Skip to main content

vcc

Kearah Kawalan Tembakau yang Komprehensif: Satu Perkongsian Tanggungjawab

Oleh: natrah@usm.my

"Saya katakan kepada mereka yang membuat dan memasarkan rokok: setiap tahun 1 juta kanak-kanak mula merokok, walaupun ianya menyalahi undang-undang, 300 ribu daripada mereka akan mempunyai kehidupan yang agak pendek akibat daripada itu. Pentadbiran kami telah mengambil langkah untuk memberhentikan kempen pasaran bahan-bahan yang menarik perhatian anak-anak kita".

- Presiden Bill Clinton (Tentang Kawalan Merokok)

Kos akibat merokok kepada masyarakat adalah agak ketara dan memerlukan perhatian daripada semua sektor. Wabak tembakau semestinya merupakan satu masalah kesihatan, malah lebih daripada itu. Satu kajian oleh seorang pakar ekonomi Bank Dunia menganggarkan bahawa pengguna tembakau menyebabkan kerugian global sebanyak US 200 bilion (RM 500 bilion) setahun. Separuh daripada kerugian ini berlaku di negara-negara membangun. Kos ini meliputi perbelanjaan rawatan perubatan untuk penyakit-penyakit yang berkaitan dengan tembakau secara langsung, ponteng kerja, kerugian akibat kebakaran, pengurangan produktiviti dan juga kehilangan pendapatan akibat daripada hilang upaya.

Terdapat juga kos-kos lain yang agak tinggi, walaupun ianya tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun pembaziran tetap nyata berlaku. Ini termasuklah penurunan kualiti hidup bukan sahaja bagi perokok dan mereka yang terbabit dengan asap rokok secara tidak langsung, tetapi juga kesengsaraan yang dirasakan oleh mereka-mereka yang kehilangan saudara mara dan sahabat handai yang dikasihi. Boleh dikatakan bahawa amat kecil sekali sektor masyarakat yang tidak terjejas akibat daripada tabiat merokok ini.

Sungguhpun begitu, bilangan negara di seluruh dunia yang boleh mengakui bahawa mereka benar-benar mengambil satu tindakan antara sektor dalam menggalakkan kesihatan tidaklah besar. Di sesetengah negara, tidak banyak komunikasi di antara Kementerian Kesihatan dan juga sektor-sektor lain. Meskipun begitu, Kementerian Kesihatan pastinya merupakan tunggak utama dalam menganjur dasar-dasar seperti cukai tembakau yang lebih tinggi dan seharusnya menggalakkan agensi-agensi lain untuk berwaspada tentang bahaya menerima pelaburan lumayan daripada syarikat-syarikat trans-nasional untuk mendapatkan pasaran baru. Parlimen pula perlu mendengar daripada semua pihak tentang pentingnya perundangan mengawal tembakau. Satu pimpinan yang jelas daripada beberapa orang Menteri Kanan boleh merupakan kerangka untuk tindakan antara sektor yang berkesan. Contohnya di Lithuania (sebuah negara yang baru sahaja merdeka dari Rusia dalam tahun 1990an), Kabinet sendiri mengistiharkan bahawa ianya bebas tembakau. Inisiatif seperti ini menghantar satu mesej yang penting tentang kawalan tembakau kepada Parlimen, media dan juga masyarakat awam.

Tindakan kerajaan dalam mengawal tembakau ternyata amat berbeza berbanding dengan tindakan mereka terhadap isu-isu seperti imunisasi. Sebahagian besar daripada belanjawan yang ada dijana hasil daripada merokok menunjukkan bahawa banyak kerajaan tidak mempunyai komitmen secukupnya untuk mengawal hasilan dan pemasaran tembakau melalui strategi berkesan yang sedia ada, contohnya cukai dan pengharaman pengiklanan. Sesetengah kerajaan mungkin tidak mempunyai inisiatif untuk mengawal penggunaan tembakau kerana mereka tidak dinasihati secukupnya tentang akibat buruk, baik daripada segi kesihatan mahupun pembangunan, dalam ekonomi mereka sendiri. Oleh itu, para penyokong kawalan tembakau mesti menentukan bahawa pegawai-pegawai kerajaan sentiasa dimaklumi dan dinasihati tentang dasar kawalan tembakau yang berkesan. Sumber: Internet http://www.who.ch.