Amnya ramai yang beranggapan bahawa bahan ubat-ubatan adalah selamat belaka. Maksudnya ramai menjangkakan yang bahan ubat-ubatan tidak akan mendatangkan sebarang kemudaratan, malah ia pasti berkhasiat belaka. Ini adalah satu anggapan yang kurang tepat malah boleh menyebabkan banyak keadaan yang tidak diingini, memandangkan bahawa ubat-ubatan kebanyakannya terdiri daripada bahan kimia. Dan jika tidak digunakan dengan betul, seperti memakan ubat berlebihan, ataupun tidak mengikut aturan yang telah ditetap, banyak kesan bahaya boleh berlaku. Ubat boleh membahayakan apabila penggunaannya ditukar ganti kepada sesiapa sahaja, walaupun ubat itu adalah kepunyaan orang lain. Tabiat menggunakan ubat seperti ini amat bersalahan dengan tatacara penggunakan ubat.
Berikut adalah beberapa cara untuk menggelakkan berlakunya bahaya berkaitan dengan ubat-ubatan, khususnya bagi kanak-kanak.
Daripada segi keselamatan produk, para pengguna mesti berwaspada dengan ubat-ubatan tiruan ataupun ubat yang tidak bermutu. Acapkali kita terbaca dalam akhbar bahawa ramai penduduk luar bandar misalnya disogokkan dengan ubat yang tidak bermutu ini. Ubat-ubatan ini selalunya dijual secara lansung dan semasa menjual berbagai "kebaikan" disebutkan oleh para penjual kononnya disokongkan dengan kajian.
Dalam hal ini kita harus berwaspada kerana apa juga yang disebut oleh juru jual perlu mendapatkan pengesahan daripada badan-badan bertanggungjawab terlebih dahulu supaya mutu dan keselamatan terjamin. Bagi ubat-ubatan satu nombor pendaftaran akan diberikan kepada pihak pembuat atau pengilang sebelum ianya boleh dijual dan dipasarkan. Nombor ini selalunya bermula dengan huruf "PBKD" (bermaksud Pihak Berkuasa Kawalan Drug, yakni badan yang berwibawa dalam hal ini) dan di ikuti dengan beberapa nombor khas bagi produk itu saja. Kadangkala ia bermula dengan huruf "MAL" (bermaksud Malaysia, iaitu ia berdaftar di negara ini). Ini membuktikan bahawa ubat-ubatan tersebut telah mendapat pengesahan daripada kerajaan dan diakui mutu dan keselamatannya. Tanpa pendaftaran, semua ubat perlu dielakkan, bahkan perlu dilaporkan kepada pihak Kerajaan. Kalau was-was dapatkan pengesahan daripada pihak berwajib terlebih dahulu ataupun hubungi Pusat Racun Negara.
Amalkan tabiat bertanya seperti nama ubat, kekuatan dosnya serta juga nama pengilang atau pengedarnya apabila anda menerima atau membeli ubat. Selain daripada itu tentukan juga apa-apa maklumat khas diperolehi juga. Antaranya adalah seperti kegunaan semasa hamil, atau menyusukan bayi ataupun kesan-kesan sampingan lain. Maklumat seperti ini amat diperlukan semasa kecemasan dan keracunan. Ini boleh membantu menyegerakan rawatan.