Skip to main content

vcc

Salahguna Inhalan Apa Yang Anda Perlu Tahu?

Oleh: Mohd Fadhli Razali

ms4 3 inhalan

Awal tahun ini, satu saluran televisyen tempatan telah membuat liputan tentang gejala menghidu gam di ibu negara yang melibatkan golongan remaja. Gejala ini bukan isu baru tetapi telah lama berlaku di negara kita. Gam merupakan salah satu daripada inhalan, iaitu bahan mudah meruap yang sering disalahgunakan untuk mendapat kesan khayal. Bahan lain yang tergolong dalam kategori inhalan ialah pelarut organik, minyak tanah, nitrit dan gas anestetik.Awal tahun ini, satu saluran televisyen tempatan telah membuat liputan tentang gejala menghidu gam di ibu negara yang melibatkan golongan remaja. Gejala ini bukan isu baru tetapi telah lama berlaku di negara kita. Gam merupakan salah satu daripada inhalan, iaitu bahan mudah meruap yang sering disalahgunakan untuk mendapat kesan khayal. Bahan lain yang tergolong dalam kategori inhalan ialah pelarut organik, minyak tanah, nitrit dan gas anestetik.

Ramai yang tidak menyedari kemungkinan penyalahgunaan produk kegunaan harian dengan cara menghidu wapnya. Produk-produk yang kebiasaannya dianggap sebagai tidak berbahaya kepada kesihatan, tetapi hakikatnya mengandungi bahan pelarut organik yang apabila dihidu wapnya boleh mengakibatkan kerosakan organ dalaman, ketagihan atau boleh mengakibatkan kematian mengejut.

Inhalan mudah diperolehi dalam pelbagai jenis produk kegunaan harian seperti aerosol pembunuh serangga, gam pelekat, cecair pencuci, alat tulis malahan juga di dalam sesetengah produk kecantikan. Produk yang berlainan mengandungi jenis bahan meruap yang berbeza dan kesan pendedahannya dalam tubuh badan juga adalah berlainan.

BAGAIMANA INHALAN BERTINDAK

Inhalan merupakan bahan kimia mudah meruap yang apabila dihidu, bahan ini akan memasuki peredaran darah dengan cepat melalui paru-paru dan dibawa ke otak. Akibatnya, inhalan akan mengurangkan bekalan oksigen dalam paru-paru dengan cara menggantikan udara dalam paru-paru hingga menyebabkan hipoksia, iaitu keadaan kekurangan oksigen pada tisu badan. Hipoksia boleh merosakkan sel-sel tubuh khususnya sel-sel otak yang sangat sensitif. Kesan buruk akibat hipoksia bergantung kepada kawasan otak mana yang terjejas.

Selain menyebabkan hipoksia, inhalan yang diserap masuk ke otak akan bertindak merosakkan mielin iaitu tisu lemak yang menyelaputi dan melindungi serat saraf otak. Mielin membantu serat saraf menghantar maklumat dengan cepat dan efisien. Kerosakan pada mielin akan mengganggu proses penghantaran maklumat dan menjejaskan fungsi otak yang mengawal pertuturan, memori, pendengaran, deria bau dan rasa, koordinasi badan, degupan jantung dan banyak lagi.

Oleh itu, semua lapisan masyarakat khususnya ibubapa haruslah peka dan prihatin terhadap perubahan tingkahlaku anak-anak agar tidak terjebak dalam penyalahgunaan inhalan. Sehingga kini, masih tiada sebarang peraturan khusus diperuntukkan untuk menangani penagihan inhalan.