Ramadhan Tanpa Tembakau
Sempena Seminar Kesan Ketagihan Nikotin - Racun Pembunuh Utama Umat Islam Masa Kini (15 November 2000)
Alhamdulilah, Ramadhan kini menjelma lagi dan umat Islam akan mengerjakan ibadah puasa sebagai proses mentarbiyah diri dalam mengawal hawa nafsu. Salah satu proses tarbiyah diri yang boleh dilakukan oleh perokok dalam kalangan umat Islam adalah memberhentikan tabiat buruk merokok. Secara logiknya sekiranya perokok ini berjaya untuk tidak merokok selama satu hari dia boleh memanjangkannya hingga ke sehari semalam, seminggu, sebulan atau seterusnya. Amalan puasa di bulan Ramadhan kali bolehlah jadikan langkah pertama untuk membuang tabiat buruk ini.
Sebagai persiapan dalam membantu perokok Islam menggunakan kesempatan berpuasa bagi membuang tabiat merokok, Pusat Racun Negara dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang akan menganjurkan seminar sehari bertajuk “Kesan Ketagihan Nikotin - Racun Pembunuh Utama Umat Islam Masa Kini”. Seminar ini dianjurkan khas untuk guru-guru agama dan takmir di Pulau Pinang bertujuan mendidik golongan pendidik agama agar dapat menyampaikan mesej tentang bahaya merokok kepada masyarakat Islam di Pulau Pinang.
Pengajuran seminar ini amat bertepatan dengan masa kerana menurut kajiselidik yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 1996, didapati peratusan rakyat Malaysia yang merokok adalah 24.8% (2.4 juta orang).
Jumlah ini adalah besar berbanding dengan bilangan perokok 10 tahun lalu -- 700,000 orang sahaja. Bilangan perokok lelaki pula telah meningkat daripada 41% pada tahun 1986 kepada 49.2% tahun 1996. Selain itu, statistik juga menunjukkan bahawa kaum Melayu meliputi 35% (atau 1 juta) daripada bilangan perokok di Malaysia. Lebih buruk lagi, sebilangan besar perokok dari luarbandar yang terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah. Kesedaran yang membawa mereka agar berhenti merokok akan meringankan bebanan perbelanjaan harian keluarga dan secara tidak langsung boleh meningkatkan keselesaan kepada ahli keluarga yang lain.
Tembakau telah dibuktikan memudaratkan kesihatan. Hubungan langsung antara tembakau dengan penyakit serius kanser, paru-paru dan jantung menunjukkan betapa serius masalah merokok jika tiada usaha atau langkah pencegahan diambil untuk membendungnya. Diharapkan seminar ini akan dapat mentarbiyahkan diri perokok Islam di Pulau Pinang dan menggunakan ibadah berpuasa kali ini sebagai usaha untuk berhenti dari tabiat buruk merokok yang sememangnya telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1995. Tabiat buruk merokok juga merupakan satu pembaziran yang boleh mengancam kesihatan diri, keluarga dan merugikan masyarakat Islam. Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan bantulah umat Islam yang merokok supaya berhenti dari perbuatan yang sia-sia ini