Hindar Pembaziran Dalam Bulan Ramadhan - Bagaimana Dengan Merokok?
PADA BULAN RAMADHAN KALI INI, dengan kedudukan ekonomi negara yang tidak menentu, umat Islam khususnya dapat memanfaatkan syiar Ramadhan itu dengan lebih bermakna lagi. Bulan Ramadhan yang selalunya dianggap sebagai satu bulan tarbiyah bagi umat Islam melatih diri dalam hal-hal keduniaan termasuklah makan dan minum secara berlebihan. Oleh yang demikian, saranan untuk rakyat Malaysia berjimat cermat menjadi satu seruan yang lebih bererti lagi pada bulan Ramadhan ini.
Baru-baru ini kepimpinan negara telah menganjurkan supaya beberapa tabiat keterlaluan yang dahulunya menjadi kelaziman, terpaksa dibendung demi untuk keutuhan bangsa dan negara. Rakyat diajak tidak membazir misalnya mengurangkan penggunaan gula dan juga bahan-bahan makanan mewah yang diimport. Saban tahun, mesej yang sama kerap kedengaran khasnya apabila menjelang bulan Ramadhan kerana secara tidak langsung kita berbelanja agak berlebihan untuk juadah berbuka puasa mahupun bersahur. Oleh itu, mesej penjimatan yang ditekankan kebelakangan ini sepatutnya sekaligus dapat diperkuatkan semasa bulan Ramadhan kali ini.
Pastinya, segala perbuatan yang menjurus kepada amalan pembaziran baik dalam apa bentuk sekalipun perlu dihindarkan. Salah satu contoh yang paling jelas adalah amalan merokok.
Mesej ini telah beberapa kali diulangi sepanjang tahun lalu sahaja, bermula dengan seminar Tembakau, Kesihatan dan Islam anjuran Pusat Racun Negara (PRN) dengan Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia.
Seminar tersebut telah membangkitkan banyak isu dan ketetapan tentang bukan sahaja betapa tidak berfaedahnya amalan merokok bahkan boleh mengakibatkan berbagai jenis penyakit. Tabiat merokok merupakan satu pembaziran daripada berbagai segi; baik wang ringgit, kesihatan mahupun pemeliharaan alam sekitar. Berdasarkan kepada aspek-aspek ini, dapatlah disimpulkan bahawa amalan merokok adalah satu amalan yang tidak menguntungkan. Dengan menghindarkan diri dari merokok bukan sahaja dapat membantu negara di masa kemelesetan ini bahkan sebagai satu kepatuhan kepada kehendak agama Islam. Dengan lain perkataan, amalan merokok ini perlu dihentikan seberapa segera yang boleh.
Lebih daripada itu, bulan Ramadhan sesuai sebagai satu bulan tarbiyah, dapat membantu ramai di antara mereka yang benar-benar ingin berhenti merokok. Bulan Ramadhan secara langsung dapat mendidik naluri ingin merokok bagi memudahkan lagi tabiat pembaziran ini dibasmi sama sekali. Yang jelas, seluruh umat Islam, perokok ataupun bukan, berjaya berpuasa untuk sehari suntuk buat sekurang-kurangnya sebulan. Ini menggambarkan betapa mudahnya untuk berhenti merokok. Ini dapat dilakukan sekiranya perokok tersebut mempunyai niat yang benar-benar nekad untuk berhenti merokok. Maksudnya seseorang itu bukan hanya berniat untuk berhenti merokok sekadar sehari mahupun untuk sebulan tetapi untuk selama-lamanya, ini pastinya dapat dilakukan dengan jayanya.
Iktibar daripada bulan Ramadhan dalam hal ini sepatutnya tidak lagi menjadi keraguan bagi sesiapa juga yang ingin berhenti merokok. Pokoknya, niat untuk berhenti merokok ini mestilah disertai dengan keazaman yang tinggi sepertimana kita berpuasa pada bulan Ramadhan. Oleh yang demikian, adalah didoakan pada bulan Ramadhan kali ini lebih ramai umat Islam khususnya dapat melaksanakan amalan puasa dengan sebaik-baiknya sekaligus mentarbiyahkan diri dalam menjauhkan diri dari segala bentuk pembaziran, apa lagi jika pembaziran yang juga mengancam kesihatan diri, keluarga dan juga masyarakat orang Islam khasnya. Oleh itu berhentilah merokok.