersebut. Di antaranya ialah jenis tumbuhan yang terlibat, jumlah sianida yang boleh dibebaskan, saiz dan jenis mangsa yang terbabit dan halaju pembebasan sianida semasa proses penghadaman. Haiwan yang makan dengan cara memamah dan mengunyah adalah lebih terdedah kepada bahaya tumbuhan yang mempunyai kandungan glikosida sianogenetik ini. Ini disebabkan floramikro yang terdapat dalam usus haiwan tersebut berserta dengan pH yang sesuai berupaya meningkatkan proses hidrolisis berbanding dengan mangsa-mangsa yang lain yang bukan makan dengan cara memamah dan mengunyah.

Kadar yang dianggap bahaya sekiranya termakan ialah antara 4 hingga 5 mg setiap kilogram berat badan pada setiap jam. Asid hidrosianik bertindak dengan menghalang enzim sitokrom oksidase. Enzim ini merupakan satu enzim pernafasan yang menghubungkan oksigen dengan pernafasan metabolik tisu. Sianida menghalang sel darah merah daripada menyerap oksigen dengan mengganggu tugas enzim tersebut. Apabila terhalang tisu tidak boleh bernafas ia akan menyebabkan mangsa mengalami kekurangan oksigen yang boleh membawa maut. Kulit mangsa yang mengalami keracunan sianida akan menjadi kebiru-biruan. Kematian boleh berlaku antara 15 minit hingga beberapa jam bergantung kepada dos sianida yang diambil atau termakan.

Terdapat beberapa sebatian lain yang hadir di dalam Manihot esculenta. Antaranya ialah amentoflavone, hidrogen sulfid, iso-linamarin, asid oksalik, glikosida quercetin, stachene dan yucalexin.

Tidak banyak yang dilaporkan tentang penggunaan tumbuhan ini sebagai bahan ubat. Selain ditanam sebagai pokok perhiasan di mana ia boleh dijadikan pokok teduhan yang baik, daunnya kadang-kala diambil untuk dijadikan makanan haiwan.

Walau bagaimanapun di beberapa buah negara di Pasifik Selatan, ubi dan daun tumbuhan ini pernah digunakan sebagai bahan ubat. Di Fiji perahan ubi tumbuhan ini digunakan untuk merawat sembelit dan rasa tidak hadam. Sementara ubi tersebut direbus bagi merawat cirit-birit. Di India, ubi tumbuhan ini diparut dan ditampal ditempat yang mengalami sakit-sakit dan bisul.

Famili: Euphorbiaceae.
Nama saintifik: (Manihot esculenta
Nama tempatan: Ubi Gajah.
Tumbuhan atau shruba ini boleh tumbuh tinggi hingga melebihi 6.85 m. Ia mudah tumbuh terutama di kawasan tropika yang beriklim panas-lembab.
Daun: Daun berbentuk bujur. Terbuka seperti tapak tangan dan kebanyakannya berada di bahagian hujung batang. Setiap tangkai dan helaian daun berpecah kepada 7-8 bahagian. Panjangnya di antara 12.5 - 15 sm dan lebar 1.25 sm. Hujung daun sedikit tajam atau bulat. Berselang-seli, mempunyai petiol yang panjang. Apabila tua dan jatuh, daun akan meninggalkan tapak/tanda di batang.
Bunga: Kecil dan uniseksual.
Buah: Buah mengandungi beberapa biji kecil.
Bunga dan buah boleh didapati sepanjang tahun.