Skip to main content

vcc

Flawless Sepantas Kilat, Waspada Kesan Mudarat

Oleh: Mohamad Nazri Mohamed Tahir

main63

Kecantikan cukup sinonim dengan wanita. Malah kini tidak kurang juga lelaki yang semakin mengambil berat tentang isu kecantikan dan penjagaan diri. Seringkali cantik ditafsir oleh sesetengah pihak sebagai mereka yang memiliki kulit wajah yang putih, mulus dan berseri atau dalam Bahasa Inggerisnya disebut flawless. Justeru, bertambahlah lambakan produk-produk kosmetik di pasaran yang menjanjikan kesan mujarab dalam tempoh singkat sama ada seminggu, sehari malah ada yang serta-merta menjadi putih. Tidakkah ini menimbulkan tanda tanya di benak fikiran anda? Apakah sebab yang membolehkan produk-produk ini begitu laris? Apa pula isi kandungan produk yang cukup ajaib ini hingga boleh memutihkan kulit dalam sehari? Perkara-perkara ini akan dirungkai dalam artikel ini. 

Keajaiban produk kosmetik yang dapat memberikan kesan serta merta ini dikhuatiri mengandungi bahan campur palsu atau adulterant. Bahan campur palsu ialah sebatian kimia atau racun yang ditambah ke dalam produk-produk kosmetik bagi mempercepatkan kesan yang diingini. Bahan campur ini adalah berbahaya dan tidak selamat untuk digunakan manakala kehadirannya dalam produk kosmetik adalah salah di sisi undang-undang. Para pengusaha yang tidak bertanggungjawab menggunakan sebatian campur palsu ini untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda dan melariskan jualan. Sememangnya kesan daripada produk kosmetik mengandungi bahan campur palsu ini sangat pantas namun ia turut memberi kesan mudarat kepada penggunanya. Oleh itu, pihak berkuasa sering memantau bagi memastikan semua produk kosmetik di pasaran memiliki nombor notifikasi sah yang diperolehi daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia. Sistem notifikasi ini 

adalah wajib bagi semua produk-produk kosmetik sebelum dikilang, diedar dan dijual di pasaran. Maklumat lengkap berkaitan produk, segala perakuan berkaitan keberkesanan dan keselamatan produk perlu disertakan dengan bukti dan dihantar kepada BPFK untuk tujuan dokumentasi. Maklumat-maklumat ini akan disimpan dalam pengkalan data produk kosmetik bernotifikasi BPFK. Sekiranya tidak dinotifikasi, produk-produk tersebut boleh ditarik balik dari pasaran dan pengusaha boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Racun 1952.

Produk-produk kosmetik yang bernotifikasi sepatutnya bebas daripada bahan-bahan terlarang seperti Hidrokuinon, Tretinoin dan Merkuri. Bahan-bahan ini adalah bahan campur palsu yang mempercepatkan tindak balas dan menampakkan kesan yang kononnya mujarab dalam tempoh singkat. Disebalik kemujarabannya, para pengguna berhadapan dengan risiko-risiko berbahaya. Hidrokuinon umpamanya sering disalahguna dalam penghasilan krim pencerah atau produk-produk anti-pigmentasi. Ia bertindak dengan cara merencatkan pembentukan melanin iaitu pigmen yang ada pada kulit manusia. Secara tidak langsung ia merawat masalah hiperpigmentasi, melembutkan tona warna dan mencerahkan kulit. Namun pengurangan melanin akan menyebabkan kulit lebih terdedah kepada sinar UV yang berbahaya. Akibatnya kulit yang terdedah secara langsung kepada cahaya matahari akan mudah terbakar, menjadi kemerah-merahan, ditumbuhi ruam dan sangat sensitif kepada cahaya. Keradangan kulit juga boleh berlaku. Terdapat juga kajian yang mendapati hidrokuinon berisiko menyebabkan kanser kulit.

Selain hidrokuinon, merkuri juga bertindak sebagai pencerah kulit dan anti penuaan. Ia digunakan untuk menghapus cela dan jeragat pada kulit membuatkan kulit lebih berseri dan kelihatan muda. Produk-produk mengandungi merkuri lebih popular dalam kalangan masyarakat Asia, Afrika Latin dan Timur Tengah iaitu mereka yang diketahui mempunyai tona warna kulit yang lebih gelap. Merkuri sebenarnya ialah sejenis logam berat yang wujud secara semulajadi di udara, air dan tanah. Ia sangat meruap dan mudah meresap ke dalam tubuh. Dalam jumlah sedikit pun merkuri boleh mengakibatkan kesan buruk kepada kesihatan. Kesan jangka panjang merkuri boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang, gangguan sistem saraf disamping mengakibatkan simptom-simptom seperti lemah tubuh badan, hilang ingatan, ruam dan perubahan warna kulit. Sekiranya digunakan oleh ibu mengandung, ia boleh menyebabkan kecacatan, cerebal palsy dan gangguan otak pada bayi dalam kandungan. Kebanyakkan negara di seluruh dunia telah mengharamkan merkuri dalam produk-produk kecantikan termasuklah Malaysia. 

Satu lagi bahan campur palsu yang sering dicampur dalam produk kosmetik untuk merawat jerawat dan menghapus kedutan ialah tretinoin. Penggunaan tretinoin tanpa merujuk kepada professional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti kulit kemerah-merahan dan rasa kepanasan apabila disentuh, kulit mengelupas, sangat sensitif kepada cahaya dan ketidak selesaan kulit. Produk kosmetik mengandungi tretinoin juga tidak sesuai digunakan oleh ibu mengandung. 

Sebagai pengguna yang bijak, anda seharusnya peka dan tahu berkenaan produk kosmetik yang anda gunakan. Hindari produk kosmetik yang tidak bernotifikasi atau tidak mempunyai label yang jelas. Amalkan kaedah tradisional yang lebih selamat dan semulajadi untuk menjaga kesihatan kulit contohnya dengan memakan buah tomato, menghasilkan “masker” dari timun hancur, menyapu muka dengan kunyit hancur dan madu dan lain-lain. Jangan perjudikan nyawa anda demi mendapatkan kulit “flawless” serta-merta kerana kecantikan dimiliki hanya sementara, kesannya sangat merbahaya.