Fatwa Tentang Rokok Perlu Dilaksanakan
Isu tembakau baru-baru ini telah menarik lebih banyak perhatian orang ramai berkaitan dengan masalah-masalah kesihatan dan juga persoalan syri'ah. Ini memandangkan kini terdapat berbagai bukti yang lebih kukuh yang mengaitkan secara langsung kesan-kesan tembakau khususnya rokok kepada penyakit barah dan juga masalah ketagihan sepertimana dadah-dadah merbahaya lain. Di samping itu, berbagai lagi masalah kesihatan sememangnya telah didokumentasikan berkait rapat dengan amalan menghisap rokok.
Seorang pengkaji Universiti Oxford, Dr. Richard Peto, telah menganggarkan bahawa merokok bertanggungjawab menyebabkan kematian kepada tiga (3) juta orang setahun di seluruh dunia dan dijangkakan dalam masa 30 tahun lagi, lebih daripada 10 juta orang akan mati kebanyakannya daripada negara-negara membangun. Ramalan-ramalan seumpama ini telah banyak diutarakan dan kesannya kepada negara-negara maju begitu nyata sekali. Misalnya di Amerika Syarikat sahaja penggunaan rokok telah dikatakan menurun sejak lima belas (15) tahun yang lalu. Namun di negara-negara dunia ketiga khasnya, trend seumpama ini masih belum dapat dikesan. Di Malaysia, kadar penggunaan rokok adalah dianggarkan 2,000 batang setahun bagi setiap dewasa, berbanding dengan Indonesia 1,050 batang, Thailand 900 batang dan Vietnam 670 batang. Malah kita sering terbaca bahawa lebih ramai remaja dan muda-mudi kita terutamanya yang beragama Islam melibatkan diri dengan tabiat merokok. Keadaan seumpama ini menjadi lebih ketara lagi kerana baru-baru ini terdapat satu laporan yang menunjukkan negara-negara maju terus menggalakkan eksport tembakau mereka ke negara-negara lain di seluruh dunia (Laporan Akhbar Herald International Tribune, Nov. 18, 1996). Oleh kerana kesedaran yang begitu rendah di kebanyakan negara ini, tabiat merokok di kalangan warganegara masing-masing terus meningkat kepada tahap yang membimbangkan.
Memandangkan perkembangan seumpama ini, Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia bersama dengan Pusat Racun Negara mengadakan satu Seminar Kebangsaan berjudul Tembakau, Kesihatan dan Islam bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan tembakau dan menggabungkannya sekaligus dengan penemuan sains terkini dan juga pendapat-pendapat ahli fikir Islam berkenaan isu tersebut. Ini menjadi lebih penting lagi kerana pada 23 Mac 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 telah memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram menurut pandangan Islam. Pengharaman ini dapat disokong secara lebih saintifik jika diambilkira penemuan-penemuan mutakhir sepertimana yang telah dinyatakan di atas. Adalah menjadi hasrat Seminar tersebut untuk menggabungkan segala maklumat yang ada hari ini untuk memperkukuhkan lagi maksud fatwa yang telah diluluskan serta mempercepatkan perlaksanaannya demi kebaikan bangsa, negara dan agama.