Skip to main content

vcc

Bagaimana untuk mengelak daripada ketagihan semula?

Oleh: natrah@usm.my

Kebanyakan kejadian ketagihan semula berlaku tiga bulan selepas berhenti merokok. Jangan merasa hampa sekiranya anda merokok semula. Cuba fikirkan ramai orang mencuba beberapa kali sebelum mereka berjaya berhenti merokok. Kenalpasti kelemahan anda yang menyebabkan anda merokok kembali dan cuba atasi perkara tersebut.

Beberapa perkara yang boleh menyebabkan anda merokok kembali

Alkohol - Anda harus mempertimbangkan untuk mengurangkan atau berhenti minum minuman beralkohol semasa anda cuba berhenti merokok. Pada masa yang sama elakkan meminum kopi, teh dan minuman berkola. Banyakkan minum air dan makan buah-buahan.

Perokok lain dalam rumah - Cuba ajak ahli keluarga atau teman serumah yang merokok untuk bersama-sama berhenti merokok. Cari jalan yang sesuai untuk tidak bersama-sama mereka yang merokok sekurang-kurang untuk sementara waktu. Jauhkan daripada berada dikeliling mereka.

Pertambahan berat badan - Berusaha selesaikan satu masalah dalam satu masa. Bersedia untuk berhenti merokok terlebih dahulu kemudian barulah fikirkan tentang pertambahan berat badan (Berat badan anda mungkin tidak akan bertambah!).

Gejala penarikan (gian) - Tubuh anda akan melalui beberapa perubahan semasa anda cuba berhenti merokok. Anda mungkin mengalami mulut kering, batuk, gatal tekak dan gelisah. Banyak minum air dan makan buah-buahan dapat membantu melegakan keadaan ini. Plaster atau gula-gula getah bernikotin juga boleh membantu.

Minda anda - Hindarkan minda anda daripada memikirkan tentang rokok. Banyakkan gerak kerja luar dan riadah. Buatlah perkara-perkara yang anda gemari kecuali merokok.

Simpan satu senarai - Senaraikan perkara-perkara yang pernah membuat anda gagal berhenti merokok pada masa lalu, awasi perkara tersebut daripada berlaku dan belajarlah daripadanya.