Skip to main content

vcc

Warga Tua dan Keracunan Ubat

Oleh: Dr Abu Bakar Abdul Majeed

Tanggal 1 Oktober merupakan Hari Warga Tua Sedunia. Ini adalah satu penghormatan tertinggi dunia terhadap penduduknya yang paling berjasa. Rakyat sesebuah negara yang berusia 65 tahun ke atas boleh dianggap sebagai Warga Tua. Kumpulan ini biasanya terdiri daripada golongan minoriti yang sering diabaikan. Namun demikian, mereka membentuk sebahagian daripada rentetan kehidupan yang bermula dengan kelahiran, dan disusuli pembesaran, penuaan dan akhirnya, kematian. Sebenarnya, setiap warga tua mestilah dianggap sebagai unik kerana telah melalui pelbagai rintangan serta asam garam kehidupan. Pengalaman mereka semestinya tidak terbatas. Justeru itu, mereka berhak dihormati dan dijaga dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab.

Warga Tua lebih terdedah kepada pelbagai penyakit. Keupayaan sel-sel serta tisu tubuh mereka untuk sembuh juga lebih rendah. Memandangkan banyak ubat-ubatan yang boleh diperolehi dari kedai-kedai tanpa preskripsi doktor, maka ramai warga tua yang cenderung membeli serta menggunakan ubat-ubatan tanpa meminta nasihat doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu. Amalan begini boleh membahayakan. Ini kerana sistem tubuh warga tua mungkin sudah mengalami perubahan. Contohnya, penggunaan salisilat secara berpanjangan didapati boleh menyebabkan keracunan seperti gangguan perut, kesukaran pembekuan darah dan meracau (delirium). Sesetengah sediaan vitamin dengan dos terlampau tinggi boleh meningkatkan kemungkinan warga tua mengalami penyakit hati.

Warga tua mungkin tertarik dengan gimik iklan tentang "ubat-ubatan ajaib" yang mempunyai kesan luar biasa. Oleh kerana warga tua merupakan golongan yang paling banyak membelanjakan wang untuk membeli ubat-ubatan untuk pelbagai jenis penyakit yang dihidapi, maka mungkin ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab akan cuba mengambil kesempatan. Dengan demikian, anak-anak atau penjaga warga tua mestilah sentiasa berhati-hati serta mengambil tahu tentang ubat-ubatan yang diambil oleh warga tua. Pastikan bahawa ubat-ubatan yang diambil adalah betul dan tepat pada masanya. Warga tua sering didapati mengalami kesukaran jika ubat-ubatan perlu diambil di waktu malam. Ini mungkin disebabkan penglihatan yang kurang baik atau keadaan kekeliruan yang sering berlaku pada waktu malam.

Kebanyakan ubat-ubatan tidak memudaratkan warga tua jika diambil dengan betul. Dos ubat-ubatan yang diambil dari pengamal perubatan atau ahli farmasi, akan ditentukan dengan baik mengikut keadaan pesakit tersebut. Pesakit cuma perlu mematuhi arahan dengan sempurna. Tetapi kekeliruan dan kesukaran mungkin timbul jika pesakit membeli ubat-ubatan sendiri tanpa diberi nasihat dengan sebaik-baiknya. Pesakit seperti ini sering terdedah kepada kesan buruk ubat-ubatan, termasuk keracunan disebabkan oleh pengambilan dos yang berlebihan. Ingatlah, bagi ubat-ubatan dos kecil memberi manfaat, tetapi lampau dos membawa padah! Justeru itu, sempena mengambil Hari Warga Tua Sedunia 1995, marilah kita sama-sama mempraktikkan konsep masyarakat penyayang dengan mempastikan kes-kes keracunan ubat-ubatan di kalangan warga tua yang telah banyak berjasa kepada negara dielakkan daripada berlaku sama sekali.