Bersukan Tanpa Dadah &Tembakau
Selamat Menyambut Sukan Komanwel Ke-16
Pada tanggal 11 hingga 21 September ini, Malaysia akan mencatat satu lagi sejarah sebagai negara Asia pertama menganjurkan Sukan Komanwel sejak ia mula- mula dijayakan. Ia juga merupakan sukan kedua terbesar di dunia (selepas Sukan Olimpik) yang diadakan sebelum menjelangnya alaf baru. Oleh yang demikian, rakyat Malaysia seharusnya merasa bertuah kerana dapat menyaksikan peristiwa bersejarah ini di tanah air mereka sendiri dan sekaligus dapat membuktikan bahawa Malaysia mempunyai keupayaannya tersendiri dalam menganjurkan sukan yang unggul seperti Sukan Komanwel.
Namun demikian, dunia sukan kini bukan sahaja merupakan satu peluang untuk mempertingkatkan semangat kesukanan dan setia kawan, tetapi ia juga satu acara beradu kekuatan dan ini sudah mula mencabar etika kesukanan itu sendiri. Olahragawan serta olahragawati sekarang menghadapi tekanan yang amat tinggi untuk berjaya sehingga berlakunya beberapa episod yang boleh mencemar semangat kesukanan. Antaranya adalah penggunaan dadah tertentu bagi meningkatkan lagi prestasi mereka. Perbuatan ini amatlah memalukan kerana mereka sanggup menggadaikan prinsip-prinsip kesukanan yang sepatutnya dipupuk dalam temasya sukan seperti ini. Apalagi memandangkan penggunaan dadah dalam sukan juga mempunyai berbagai kesan yang boleh mendatangkan mudarat, termasuk maut. Sebagai contoh, antara kejadian maut yang paling awal dirakamkan adalah dalam tahun 1904 di Greece, semasa Sukan Olimpik, apabila seorang pelumba basikal menyalahgunakan dadah striknin. Striknin pernah digunakan dengan meluas dalam perubatan sebagai satu ubat perangsang dan sering didapati dalam ubat-ubatan ketika itu.
Malah dari perspektif sejarah sukan, penggunaan dadah dikalangan ahli sukan sememangnya telah lama diamalkan, semenjak zaman Rom lagi. Ini termasuklah bahan-bahan seperti cendawan dan tumbuhan lainnya dan kemudiannya berbagai bahan tiruan; termasuk alkohol dan kafein. Senarai bahan-bahan yang boleh disalahgunakan turut bertambah termasuklah kumpulan-kumpulan perangsang psikomotor, perangsang sistem saraf pusat lain, ubat-ubatan jenis amin simpatomimetik, kumpulan narkotik, kumpulan steroid anabolik dan berbagai jenis lain.
Baru-baru ini pula sebuah buku berjudul "Over the Edge - The True Story of An Athlete's Journey on Steroids" (Spintex Publishing House, Nov. 1997) jelas memberi gambaran tentang apa sebenarnya yang berlaku dalam dunia sukan berdasarkan penggunaan dadah steroid khususnya di gelanggang sukan angkat berat.
Kini beberapa syarat ketat dikenakan untuk tujuan mengesan dan mengenalpasti jenis-jenis dadah yang digunakan dalam temasya sukan diberbagai peringkat. Semua ini menunjukkan bahawa kesukanan sering dicemari dengan bahan-bahan baru yang sentiasa diperkenalkan bagi meningkatkan lagi keupayaan bersukan, selagi semangat kesukanan yang jitu tidak diamalkan oleh pihak-pihak yang terlibat. Faktor seperti tekanan untuk menjadi kaya dan keinginan menjadi jaguh terkenal sering mendorong kepada penggunaan dadah-dadah sedemikian.
Oleh itu, adalah diharapkan bahawa Sukan Komanwel Kuala Lumpur ini akan mempamerkan bukan sahaja semangat kesukanan yang tinggi tetapi juga satu-satunya sukan yang bersih daripada penglibatan sebarang dadah.
Dalam hal ini juga diharapkan semua pengiklanan rokok khususnya yang berkaitan dengan sukan dihentikan sama sekali. Malaysia sebagai tuan rumah sukan yang kedua terbesar di dunia dan yang pertama di Asia sepatutnya menunjukkan contoh kepada negara-negara membangun yang lain; khususnya dalam mempelopori sukan tanpa sebarang pengaruh dadah dan tembakau baik secara langsung ataupun tidak melalui iklan-iklan tajaan syarikat-syarikat mereka. Ini sudah tentu akan menjadi satu sumbangan bermakna sekali kepada dunia sukan keseluruhannya.